Sunday, September 14, 2008

Catatan Perjalanan 21 Nov. 2006






21/11 Selasa

Selepas sessi dialilis pagi sampai tengahari, kami berkemas dan berangkat ke Naning penerbangan jam 5.30 ptg dan meninggalkan hospital Nan Fang jam 3.00 ptetang. Van hospital hantar kami hingga ke air port Baiyun Guangzau. Kami berempat, aku, Ahlok, Ayok dan Ayun sampai di airpot dan kemudian jam 5.45 baru berlepas ke Naning. Cuaca hujan renyai-renyai. Banyak penerbangan terpaksa ditangguhkan. Ahlok keluarkan simpanan depositku di hospital dalam yuen tetapi ada sedikit kerugian dari segi pertukaran mata wang dari US dollar ke Yuen lebih kurang 2000 yuen. Tak apalah yang penting dapat pindah hospital yang menjamin bekalan organ dan perbelanjaan yang munasabah. Aku gembira dapat mendarat selamat di lapangan terbang Naning, tempat di mana sebulan yang lalu ketua-ketua kerajaan Asean berjumpa di sini dalam seminar mengenai perdagangan termasuk PM.

Sebaik mendarat dan memasuki pemeriksaan imigresen, kami disambut oleh dua orang lelaki berpakaian tentera, rupanya ia adalah Dr. Lai dan doktor pembantunya yang menjadi pemandu dengan kenderaan tentera. Kami menuju hospital dan singgah makan di restoran sebuah hotel.

Tiba di hospital kami terus masuk bilik penginapan tanpa check inn atau sebarang deposit. Kami difahamkan bahawa hospital ini adalah sepenuhnya tentera dan di uruskan oleh pihak tentera sebagaimana hospital nan fang seuatu ketika dulu. Tapi kini hospital Nan fang telah di perbadankan. Kami diberikan 3 bilik berasingan, aku satu bilik, Ayok dan anaknya Ayun satu bilik dan Ahlok satu bilik. Bilik satu katil besar, satu extra bed, perabot, tiada tv atau peti sejuk, dua bilik air dan ruang rehat dan tetamu. Yang menariknya pemandangan di luar tingkap ialah sungai yang jernih dengan rumah terapung nelayan berderet-derat, jambatan yang indah dan pemandangan matahari naik yang mententeramkan. Aku berkata dalam hati, inilah tempat yang sesuai bagiku berehat sementara menunggu pembedahan dan bekalan buah pinggang. Setelah beberapa sesi pemeriksaan kecil kami pun berehat.
Pengajaran
Terimalah perubahan walau bagaimana sukarnya menyesuaikan diri dengannya. Yang penting bagaimana perubahan itu membantu kita kembali ke jalan yang benar dan membolehkan kita mendapat menfaat darinya.

Thursday, September 11, 2008

Catatan Perjalanan 17/11 hingga 20/11/06

17/11 Jumaat hingga 19/11 Ahad

Seronok kerana Dato Rosnah bagi galakan dan motivasi. Banyak buku dia bawa untuk saya baca.
Ayok kawan dari Sabah bincang dengan Ahlok untuk pindah hospital di Nan ning kerana dijamin dapat bekalan organ lebih cepat dan jimat duit kerana tak byk bayar 30% cukai. Dapat cakap dengan doktor yang rawat dan bedah Dato Rosnah dulu iaitu Dr. Sun. Dia pelawa datang ke Nanning. Dato Rosnah pun nasihatkan pergi ke Hospital Naning. Ahlok dan saya rancang untuk ke Naning pada 22 Nov. Setelah berbincang dan menerangkan kedududukan terkini kepada En. Madzrib dan Hj. Suhaime melalui telefon mereke merestui asal pembedahan dapat dilakukan. Mereka mendoakan apa saja yang terbaik.

Sejak Dato Rosnah datang terasa macam di Malaysia kerana dapat rasa masakan Malaysia, kari, nasi, sambal belacan, sambal udang, rendang dll. Keadaan kesihatan Dato Rosnah yang baik juga memberi perangsang tentang baiknya pembedahan buah pinggang. Buku `Chiken Soup for the Surviving Soul’’ amat mengesankan iaitu tentang 101 cerita individu yang telah mengalami penyakit kanser dan dapat melalui dengan selamat mengandungi motivasi yang kuat. Dapat idea untuk tulis buku seperti ini dengan latar belakang pesakit buah pinggang

20/11 Isnin

Pagi Dato Rosnah datang bilik untuk bye bye untuk pergi ke daerah lain di China. Aku terus baca buku-buku yang dipinjamkan dan catatkan apa sahaja nasihat untuk faedah selepas pembedahan nanti. Ahlok beli tiket kapalterbang ke Naning di jadualkan esok 21/11 jam 5.30 petang harga tambang 800 yuen sorang. Aku sms Mazrib dan Suhaimi. Aku keluar jalan beli beg pinggang untuk bawa duit dan kad telefon bersama Ayok dan anaknya Ayun. Lepas tu telefon isteri beritahu perkembangan terkini, isteri merestui

Pengajaran:

Jadikan membaca buku terutama buku agama atau Quraan waktu pagi itu satu kelaziman untuk memulakan hidup seharian dengan lebih bertenaga dari segi rohani dan jasmani

Wednesday, September 10, 2008

Puisi 6


Anak-anakku

anak-anakku
hanya di sini
ayahmu sempat
berpaut ke tiang harapan
untuk menghantarmu ke perjalanan
kerana yang pasti
ayahmu akan bersiap
menyahut panggilan Ilahi
ke alam abadi

anak-anakku
kaulah segala jiwa ragaku
sepenuh perasaan dan fikiranku
setinggi harapan dan cita-citaku
dunia dan akhiratku

dan kepada Tuhanlah aku
sandarkan syukur kasihku
atas nikmat memelukmu

anak-anakku
panjangkan kasihku
kepada anak cucumu
biarpun hanya cerita tentang
keujudanku yang sementara waktu
aku sentiasa gembira
dalam kegembiraannmu
dan akan turut duka dalam kedukaanmu

jika ku miliki sisa-sisa waktu
akan ku lepaskan segala keinginanku
mengutip setiap cebisan kenangan lalu

29 Jun 2006
Shah Alam

Catatan: Puisi yang tercipta ketika dalam keadaan sakit tenat

Catatan Perjalanan 11 hingga 16/11/06

11/11 hingga 14/11

Aku hanya baring di katil menahan sakit. Pergi dan balik ke dialisis dengan kerusi roda. Sambil itu minta doktor beri injektion dan ubat tahan sakit. Tapi doktor ambil darah untuk pastikan asid urik dalam darah. Doktor wee belum nak bagi injektion katanya belum perlu.

14/11 selasa

Aku kesakitan sepanjang malam. Pagi aku minta Ahlok bantu ke bilik air kerana tak boleh jalan. Sepanjang sesi dialisis aku menahan sakit gout. Turun naik kerusi roda sangat menyakitkan hingga meraung. Petangnya aku panggil doktor merayu minta diberi suntikan tahan sakit. Setelah meraung dan merayu2 dan dua doktor memeriksa akhirnya aku diberi suntikan. Selepas itu baru rasa lega dan boleh tidur dengan lena walaupun belum boleh jalan.

15/11 Rabu

Pagi ini aku bangun sendiri dan boleh berak dan kencing sendiri. Selepas itu solat subuh dan solat qada`solat yang tertinggal. Aku telipon isteri beritau perkembangan dan tanya khabar dan perkembangan anak2. Terubat sedikit kerinduan sambil membayangkan kerenah anak-anak.

16/11 Khamis

Sesi dialisis hingga tengahari. Masih gunakan kerusi roda kerana kaki masih bengkak guot. Anak aku Adiba dapat 2 A 3 B pemeriksaan UPSR. Walaupun tak cemerlang tapi tak apa. Aku faham, sejak aku sakit semuanya menjejaskan tumpuan pelajaran anak-anakku. Itulah yang tak dapat aku elakkan. Aku berserah saja kepada Tuhan tentang masa depan anak-anak aku.

Dato Rosnah Majid dan kawannya Bonnie datang ke hospital. Dia pernah membuat pembedahan buah pinggang di hospital ini. Ahloklah yang membantunya di hospital ini dulu. Datok Rosnah bawakan banyak bekalan makanan dan bahan bacaan. Dapatlah makan nasi kari dan sambal belacan

Pengajaran;

# Sentiasa percaya bahawa Tuhan tidak jadikan sesuatu peristiwa sia-sia, mesti ada kebaikan dalam dia memberikan kita sakit dan terpaksa menanggung berbagai dugaan. Kalau orang lain kaya dengan harta, berbanggalah kerana kaya dengan penyakit dan penderitaan, kerana pahala dan ganjarannya juga berlipat kali ganda. Percaya ada hikmat dan kebahagian didalamnya.

Sunday, September 7, 2008

Puisi 5


Isteriku

setelah ketiadaanku di sisimu
laluilah jalan-jalan rintisanku
bersama anak-anakmu
berbekalkan segugus harapanku
semuga mereka sampai
ke tempat tuju di penghujung doamu
sambil itu
sapalah aku dengan salammu
ketika melewati persemadianku
dan doa anak-anakmu
taburkannya di keliling solatmu
mudah-mudahan aku tenang bersemadi
dalam dakapan doa mustajabmu…

Sadon suraji
Shah Alam
20. Jun 2006

Catatan Perjalanan 1/11 hingga 10/11/2006






1/11/06 Rabu

Hampir setengah hari aku keluar ke taman dan kedai 7 eleven. Melihat gelagat orang ramai di taman hospital. Ada yang bawa famili, ada menolak kerusi roda pesakit, ada yang duduk-duduk berehat di bangku panjang. Cuaca mulai sejuk dan kebanyakan orang mulai memakai jaket. Aku duduk dibangku panjang ditengah taman menghirup udara segar dan melihat gelagat orang yang lalu lalang. Sekali sekala aku sms rakan-rakan.

Petang aku mengadap komputer. Rakan-rakan dan keluarga pesakit dari bilik lain datang berbual mengenai pembedahan semalam. Sambil itu aku beli pengukur tekanan darah tinggi dari Ayok.

2/11 khamis

Pagi ini sesi dialisis. Aku sentiasa berharap inilah sesi dialisisku yang terakhir dan semoga cepat mendapat buah pinggang. Inilah impian semua pesakit di sini. Petang aku pergi beli nasi goreng dan sayur di kedai makan Islam China di seberang jalan. Malam aku diminta puasa lagi kerana akan ada pembedahan hari ahad sekiranya organ sesuai.

3/11 Jumaat

Berita mengatakan akan ada buah pinggang hari ini untuk darah group O, A dan B. aku disuruh puasa, diambil darah, tekanan darah, diberi suntikan anti alahan dan sekali lagi dicukur bulu perut dan bawah perut walaupun aku cakap aku dah cukur. Kali ini aku malas nak bagi tahu keluarga atau rakan-rakan takut kecewa. Kali ini aku tidak berharap sangat berdasarkan pengalaman yang lalu.

4/11 Sabtu

Pagi sesi dialisis hinga jam 12.30. En. Mazrib (TKPS) dan isteri datang jam 3.00 ptg jumpa di bilik. Ahlok ambil di airport. Aku terima kiriman makanan, buku dan kad hari raya dari isteri dan anak-anakku. Membaca kad kiriman anak-anak membuat hati ini sebak. Tapi ku kuatkan hati untuk menghadapi semua ini. Lagi pun semua pengorbanan ini pun untuk masa depanku, keluarga dan anak isteriku. Cepat-cepat ku singkirkan rasa sedih dan fikirkan perkara yang boleh menguatkan semangatku. Malam tu aku bawa Mazrib dan isteri makan di restoran Islam kambing panggang di restoran makanan Islam Guangzhau. Seperti biasa sambil menunggu makan disajikan juga hiburan tarian ala-ala arab oleh artis China dari wilayah Islam. Hidangan kambing panggang di sini memang menyelerakan. Malangnya Mazrib sakit cirit birit dan pening kepala. Sebelum itu petang aku melawat pesakit yang baru buat pembedahan Marina dari Sabah di monitor bilik ICU. Keadaannya nampak sihat. Dia boleh melambaikan tangan dan bercakap dengan keluarganya melalui telefon yang dihubungkan di ruang menunggu ICU. Kami juga sempat melihat pesakit lain dalam ICU melalui monitor TV yang disediakan di ruang menunggu.

5/11/Ahad

Dari pagi sampai petang temankan TKPS dan isteri shopping dan makan dikedai muslim dan beli kad telipon prepaid China telecom dan balik bilik teruskan baca buku bertajuk Hidup Sesudah Mati. Membaca buku-buku sebegini mengingatkan aku betapa mati itu adalah kenyataan. Memang sukar menerima kematian. Tetapi itulah yang pasti kita hadapi. Jadi lebih baik kita bersedia dari segi minda sebelum kematian benar-benar datang mengundang.

6/11/ Isnin

Pagi-pagi Ahlok dan En Ismail dari Sabah (Keluarga En. Ismail membawa anaknya Marina yang berumur 27 tahun dan pesakit buah pinggang) ke kedutaan memperbaharui visa. Aku dan TKPS selepas makan tengahari di kedai Muslim, pergi shopping lagi dipusat Shopping terkenal di Guangzhau kira-kira 45 minit menaiki teksi. Pusat Shopping itu begitu moden dan luas. Selesa untuk pejalan kaki dengan ruang pejalan kaki yang luas di tengah-tengah. Di kanan kira deretan kedai sejauh 2 hingga 4 kilometer. Pelbagai barangan termasuk jam rolex tiruan dan cenderamata. Ramai pembeli bukan sahaja rakyat tempatan bahkan dari luar negeri termasuk orang eropah. Yang aku hairan, aku boleh berjalan sepanjang gerai-gerai jualan dalam tempoh yang lama seakan-akan tidak ada sakit apa-apa. Balik dari Shopping singgah dikedai makanan Islam di depan mesjid tua. TKPS melawat dan sembahyang sunat di mesjid itu. Kami makan sup kambing, sate kambing ikan dan nasi goreng baru berharga 200 yuen atau RM 100. selepas itu balik dan tidur.

7/11 Selasa

Pagi aku lewat bangun tapi dikejutkan oleh nurse supaya pergi dialisis yang sepatutnya petang. Aku pergi dialisis. TKPS dan isteri melawat aku di pusat dialisis sebelum balik ke KL. Aku kembali terasa sunyi setelah TKPS dan isteri balik. Aku terus baca quraan untuk menghilangkan sunyi.


8/11 Rabu

Aku kembali menulis cerpen tentang suasana di China. Selain itu aku hanya duduk dalam bilik sahaja. Aku mulai merasa sakit2 sendi.

9/11/ Khamis

Pagi ini aku tak boleh jalan. Ahlok hantar aku pergi dialisis pakai kerusi roda.
Sakit gaut ku kembali menyerang. Seharian aku baring di katil selepas sesi dialisis

10/11 Jumaat

Sakit gaout ku benar-benar menyakitkan. Ia menyerang lutut, siku dan pergelangan kaki kiri. Yang paling menyakitkan ialah lutut dan siku. Semalaman aku terasa sakit tak boleh tidur.

Pengajaran

Cara menghidupkan dan mengendalikan Roh (Rohani) dan Jasmani kita adalah berbeda. Roh memerlukan santapan jiwa iaitu menghidupkannya dengan mendekatkan diri dengan Yang Maha Esa yang memegang jiwa kita, banyakan ibadah, solat, zikir dan baca quraan. Jasmani pula memerlukan kelaziman kita bergerak tepat pada waktunya dan berterusan (istiqamah) kerana ia akan membina tabiat (memprogramkan jam biologi) dalam sistem badan. Kita perlu seimbang menghidupkan dan mengendalikan Roh dan Jasmani untuk mencapai kesempurnaan insaniah

Wednesday, September 3, 2008

Catatan perjalanan 15/10 hingga 31/10/2006



15/10/06 Ahad

8.00 pg hingga 12.00 tgh pergi ke Bank Of China untuk bank in duit tapi terlampau ramai orang. Ahirnya masukkan deposit wang ke hospital. Sambil itu ambil masa rehat di tasik dan membeli belah di gerai sepanjang jalan. Malam menerima kedatangan En. Suhaimi pegawai TDC di wilayah ini dan bawa sekali anak isteri sambil bawa makanan untuk berbuka puasa. En. Suhaimi bersama 6 orang anak dan isteri dari Sabah.

16/10

Hj suhaime terangkan kedudukan kewangan sepeninggalannya dan beberapa perkara sekiranya ada timbul masalah. Mendapat rawatan sakit bisul di bontot oleh Dr. pakar. Menonggeng dan dicucuk lubang bontot. Sakit tapi ada harapan sembuh.ari 8.00 pg hingga 12.00 tgh jalani rawatan dialisis. Balik dari dialisis selepas timbang berat badan aku pitam. Sedar-sedar nurse dan Ahlok dan memangku dan membantuku ke kerusi roda dan bawa balik ke biilik penginapan. Petang nurse datang bawa ubat untuk bontot. Satu paket ubat untuk cuci dan satu paket lagi untuk masukkan dalam lubang bontot bagi bisul kering.

17/10 Selasa

Aku bangun awal untuk rawatan bahagian punggung dari jam 6.30 pgi lagi. Dari jam 8.00 pg hingga 12.00 tgh mendapat rawatan dialisis. Lepas dialisis aku pitam lagi. Mujur sebelum pitam sempat berpaut ke dinding dan sempat dipaut oleh Ayok. Mereka bantu aku balik sampai ke bilik penginapan.


Hj Suhaimi balik Malaysia dan pesan supaya aku banyak baca quraan dan solat tarawih. Aku jadi sayu sebab kesunyian. Aku ambil naskhah quraan yang Hj. Suhaime tinggalkan dan baca sampai puas.

18/10 Rabu

Dari jam 8.00 pgi hingga 10.00 pgi aku bersama Ahlok pergi ambil gambar untuk tujuan lanjutkan visa. Di samping itu aku serve internate di kadai gambar itu baca utusan malaysia dan hantar email pada abangku Jamil di Malaysia serta semak akaun dalam maybank2u.

19/10 hingga 30/10

Bilik yang aku dan Ahlok tinggal tak pernah sunyi. Selalu mendapat kunjungan daripada pesakit lain dari Malaysia dan Indonesia. Yang peling kerap mengunjungi ialah Ayok dan anaknya Ayun pesakit dari Sabah yang baru berumur 16 tahun ketika sakit. Ibunya (Ayok) telah 3 bulan di hospital ini menunggu organ yang sesuai untuk anaknya tapi belum dapat. Dia dan keluarganya terpaksa bergolok bergadai membawa anaknya ke hospital ini. Ayok meninggalkan kerjanya sebagai tukang gunting dan terpaksa meninggalkan anak dan suaminya di Sabah untuk sementaara waktu. Ayok dan Ayun yang banyak membantu selain Ahlok sebagai penterjemah kepada staff hospital atau menyampaikan apa-apa pesan yang berkaitan dengan arahan hospital. Jadi kami seakan sebuah keluarga yang besar di sini. Kami mengharungi hari-hari suka duka dan pahit getir bersama seperti satu keluarga yang mengalami nasib yang sama…

31/10/06

Selepas sesi dialisis aku diberitahu ada buah pinggang untuk darah jenis A. aku diminta bersedia dengan berpuasa, ambil darah, diberi suntikan dan dicukur bulu perut dan bawah perut oleh nurse. Keputusan sesuai atau tidak akan putuskan lewat malam. Aku gelisah menunggu keputusan. Tepat jam 10.30 telefon berbunyi meminta aku makan. Maknanya buah pinggang tidak sesuai. Hanya sepasang buah pinggang untuk darah jenis A dan B yang menunggu lebih sepuluh orang yang kebanyakannya dah tinggal di sini melebihi 2 atau 3 bulan. Aku rasa kecewa tapi tak boleh berbuat apa-apa


Pengajaran:



# Kedamaian adalah apabila kita dapat merasai kedamaian hidup orang lain, dan dapat merasai dan melihat orang lain menjalani kehidupan dengan aman dan tenteram.
kadang kala kesunyian itu adalah guru yang menyediakan tempat belajar untuk mengenali diri sendiri dan Tuhannya. Dengan bersendiri dalam sunyi, minda dan jiwa/rohani kita hidup dan mudah mengingati Allah. Terbayang kesunyian kubur dan tiada siapa melainkan kita dengan Tuhan.


# Bila kita diberikan waktu untuk sakit, gunakanlah sepenuhnya merasainya dan menikmati kerehatannya. Tidak Tuhan turunkan sakit dan masa sakitnya dengan sia-sia melainkan ada kebaikan disebaliknya


# Sentiasa ingat dan sedar bahawa Tuhan turunkan pertolongannya melalui sesaorang yang tidak semestinya keluarga dan adik beradik kita. Kadangkala orang yang langsung tidak kita sangka atau kenali. Terimalah dan bersyukurlah