Monday, March 23, 2009

Peluang Kedua


Kehidupan selepas transplant boleh dianggap peluang kedua. Hakikatnya tidak ramai yang mendapat peluang kedua. Kalau pun mendapat peluang kedua, seringkali tidak menghargainya. Atau jauh sekali mensyukurinya. Kerapkali pula melakukan kesilapan untuk kali kedua.
Bagaimana agaknya untuk kita benar-benar dapat memanfaatkan peluang kedua yang diberikan kepada kita.
Sebelum berjaya mendapat peluang kedua, sebaiknya kita sudah mempunyai azam atau niat atau wawasan. Jadi sebaik peluang kedua itu tiba, selepas bersyukur dan menghargainya kita wajib melaksanakan azam dan niat. Iaitu untuk memanfaatkan peluang yang diberikan sebaiknya. Misalnya;
1. Kesihatan
a. Mematuhi peraturan kesihatan yang telah ditetapkan selepas transplant seperti pematuhan pengambilan ubat, pengambilan pemakanan, dan menjalani pemeriksaan kesihatan berkala yang telah ditetapkan
b. Mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas
c. Meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan
d. Mendidik diri dan keluarga tentang penjagaan kesihatan yang sempurna
2. Ibadah
a. Menggunakan masa sihat yang diberikan dan mengisikannya dengan perkara-perkara baik.
b. Memperbanyakkan ibadah, menggantikan apa saja ibadah yang tertinggal,
c. Meninggalkan semua perkara atau tabiat buruk.
d. Meningkatkan amal kebajikan dan ibadah fardu Ain dan fardu kifayah.
Pepatah Arab ada menyebut yang maksudnya;` Orang yang memiliki kesihatan mampu memiliki segala-galanya’


Wassalam

Tuesday, February 24, 2009

Rutin Kehidupan


Salah satu rutin kehidupan selepas pembedahan adalah pengambilan ubat setiap hari dan pemeriksaan perubatan berkala. Di peringkat awal kita akan rasa terbeban. Tetapi bila rutin itu telah sebati, ia menjadi satu tabiat baik. Tabiat ini pula meresap dalam kehidupan seharian yang mendorong kearah kebaikan pula. Contohnya, kita lebih menepati masa dan jadual harian , lebih menghargai masa dan kesihatan.


Kita akan sentiasa ingat dan waspada kepada rutin hidup yang sepatutnya kita jalani walaupun ketika kita sihat. Di sinilah sewajarnya kita mengatur semula rutin kehidupan sebenar iaitu rutin hidup seorang muslim. Bermula dengan bangun sepertiga malam untuk qiamulail (ibadah malam), solat Subuh, solat Israk dan Dhuha, Solat Zohor, Asar, Magrib, dan Isyak, disamping ibadah fardhu yang lain. Bukan sahaja untuk memantapkan takwa dan iman malah rutin ini mampu menjinakkan dan mendidik jiwa. Natijah darinya pula terhasillah suatu keseimbangan rohani, jasmani dan mental. Atau dalam istilah biologinya dikaitkan dengan penghasilan hormon endorphin yang membantu menstabilkan emosi, pemikiran dan perlakuan.


Rutin yang biasanya berat untuk kita lakukan akhirnya menjadi ringan bila telah sebati menjadi tabiat. Contohnya untuk bangun malam sekitar jam 3 atau 4 pagi adalah sangat sukar. Apatah lagi untuk bangun menghidupkan malam (Qiammullail) atau bersolat Tahajud. Namun, bila rutin ini dibangunkan dan dijana sebaiknya hingga menjadi tabiat, ia bukan saja satu yang ringan malah menjadi satu kemanisan beribadat. Demikianlah juga dengan tabiat-tabiat baik yang lain. Tapi malangnya apa yang lazim kita lakukan ialah memperkukuhkan perlakuan tabiat tidak baik. Contoh melewat-lewatkan mengerjakan solat, menangguh-nangguhkan ibadat hingga akhirnya sebati dan menjadi suatu yang amat membebankan. Lebih malang lagi sekiranya tabiat buruk yang kita perkukuhkan itu memudaratkan diri sendiri. Contohnya perlakuan maksiat, mungkar, dadah, alkohol, rokok dan pengambilan bahan haram dan seumpamanya.
Selepas berjaya menjalani pembedahan, kita sentiasa sedar risiko dan perlunya menjaga tahap kesihatan. Itulah yang menguatkan kita patuh pada rutin harian yang sewajarnya. Namun itu bukan berarti kita tidak akan mati.


Ajal dan maut telah Allah tetapkan. Ada 1001 sebab atau cara kita dimatikan. Kalau bukan kerana penyakit kronik, mungkin mendapat jangkitan virus (1001 jenis virus) dari HIV Aids hinggalah kepada virus yang belum dapat dikenalpasti. Hanya Allah yang tahu. Atau mungkin bukan sebab virus tetapi dalam bentuk kemalangan atau kecelakaan (1001 sebab dan punca kemalangan) dari sekecil-kecil kemalangan kepada sebesar-besar kemalangan yang membawa maut. Dari kemalangan jalan raya hingga kepada kemalangan dalam rumah atau bencana alam. Atau mungkin juga kematian dari serangan haiwan ganas atau serangga kecil. Dari sebesar dan seganas harimau hingga kepada sekecil serangga seperti nyamuk (denggi dan malaria).
Kita mesti sedar walaupun ketika ini kita sihat dan kuat, mungkin esok lusa kita lemah dan mati hanya disebabkan satu gigitan nyamuk. Yang lebih penting kita sedari ialah perlunya kita sentiasa sedar dan insaf untuk berhadapan dan bersedia menghadapi mati. Ibadah dan amal soleh adalah bekalan yang perlu kita sediakan ketika kita sedang sihat walafiat. Ketika kita masih kuat, berupaya melakukannya dan mempunyai banyak masa dan tenaga.


Pengalaman merasai sakit kronik telah banyak mengajar dan mengingsafkan saya betapa kita perlu memanfaatkan masa sihat untuk kebaikan khususnya untuk beribadat. Pengalaman ini perlu dikongsi bersama. Kita tidak akan dapat lari dari menghadapi mati, tetapi kita masih berpeluang memperbaiki dan mempersiapkan diri kearah kematian. Sebab itulah seperti hadis Nabi, orang paling bijak adalah orang yang sentiasa ingat kepada kematian.
Sekali sekali kalau kita boleh memandang sekeliling. Memerhatikan berapa ramai orang yang kita kenali atau rakan-rakan kita yang telah pergi meninggalkan kita. Mungkin ibu bapa kita, adik beradik, saudara mara, rakan-rakan sepermainan, rakan-rakan waktu belajar, rakan-rakan sekerja dengan 1001 cara kematian. Kita tidak akan terkecuali dari giliran itu. Mungkin waktunya telah sangat hampir, atau masih jauh lagi. Tetapi selalunya kita cenderung mengandaikan giliran kita masih jauh. Jarang kita mau menerima hakikat sebenar bahawa giliran kematian kita memang sangat hampir. Alasan tahap kesihatan bukan jaminan kita akan hidup lama. Sebab ada 1001 punca kematian. Kalau kita sihat dan kuat pun ketika ini, mungkin menjelang petang nanti kita mati dilanggar kereta ketika menyeberang jalan atau mati tertelan tulang ayam atau mati dikelar penjenayah. Waullahua’lam. Ini kenyataan. Bukan khayalan dan berlaku setiap hari dan disiarkan dalam semua media setiap hari. Tapi biasanya kita bersikap perkara itu memang berlaku pada orang lain tapi bukan berlaku pada diri kita.
Sama-samalah kita renungi bersama

Saturday, January 31, 2009

Muhasabah Diri



Setiap awal tahun perkara pertama yang patut kita fikirkan adalah menilai diri sendiri sepanjang tahun lalu. Menilai diri dari atau Muhasabah diri banyak membantu memperbaiki dan meningkatkan motivasi diri. Sekiranya matlamat kita adalah untuk meningkatkan kesihatan diri, maka tabiat dan amalan kesihatan yang kita amalkan sepanjang tahun lepas mungkin perlu dipertingkatkan.

Tahap kesihatan yang ingin kita tingkatkan bukan saja kesihatan fisikal, tetapi meliputi kesihatan mental, emosi, rohani dan jasmani.

Kita boleh mulakan dengan meningkatkan kesihatan rohani supaya aspek kesihatan fisikal, mental dan emosi akan turut meningkat.

Keadah terbaik meningkatkan kesihatan rohani adalah dengan kaedah keagamaan khususnya ibadah-ibadah yang wajib (Fardu Ain). Solat adalah ibadah pokok yang utama untuk kita tingkatkan kualitinya. Bukan sekadar menunaikannya sahaja. Dari masa kesemasa kita bukan saja wajib menyempurnakannya malah meningkatkan penghayatannya. Kerana kesan yang dirasai dari penghayatannya akan meningkatkan semua elemen kesihatan dan mampu memberikan kebahagian yang ingin kita kecapi.

Bila kita bermuhasabah diri, bertanyalah kepada diri kita sendiri mengenai perkara-perkara berikut;

1. Adakah selama ini kita menganggap solat kita penting dan selalu kita utamakan berbanding dengan keperluan lain. Atau kita sering mendahulukan perkara lain dan menjadikan solat sebagai priority kedua, ketiga atau yang terakhir.

2. Adakah hati kita hadir dalam setiap solat yang kita tunaikan. Iaitu adakah kita benar-benar khusu' dalam setiap kali menunaikan solat.

3. Adakah kita memahami setiap kalimat bacaan dalam solat, dan memahami setiap gerak geri solat untuk kesempurnaan solat kita.

4, Adakah kita merasai sebarang perbezaan sikap atau tabiat atau amalan sebelum dan sesudah solat. Yang pasti solat yang sempurna akan mencegah kita dari perbuatan dan amalan tidak baik (keji)

5. Adakah kita sedar perkara pertama yang akan ditanya oleh Allah sekembalinya kita ke alam Barzah ialah solat kita.

Sama-samalah kita bermuhasabah diri menjelang awal tahun ini


Wassalam

Monday, December 15, 2008

Mengenang dan Mensyukuri Nikmat Sakit dan Sihat


Menjelang tarikh 28hb Disember 2008 ini, buah pinggang baruku aku mencapai usia 23 tahun, meskipun usiaku sendiri sudah mencapai hampir 53 tahun. Sejak transplant dua tahun yang lalu kesihatanku semakin stabil.


Syukur Alhamdullillah. Ku panjatkan kesyukuran yang amat mendalam kehadirat Allah, yang Maha Pengasih dan Penyayang. Telah dipilihnya aku untuk menerima anugerah kesihatan yang tidak terhingga nilainya.


Aku tak pernah lupa mengingati setiap detik kesengsaraan ketika sakit. Itulah yang menguatkan tekad dan azamku untuk terus beristiqamah dalam ibadat. Bukan sahaja niat dan hajat ketika masih sakit, malah itulah hasrat ketika sebelum sakit lagi. Allah Maha Pemurah, ditunaikan hajat itu setelah ditimpakan musibah sakit.


Sesungguhnya, nikmat kesihatan itu juga merupakan ujian Allah. Sejauhmana kita mensyukuri nikmat sihat itu untuk berbuat kebajikan atau sebaliknya. Kadangkala kita mudah hanyut dengan tahap kesihatan yang baik. Kita merasa kuat dan sempurna. Kadangkala kita terlanjur menyalahgunakan nikmat sihat untuk melakukan perkara yang ditegah oleh agama. Sehinggalah kita sedar semula bila Allah kurniakan kita sakit. Mujurlah Tuhan kurniakan sakit untuk menyedarkan kita. Dengan perantaraan sakit itu kita mula menghargai nikmat sihat. Kita juga terpanggil untuk memohon ampun dan bertaubat kerana barangkali kita telah lalai atau melupakan Allah.


Masa berlalu begitu pantas. Dua tahun sejak pembedahan terasa seakan baru semalam berlalu. Masih terbayang wajah pucat lesiku. Masih terasa tusukan jarum dan aliran darah di salur mesin hemodelisis. Masih tergambar wajah semua jururawat dan doktor. Semua suasana itu terasa masih baru kulalui. Tak pernah terlintas untuk aku kembali sihat sebelum ini. Yang terbayang hanya maut yang sedang menanti. Segera aku teringat Firman Allah yang bermaksud.

Barangsiapa bertakwakal kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka.Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya.Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya.Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.

Tuesday, December 9, 2008

DERMA ORGAN

Anugerah Kehidupan Yang Tidak Ternilai

Isu mengenai kematian serta pendermaan organ adalah sesuatu yang sukar untuk diperkatakan.Apatah lagi untuk mereka yang kehilangan orang yang tersayang.Ia juga merupakan perkara yang rumit bagi kakitangan perubatan yang sentiasa berusaha untuk menyelamatkan nyawa seseorang pesakit. Keputusan untuk mengizinkan penderma organ dan tisu seseorang yang disayangi apabila beliau meninggal dunia, bukan sesuatu yang mudah. Ia membangkitkan beberapa kemusykilan bagi keluarga simati. Untuk meringankan beban mental keluarga kita semasa kematian, haruslah kita membuat pengakuan persetujuan untuk menderma organ dan tisu semasa hayat kita.

Dengan mendaftarkan diri kepada Daftar Penderma Organ Nasional, anda akan membenarkan organ dan tisu anda digunakan bagi tujuan transplan, selepas anda meninggal dunia. Ini akan mengubahkan kehidupan beberapa orang yang mengalami kegagalan organ supaya menjadi lebih selesa dan sempurna serta dapat menyelamatkan nyawa mereka dari maut.
Kita sedar bahawa isu pendermaan organ dan tisu adalah suatu isu yang menimbulkan banyak persoalan. Oleh itu, berikut adalah penjelasan kepada beberapa persoalan yang sentiasa ditimbulkan.

Siapakah Yang Layak Menjadi Penderma ?

Sesiapapun,sama ada tua ataupun muda boleh mendaftar sebagai penderma organ dan tisu. Walau bagaimanapun mereka yang berusia kurang daripada 18 tahun perlu mendapat kebenaran ibubapa atau penjaga terlebih dahulu.

Apakah Itu Pendermaan Organ?

Ia adalah proses mendermakan bahagian tubuh badan seseorang untuk transplan selepas ianya meninggal dunia.

Transplantasi (Permindahan Organ) adalah suatu pembedahan yang melibatkan pertukaran organ atau tisu yang mengalami kegagalan fungsinya dengan organ atau tisu yang berfungsi dengan lebih memuaskan daripada seseorang penderma yang telah meninggal dunia. Dengan cara ini, maka kehidupan penerima organ atau tisu itu akan menjadi lebih selesa dan sempurna serta nyawanya akan terselamat. Pendermaan organ dan tisu adalah satu amalan kemanusiaan yang mulia.

Apakah Organ dan Tisu Yang Boleh Didermakan?

Pada umumnya organ-organ yang boleh didermakan adalah buah pinggang, jantung, hati(heper), paru-paru dan pankreas. Tisu-tisu yang boleh didermakan adalah mata, tulang, kulit dan injap jantung. Ini bermakna, seseorang penderma akan dapat mengubah kehidupan serta menyelamatkan beberapa orang pesakit.

Bilakah Organ dan Tisu Si Penderma itu Diperolehi?

Proses perolehan organ dan tisu daripada tubuh seseorang penderma itu hanya akan dilakukan apabila kematian telah disahkan oleh dua orang doktor dengan pengesahan kematian seseorang penderma itu adalah bebas dan tiada kaitan dengan pemindahan organ dan tisu.

Apakah Perbezaan Rawatan Jika Diketahui Anda adalah seseorang Penderma?

Tidak! Doktor -Doktor yang merawat anda akan berusaha sedaya mungkin dengan mengambil semua tindakan serta langkah yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawa anda. Persoalan mengenai pendermaan organ dan tisu akan dibincangkan dengan waris anda hanya selepas kematian telah disahkan

Adakah terdapat Bantahan Dari Sudut Agama?

Tiada! Kebanyakan agama di seluruh dunia seperti Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan Sikh mengiktiraf pendermaan organ dan tisu sebagai satu amalan yang mulia

Bagaimana Organ Pendermaan itu dipindahkan?

Proses pemindahan organ dan tisu membabitkan suatu pembedahan yang bersih dan suci hama. Pembedahan ini dijalankan di dewan bedah hospital oleh pakar bedah yang berpengalaman. Perolehan organ serta tisu seseorang penderma ini tidak akan menjelaskan rupa dan bentuk tubuh badannya. Selepas organ dan tisu diperoleh, luka pembedahan itu akan dijahitkan dengan sempurna dan jenazah si penderma ini tidak akan mengalami apa-apa kecacatan fizikal. Segala proses pembedahan pemindahan ini dijalankan dengan rasa penuh hormat dan tertib sepertimana pembedahan-pembedahan biasa

Bagaimana Jika Anda Berubah Fikiran Menderma?

Pendermaan organ adalah suatu niat yang tulus ikhlas dan anda berhak untuk membatalkan hasrat ini pada bila-bila masa. Tiada sesiapapun yang dipaksa untuk menderma organ dan menukar fikiran untuk tidak menderma organ dan tisu. Anda hanya perlu memberitahu keluarga anda mengenainya dan memulangkan kad penderma organ anda kepada kami.

Adakah proses pendermaan Organ akan melambatkan urusan pengebumian Jenazah?

Tidak! Urusan pengebumian boleh dijalankan seperti biasa. Selepas organ dan tisu diperolehi dari tubuh penderma maka jenazah akan dibersihkan, dikapankan dan dipulangkan kepada waris penderma secepat mungkin. Proses perolehan organ dan tisu tidak akan menjejaskan adat pengebumian seperti upacara penghormatan kepada jenazah.

Bagaimanakah Anda Berhajat Untuk Menjadi Seorang Penderma Organ?

Anda perlu mengisi borang akaun penderma dan kad penderma. Borang yang telah dilengkapkan perlu dihantar kepada Pusat Sumber Transplan Nasional, sementara kad penderma anda hendaklah disimpan dalam dompet dan dibawa bersama anda pada setiap masa.
Anda Dinasihatkan untuk memaklumkan hasrat anda untuk
menjadi seorang penderma organ dan tisu Kepada Keluarga Anda?

Ini akan memudahkan serta melicinkan proses mendapatkan keizinan perolehan organ dan tisu selepas kematian anda kelak.

Mati Otak dan Pendermaan Organ

Pemindahan organ hanya akan dilakukan setelah pesakit disahkan mati otak. Bagi melaksanakan pemindahan ini anggota perubatan perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada ahli keluarga terdekat penderma. Pembedahan pemindahan organ hanya akan dilakukan setelah mendapat kebenaran ahli keluarga pesakit yang mengalami mati otak tersebut.

Apakah yang dikatakan MATI OTAK?

Mati otak ialah keadaan tiada pengedaran darah dan oksigen ke otak yang menyebabkan keseluruhan otak (termasuk batang otak iaitu penghidupan seperti pernafasan dan denyutan jantung) tidak lagi berfungsi. Kehilangan fungsi otak ini tidak boleh dipulihkan.

Sumber : MyHEALTH Portal

Monday, November 24, 2008

Cerpen 1- GINJAL


Masih Berdarah. Masih merah, hangat dan segar.

Doktor Soon meletakannya dalam dulang kecil standard steel. Seketul ginjal muda, baru tiba dari utara Nanning. Kira-kira empat jam sejak ketibaannya dari Penjara Republik Rakyat China. Ia cukup sihat untuk dipasangkan kepada pesakitnya, Dino. Satu-satunya pasakit dari Malaysia. Profil darahnya sepadan. Jenis grup A. Setelah analisa `cross match’ mencapai point lima. Satu titik kesesuaian yang sempurna.

Sesudah tanda tangan setuju terima risiko, para jururawat menyiapkan Dino. Suntikan anti alahan. Cecair `flushing’ najis. Pembersihan kulit dan bulu bawah perut..

Di atas troli Dino sudah pasrah. Amat menyedari tentang risiko besarnya. `Reject’ atau komplikasi. Malah dia dapat merasai kengerian maut yang bakal menanti.

Sepanjang perjalanan ke Dewan bedah, terbayang kematian. Terasa seakan berbaring di keranda usungan.

Dewan dipenuhi peralatan bedah. Bau ubat aticeptic keras dan menusuk. Bahang lampu limpah menyorotkan cahaya terang ke muka. Salur-salur air, darah, dan cairan ubat berselirat menembusi kulit Dino. Juga wayar-wayar elektrod ke monitor tekanan darah, melekat di kanan kiri lengan. Bunyi dan geraf nadi jantung berselang seli di paparan monitor. Dino kini dalam tawanan sekelompok doktor dan jururawat.

Satu suntikan bius di pinggul membuat Dino terpejam. Sakit yang menusuk hingga ke tulang. Sesudah itu semuanya kabur. Dino tidur seperti lenanya bayi dalam buaian. Dia boleh melupakan kesakitan sementara doktor membelah kulit perutnya. Ginjal itu akan dipasangkan di sebelah kanan bawah pusatnya.

Ginjal itu adalah dari tubuh Lao Meng. Seorang remaja berusia 20an. Bukan penderma organ. Tetapi banduan jalanan yang licik dan lincah.

Segala-galanya bermula apabila Lao Meng terdesak. Anak muda ini sering dihimpit kemelaratan. Ibunya petani dan bapanya nelayan. Itulah kehidupannya di sebuah perkampungan petani di sepanjang tebing sungai utara Naning. Ternyata dia tidak mewarisi keazaman ibu bapanya. Cuba mencari kehidupan baru di kota Nanning. Kota yang menuntut kerja keras. Sebagai buruh kasar di pasar pagi tidak menjanjikan pulangan lumayan. Peras ugut dan penipuan membuatnya jadi kejam. Jalan singkat dengan sedikit keberanian membuatnya licik. Dari penipu kepada pemeras akhirnya pembunuh.

Penyesalan adalah yang terakhir dirasai selepas setiap tindakan bodoh. Sebaik tertangkap hukuman yang setimpal adalah hukum bunuh.

Sebelum subuh, doktor Soon dan pembantunya telah menunggu luar di kaunter penjara. Bahawa tempahan ginjal dari banduan berusia dua puluhan itu telah siap untuk diterima. Baik Lao Meng atau atau doktor Soon kedua-dua saling tidak mengenali. Namun seketul ginjal sangat diperlukan untuk menyambung nyawa Dino, pesakit yang pasti tidak mau mengenali pendermanya.

Maut benar-benar datang menjemputnya.

`Oo Tuhan, begini rupanya mati’, Dino memandang sekeliling. Semua kabur dengan warna putih.

Dia cuba merasakan sesuatu. Menyentuh kulitnya dan mencubit pipinya. Tiada sebarang rasa deria. Terdengar tapak-tapak kaki menjauh dan mendekat. Namun tiada siapa yang kelihatan

`Ah, aku benar-benar sudah mati sekarang’...Dino memejamkan mata, bimbang mendepani saat seterusnya.

Tiba-tiba dirasakan tubuhnya digegarkan.

`Bangun!, bangun!’.

Dino terkejut dan membuka mata. Seorang lelaki tegap tinggi telah di sisinya. Wajahnya yang muram merisaukan Dino. Seperti ada sesuatu yang menjengkelkannya. Dia tercegat dan berbogel tanpa seurat benang. Tubuhnya dipenuhi kesan tembakan. Dari sisi, Dino terlihat belahan kulit memanjang dari belakang hingga ke sisi perut. Masih ada bekas-bekas darah membeku tanpa sebarang jahitan.

`Kembalikan ginjalku!!!!’. Dia berteriak sambil menguis-nguis perut Dino.

`Aku tak rela…kembalikan!, kembalikan!!!!. Dia seakan-akan mengaruk dan begitu terdesak sekali

Dino cuba bangun, tetapi tidak berdaya. Cuba menjerit, juga tidak terkeluar suara. Dino cuba memahami kehendaknya. Tetapi semua nampak sia-sia. Tangan lelaki itu telah mencengkam lehernya. Semakin kuat dan keras. Dino semakin kesuntukan nafas.

` Ini adalah kematian yang menyakitkan’…Oo Tuhan, berilah aku kematian yang ringan dan tidak menyakitkan’…keluh Dino sambil menahan kesakitan.

Tiba-tiba terdengar bunyi sesaorang menarik langsir. Cahaya putih dari atas silling menerangi ruang bilik. Di sisinya doktor Soon dan seorang jururawat mengawasi bacaan tekanan darah di paparan monitor.

`Tahniah En. Dino, pembedahan telah berjaya’. Doktor Soon tersenyum melihat Dino yang masih kebimbungan.

`Ginjal berfungsi dengan baik. Cretenine dalam darah menurun hingga 180 ml. Tekanan darah stabil 120/80. Ukuran kencing mencapai 1000 ml dalam masa dua jam. Cuma sedikit tanda rejection. Semuanya akan berjalan dengan baik!’…Doktor Soon menyakinkan Dino.

`Syukur Alhamdulillah’. Itulah yang mampu diucapkannya. Dino merasa begitu lega. Bahawa dia masih hidup setelah merasai mati beberapa ketika.

`Rupanya tidak semudah itu mati’….bisik hatinya. Itu benar-benar menyedarkanya. Betapa dia kini sangat berazam untuk mendekatkan diri dengan Tuhan. Bersyukur dengan peluang kedua untuk memperbaiki dirinya. Bertaubat dan banyak beribadat akan menjadi amalan hariannya. Semuanya untuk menghadapi mati yang tenang. Seboleh-bolehnya dia ingin menghabiskan sisi hidupnya dengan mengabdikan diri kepada Tuhan.

Dia masih terbayang lelaki bogel dalam mimpinya. Benarkah ginjal itu miliknya. Jika dia tidak rela Dino juga tidak akan merasa tenteram menerimanya. Dia berazam untuk mendapat kepastian doktor Soon tentang latarbelakang penderma ginjalnya. Tapi untuk sementara waktu, biarlah Dino melupakannya.

Kini setelah hampir tiga bulan selepas menjalani pembedahan, Dino kembali pulih sepenuhnya. Selera. Dino merasa segar, cergas malah lebih sihat dari sebelum mengalami penyakit kegagalan ginjal.

Setiap kali menghadapi masakan Cina, selera makannya membuak-buak. Dia menggemari bau aroma dari dapur Cina. Lebih gemar menggunakan `chopstick’ dari sudu atau tangan. Lebih selesa makan sambil mengangkat sebelah kaki ke atas kerusi. Berat badannya naik mendadak. Sedikitpun tidak merisaukannya. Namun ia sangat merisaukan anak dan isterinya. Perubahan itu amat nyata dan membingungkan keluarganya.

Dino berjalan semakin pantas. Memandu kereta semakin laju, mudah hilang sabar dengan pemandu perlahan di lorong kanan. Dino begitu cepat naik darah. Memaki hamun apa saja yang menghalang-halanginya di jalanan. Tidak ragu-ragu untuk membunyikan hon, memotong barisan atau melanggar belakang bumber kereta yang menghalang laluannya.

Kemarahan tidak berakhir di jalanan. Terbawa-bawa hingga ke rumah. Isteri dan anak-anaknya menjadi sasaran. Juga apa saja yang terlihat di depan matanya, hiasan, pasu bunga, peti TV, pinggan mangkuk. Semuanya menjadi sasaran. Nafsu marahnya mudah teransang. Kulitnya bertukar merah hingga ke telinga. Wajahnya tidak lagi setenang dulu.

Doktor Soon telah mencuba berulangkali untuk menghubungi Dino tetapi tidak berhasil. Dia perlu tahu perkembangan Dino dan memantau pengambilan ubat anti rejection sepanjang hayat. Doktor Soon juga sedar tentang bahaya risiko penularan hormon `x’ dari penderma yang boleh menjangkiti perlakuan penerima. Sekiranya berlaku sebarang perubahan perlakuan yang melampau, Dino perlu dirujuk semula ke hospital Nanning di China. Sehingga kini, semua mesej dan e-mail kepada Dino tidak berjawab. Dalam tempoh tiga bulan sekiranya hormon `x’ tidak dibendung, Dino akan terjebak sepenuhnya dengan penularan perlakuan songsang penderma.

Dino semakin kerap meninggalkan solat. Menjadi semakin tidak sabar dengan semua perkara termasuk amalan ibadat dan urusan keluarga.

Nada marahnya amat kasar…terkeluar segala rupa sumpah seranah. Anehnya semua sumpah seranah itu sukar difahami oleh anak isterinya. Yang pasti sumpah kesat dalam bahasa Cina Manderin pekat dengan loghat utara Nanning.

Sewaktu melayari internet, isteri Dino terkejut membaca mesej e-mail doktor Soon. Ia merupakan jawapan kepada pertanyaan Dino tentang latarbelakang penderma ginjalnya, tercatat seperti berikut;

Nama penderma ; Lao Meng Hoon
Jantina ; lelaki
Usia ; 21 tahun
Group Darah ; A
Pekerjaan ; Buruh Kasar
Rekod Jenayah ; 5 kes curi, 4 kes pecah rumah, 3 kes bunuh, 6 kes
Rogol
Kategori ; Penenayah berbahaya, licik dan kejam
Hukuman ; Penjara di bilik terakhir
Tembak sampai mati.
Isteri Dino bergegas keluar rumah bersama anak-anaknya. Membawa apa saja yang sempat dicapai. Destinasinya belum jelas. Yang pasti lokasi yang selamat. Sebaik-baiknya di balai polis. Tetapi Balai Polis terdekat kira-kira 15 kilometer dari rumah. Sebaik-baik membuka pintu pagar, Dino telah tercegat. Di tangannya tergenggam sebilah parang yang masih melekat serpihan darah. Tiba-tiba tersungkur sebaik dentuman peluru menembusi belakang kepalanya. Sekumpulan anggota polis muncul dari balik kereta peronda membawa mayat Dino ke hospital.

Sa'don Suraji

Putrajaya
28 Ogos 2008

Kehidupan Selepas Transplant

Sesudah menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang, pesakit wajib menjalani rutin harian yang lebih berdisiplin, khususnya tentang jadual pengambilan ubat, jadual pemeriksaan kesihatan, kebersihan diri dan mematuhi setiap arahan doktor. Sebaik-baik selepas pembedahan dan dibenarkan pulang, beberapa peraturan berikut perlu dipatuhi dengan ketat;

1. Menjalani tempoh kurantin selama 6 bulan dan tidak boleh terlalu terdedah kepada orang awam
2.Memakai topeng (mask) dalam tempoh kurantin (6 bulan) bagi mengelakan jangkitan
3. Wajib mengambil ubat `anti rejection' iaiatu `cellcept' dan `prednicilone' 2 kali sehari atau sebagaimana yang ditetapkan oleh doktor.
4. Mengawal diet dan menjaga permakanan.
5. Menjalani pemeriksaan kesihatan berkala iaitu seminggu sekali, sebulan sekali, tiga bulan sekali dan akhirnya enam bulan sekali (bergantung kepada status kesihatan)
6. Sentiasa mendapat nasihat doktor khususnya tentang pengambilan ubat. Jangan sesekali mengambil atau menolak ubat tanpa nasihat doktor.
7. Sentiasa merujuk kepada hospital (unit nefrologi) tentang sebarang masalah berhubung dengan tahap kesihatan.

Selain dari perkara di atas, pesakit boleh melakukan aktiviti harian dan menjalani kehidupan normal seperti biasa.

Beberapa perubahan akan dapat dirasakan selepas menerima organ buah pinggan baru iaitu;

1. Lebih sihat dan cergas
2. Selera makan bertambah
3. Bebas dari rawatan dialisis
4. Bagi wanita, tahap kesuburan mereka akan meningkat
5. Bagi lelaki akan mengalami peningkatan dari segi keupayaan seks
6. Jika tidak mengawal diet akan cepat mengalami peningkatan berat badan
7. Mengalami kesan sampingan tertentu pengambilan ubat seperti gegaran pada jari tangan dan lain-lain seperti jerawat, bintik-bintik. Kesemua dapat dikawal dan diatasi dengan nasihat dan rawatan doktor.