Tuesday, March 31, 2009

Hidupkan lampu-lampu dalam diri


Banyak lampu yang telah terpadam dalam diri kita. Lampu akan malap dan terpadam setiap kali kita lupa menghidupkannya. Hati atau jiwa adalah seperti sebuah mentol lampu, setiap dosa yang kita lakukan, satu titik hitam akan terpalit dicermin mentol lampu jiwa. Semakin banyak dosa semakin banyak titik hitam menyelaputi hingga terpadamlah cahaya dari mentol lampu itu.
Berusahalah kearah menghidupkan lampu-lampu dalam jiwa kita. Amalan baik dan ibadah yang berterusan akan menghidupkan cahaya dalam jiwa dan hati.
Jika tabiat baik dalam diri yang menghasilkan sikap dan perwatakan kita boleh diibaratkan sebagai lampu, maka banyak sekali lampu yang perlu dihidupkan untuk menerangi arahtuju kehidupan kita didunia dan di akhirat. Berusahalah menggilap lampu agar terus bercahaya menerangi kehidupan ini.

Berapakah kali kita mati dalam sehari?.







Berapa kali kita melihat kematian setiap hari?. Pastinya melebihi sekali. Setiaphari akan ada saja kematian. Samada disiarkan diakhbar atau diradio dan TV. Mengikut perangkaan kematian akibat kemalangan saja diseluruh didunia dicatatkan pada setiap minit. Kematian yang datang dengan 1001 cara kematian ini berlaku dan terus berlaku. Tidak kira kita telah bersedia atau belum, samada kita masih muda atau tua, tidak kira kita masih sihat atau sedang sakit. Hakikatnya itulah kematian yang akan mendatangi kita. Dalam 1001 cara kematian setiap hari yang kita lihat, baca dan dengari, salah satunya akan menjadi cara kematian kita. Yang terbaiknya kita hayati setiap kematian orang lain itu untuk persediaan kita. Anggap bahawa kematian orang lain tidak akan ada bezanya dengan cara kematian kita nanti. Dan jangan takut untuk menerima hakikat bahawa ajal kita boleh datang pada bila-bila masa dan ketika sahaja. Satu sahaja yang mampu kita lakukan iaitu bersiap sedia untuk menghadapi kematian dengan tunduk patuh kepada perintah dan suruhan dan menjauhi larangan Allah. Bersedia dengan bekalannya untuk kembali ke alam barzah dengan tidak meninggalkan kewajipan dunia dan akhirat. Insyaallah kita selamat.

Monday, March 30, 2009

Kisah Pesakit Buah Pinggang




Bila ginjal gagal berfungsi



Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISArencana@kosmo.com.my



Buah pinggang yang dipanggil nefron berfungsi mengkumuhkan kotoran dari dalam badan. Apakah kesannya jika ia tidak lagi berfungsi?
AHMAD Saadan, 52, pada mulanya tidak percaya apabila doktor mengesahkan beliau menghidap penyakit buah pinggang peringkat akhir (end stage renal failure).
Doktor memaklumkan Ahmad bahawa dia perlu menjalani rawatan dialisis menggunakan mesin untuk mencuci darah seumur hidup. Sebelum ini, dia telah beberapa kali menjalani pembedahan di lengan, leher, dada dan terakhir pada kaki akibat komplikasi yang dihidapinya.
Menurut Ahmad, segala-galanya bermula sebaik sahaja dia menamatkan perkhidmatan sebagai anggota tentera pada tahun 1992. Dia, kemudiannya pulang ke kampungnya di Taiping, Perak.
Dengan wang pampasan sebanyak RM60,000 yang diterimanya bagi tempoh 16 tahun perkhidmatan, dia membuka sebuah gerai buah-buahan pada waktu siang dan mengendalikan restoran pada sebelah malam.
"Selepas empat tahun berniaga, saya mula mengalami demam dan lenguh-lenguh badan. Walaupun begitu, saya tidak ambil kisah kerana menyangka ia adalah sakit biasa akibat seharian penat bekerja.
"Sehinggalah saya jatuh pengsan semasa berniaga di restoran. Saya dihantar ke Hospital Taiping dan disahkan mengidap penyakit buah pinggang.
"Doktor memberitahu, puncanya bukanlah disebabkan penat bekerja tetapi kerana pengambilan ubat tahan sakit yang berlebihan," kata bapa kepada lima orang anak itu. Ahmad mengambil ubat tahan sakit untuk melegakan penyakit gout yang dideritainya.
HARAPAN Ahmad kini cuma bergantung pada satu salur darah untuk proses dialisis iaitu salur darah pada paha kiri beliau.
Hasil bedah siasat, doktor mendapati buah pinggang Ahmad telah rosak. Malah pemeriksaan doktor juga mendapati kedua-dua buah pinggangnya mengecut dan tidak lagi boleh berfungsi.
Buah pinggang merupakan satu unit kecil yang dipanggil nefron. Ia terletak di kiri dan kanan pinggang tubuh manusia dan berfungsi mengeluarkan bahan kotoran dari badan.
Selain itu, buah pinggang membantu mengeluarkan air berlebihan dari dalam badan serta mengawal keseimbangan garam, asid, alkali, dan bahan-bahan kimia di dalam badan.
Buah pinggang juga berfungsi mengawal tekanan darah, membantu mengawal proses penghasilan sel darah merah dan mengawal ketumpatan tulang.
"Doktor memberitahu, penyakit saya sudah di peringkat akhir. Saya terkejut kerana penyakit ini tidak memberi sebarang tanda pada peringkat awal, selain mengalami demam dan lenguh-leguh badan sahaja," katanya ketika ditemui semasa melakukan rawatan dialisis di Hospital Serdang, Selangor baru-baru ini.
AHMAD sentiasa ditemani isterinya untuk berulang-alik ke Hospital Taiping sebanyak tiga kali seminggu untuk mendapatkan rawatan dialisis.
Ahmad yang mendapat bantuan daripada Kementerian Pertahanan mula menerima rawatan dialisis sejak tahun 2001.
Pada peringkat awal, beliau dikehendaki menjalani kaedah rawatan pencucian darah melalui lapisan peritoneum (CAPD).
Namun Ahmad mengalami komplikasi usus bocor sewaktu pembedahan meletakkan katerer tenckhoff di dalam perut nya.
Rongga perut beliau tidak boleh menampung rawatan CAPD sekali gus memaksanya melakukan rawatan hemodialisis. Bagaimanapun, semua fistula iaitu sambungan salur darah nadi kepada salur darah vena yang perlu untuk rawatan hemodialisis turut gagal.
Satu daripada fistula tersebut telah menyebabkan tangan Ahmad bengkak dan otot pada tangan kanannya yang mengawal genggaman tangan juga separa rosak.
"Akibat penggunaan katerer hemodialisis pada leher dalam jangka masa panjang, semua salur darah vena utama di bahagian dada saya menjadi sempit dan tidak sesuai untuk dialisis melalui katerer.
"Ikhtiar terakhir ialah mendapatkan penderma buah pinggang yang sesuai dan saya berjaya memperolehnya. Malangnya, pemindahan tersebut juga gagal," katanya yang sentiasa ditemani isterinya, Aniza Jamaludin, 45, selama beliau perlu berulang-alik ke hospital tiga kali seminggu bagi mendapatkan rawatan hemodialisis di hospital.
Ibarat kata pepatah, sudah jatuh di timpa tangga. Kini, harapannya bergantung pada satu salur darah untuk proses dialisis iaitu salur darah pada paha kiri beliau.
Ahmad yang menderita penyakit buah pinggang selama 13 tahun, berkata, kos rawatannya dibiayai oleh Kementerian Pertahanan dalam lingkungan RM2,000 hingga RM3,000 sebulan untuk seumur hidup.

Monday, March 23, 2009

Peluang Kedua


Kehidupan selepas transplant boleh dianggap peluang kedua. Hakikatnya tidak ramai yang mendapat peluang kedua. Kalau pun mendapat peluang kedua, seringkali tidak menghargainya. Atau jauh sekali mensyukurinya. Kerapkali pula melakukan kesilapan untuk kali kedua.
Bagaimana agaknya untuk kita benar-benar dapat memanfaatkan peluang kedua yang diberikan kepada kita.
Sebelum berjaya mendapat peluang kedua, sebaiknya kita sudah mempunyai azam atau niat atau wawasan. Jadi sebaik peluang kedua itu tiba, selepas bersyukur dan menghargainya kita wajib melaksanakan azam dan niat. Iaitu untuk memanfaatkan peluang yang diberikan sebaiknya. Misalnya;
1. Kesihatan
a. Mematuhi peraturan kesihatan yang telah ditetapkan selepas transplant seperti pematuhan pengambilan ubat, pengambilan pemakanan, dan menjalani pemeriksaan kesihatan berkala yang telah ditetapkan
b. Mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas
c. Meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan
d. Mendidik diri dan keluarga tentang penjagaan kesihatan yang sempurna
2. Ibadah
a. Menggunakan masa sihat yang diberikan dan mengisikannya dengan perkara-perkara baik.
b. Memperbanyakkan ibadah, menggantikan apa saja ibadah yang tertinggal,
c. Meninggalkan semua perkara atau tabiat buruk.
d. Meningkatkan amal kebajikan dan ibadah fardu Ain dan fardu kifayah.
Pepatah Arab ada menyebut yang maksudnya;` Orang yang memiliki kesihatan mampu memiliki segala-galanya’


Wassalam

Tuesday, February 24, 2009

Rutin Kehidupan


Salah satu rutin kehidupan selepas pembedahan adalah pengambilan ubat setiap hari dan pemeriksaan perubatan berkala. Di peringkat awal kita akan rasa terbeban. Tetapi bila rutin itu telah sebati, ia menjadi satu tabiat baik. Tabiat ini pula meresap dalam kehidupan seharian yang mendorong kearah kebaikan pula. Contohnya, kita lebih menepati masa dan jadual harian , lebih menghargai masa dan kesihatan.


Kita akan sentiasa ingat dan waspada kepada rutin hidup yang sepatutnya kita jalani walaupun ketika kita sihat. Di sinilah sewajarnya kita mengatur semula rutin kehidupan sebenar iaitu rutin hidup seorang muslim. Bermula dengan bangun sepertiga malam untuk qiamulail (ibadah malam), solat Subuh, solat Israk dan Dhuha, Solat Zohor, Asar, Magrib, dan Isyak, disamping ibadah fardhu yang lain. Bukan sahaja untuk memantapkan takwa dan iman malah rutin ini mampu menjinakkan dan mendidik jiwa. Natijah darinya pula terhasillah suatu keseimbangan rohani, jasmani dan mental. Atau dalam istilah biologinya dikaitkan dengan penghasilan hormon endorphin yang membantu menstabilkan emosi, pemikiran dan perlakuan.


Rutin yang biasanya berat untuk kita lakukan akhirnya menjadi ringan bila telah sebati menjadi tabiat. Contohnya untuk bangun malam sekitar jam 3 atau 4 pagi adalah sangat sukar. Apatah lagi untuk bangun menghidupkan malam (Qiammullail) atau bersolat Tahajud. Namun, bila rutin ini dibangunkan dan dijana sebaiknya hingga menjadi tabiat, ia bukan saja satu yang ringan malah menjadi satu kemanisan beribadat. Demikianlah juga dengan tabiat-tabiat baik yang lain. Tapi malangnya apa yang lazim kita lakukan ialah memperkukuhkan perlakuan tabiat tidak baik. Contoh melewat-lewatkan mengerjakan solat, menangguh-nangguhkan ibadat hingga akhirnya sebati dan menjadi suatu yang amat membebankan. Lebih malang lagi sekiranya tabiat buruk yang kita perkukuhkan itu memudaratkan diri sendiri. Contohnya perlakuan maksiat, mungkar, dadah, alkohol, rokok dan pengambilan bahan haram dan seumpamanya.
Selepas berjaya menjalani pembedahan, kita sentiasa sedar risiko dan perlunya menjaga tahap kesihatan. Itulah yang menguatkan kita patuh pada rutin harian yang sewajarnya. Namun itu bukan berarti kita tidak akan mati.


Ajal dan maut telah Allah tetapkan. Ada 1001 sebab atau cara kita dimatikan. Kalau bukan kerana penyakit kronik, mungkin mendapat jangkitan virus (1001 jenis virus) dari HIV Aids hinggalah kepada virus yang belum dapat dikenalpasti. Hanya Allah yang tahu. Atau mungkin bukan sebab virus tetapi dalam bentuk kemalangan atau kecelakaan (1001 sebab dan punca kemalangan) dari sekecil-kecil kemalangan kepada sebesar-besar kemalangan yang membawa maut. Dari kemalangan jalan raya hingga kepada kemalangan dalam rumah atau bencana alam. Atau mungkin juga kematian dari serangan haiwan ganas atau serangga kecil. Dari sebesar dan seganas harimau hingga kepada sekecil serangga seperti nyamuk (denggi dan malaria).
Kita mesti sedar walaupun ketika ini kita sihat dan kuat, mungkin esok lusa kita lemah dan mati hanya disebabkan satu gigitan nyamuk. Yang lebih penting kita sedari ialah perlunya kita sentiasa sedar dan insaf untuk berhadapan dan bersedia menghadapi mati. Ibadah dan amal soleh adalah bekalan yang perlu kita sediakan ketika kita sedang sihat walafiat. Ketika kita masih kuat, berupaya melakukannya dan mempunyai banyak masa dan tenaga.


Pengalaman merasai sakit kronik telah banyak mengajar dan mengingsafkan saya betapa kita perlu memanfaatkan masa sihat untuk kebaikan khususnya untuk beribadat. Pengalaman ini perlu dikongsi bersama. Kita tidak akan dapat lari dari menghadapi mati, tetapi kita masih berpeluang memperbaiki dan mempersiapkan diri kearah kematian. Sebab itulah seperti hadis Nabi, orang paling bijak adalah orang yang sentiasa ingat kepada kematian.
Sekali sekali kalau kita boleh memandang sekeliling. Memerhatikan berapa ramai orang yang kita kenali atau rakan-rakan kita yang telah pergi meninggalkan kita. Mungkin ibu bapa kita, adik beradik, saudara mara, rakan-rakan sepermainan, rakan-rakan waktu belajar, rakan-rakan sekerja dengan 1001 cara kematian. Kita tidak akan terkecuali dari giliran itu. Mungkin waktunya telah sangat hampir, atau masih jauh lagi. Tetapi selalunya kita cenderung mengandaikan giliran kita masih jauh. Jarang kita mau menerima hakikat sebenar bahawa giliran kematian kita memang sangat hampir. Alasan tahap kesihatan bukan jaminan kita akan hidup lama. Sebab ada 1001 punca kematian. Kalau kita sihat dan kuat pun ketika ini, mungkin menjelang petang nanti kita mati dilanggar kereta ketika menyeberang jalan atau mati tertelan tulang ayam atau mati dikelar penjenayah. Waullahua’lam. Ini kenyataan. Bukan khayalan dan berlaku setiap hari dan disiarkan dalam semua media setiap hari. Tapi biasanya kita bersikap perkara itu memang berlaku pada orang lain tapi bukan berlaku pada diri kita.
Sama-samalah kita renungi bersama

Saturday, January 31, 2009

Muhasabah Diri



Setiap awal tahun perkara pertama yang patut kita fikirkan adalah menilai diri sendiri sepanjang tahun lalu. Menilai diri dari atau Muhasabah diri banyak membantu memperbaiki dan meningkatkan motivasi diri. Sekiranya matlamat kita adalah untuk meningkatkan kesihatan diri, maka tabiat dan amalan kesihatan yang kita amalkan sepanjang tahun lepas mungkin perlu dipertingkatkan.

Tahap kesihatan yang ingin kita tingkatkan bukan saja kesihatan fisikal, tetapi meliputi kesihatan mental, emosi, rohani dan jasmani.

Kita boleh mulakan dengan meningkatkan kesihatan rohani supaya aspek kesihatan fisikal, mental dan emosi akan turut meningkat.

Keadah terbaik meningkatkan kesihatan rohani adalah dengan kaedah keagamaan khususnya ibadah-ibadah yang wajib (Fardu Ain). Solat adalah ibadah pokok yang utama untuk kita tingkatkan kualitinya. Bukan sekadar menunaikannya sahaja. Dari masa kesemasa kita bukan saja wajib menyempurnakannya malah meningkatkan penghayatannya. Kerana kesan yang dirasai dari penghayatannya akan meningkatkan semua elemen kesihatan dan mampu memberikan kebahagian yang ingin kita kecapi.

Bila kita bermuhasabah diri, bertanyalah kepada diri kita sendiri mengenai perkara-perkara berikut;

1. Adakah selama ini kita menganggap solat kita penting dan selalu kita utamakan berbanding dengan keperluan lain. Atau kita sering mendahulukan perkara lain dan menjadikan solat sebagai priority kedua, ketiga atau yang terakhir.

2. Adakah hati kita hadir dalam setiap solat yang kita tunaikan. Iaitu adakah kita benar-benar khusu' dalam setiap kali menunaikan solat.

3. Adakah kita memahami setiap kalimat bacaan dalam solat, dan memahami setiap gerak geri solat untuk kesempurnaan solat kita.

4, Adakah kita merasai sebarang perbezaan sikap atau tabiat atau amalan sebelum dan sesudah solat. Yang pasti solat yang sempurna akan mencegah kita dari perbuatan dan amalan tidak baik (keji)

5. Adakah kita sedar perkara pertama yang akan ditanya oleh Allah sekembalinya kita ke alam Barzah ialah solat kita.

Sama-samalah kita bermuhasabah diri menjelang awal tahun ini


Wassalam

Monday, December 15, 2008

Mengenang dan Mensyukuri Nikmat Sakit dan Sihat


Menjelang tarikh 28hb Disember 2008 ini, buah pinggang baruku aku mencapai usia 23 tahun, meskipun usiaku sendiri sudah mencapai hampir 53 tahun. Sejak transplant dua tahun yang lalu kesihatanku semakin stabil.


Syukur Alhamdullillah. Ku panjatkan kesyukuran yang amat mendalam kehadirat Allah, yang Maha Pengasih dan Penyayang. Telah dipilihnya aku untuk menerima anugerah kesihatan yang tidak terhingga nilainya.


Aku tak pernah lupa mengingati setiap detik kesengsaraan ketika sakit. Itulah yang menguatkan tekad dan azamku untuk terus beristiqamah dalam ibadat. Bukan sahaja niat dan hajat ketika masih sakit, malah itulah hasrat ketika sebelum sakit lagi. Allah Maha Pemurah, ditunaikan hajat itu setelah ditimpakan musibah sakit.


Sesungguhnya, nikmat kesihatan itu juga merupakan ujian Allah. Sejauhmana kita mensyukuri nikmat sihat itu untuk berbuat kebajikan atau sebaliknya. Kadangkala kita mudah hanyut dengan tahap kesihatan yang baik. Kita merasa kuat dan sempurna. Kadangkala kita terlanjur menyalahgunakan nikmat sihat untuk melakukan perkara yang ditegah oleh agama. Sehinggalah kita sedar semula bila Allah kurniakan kita sakit. Mujurlah Tuhan kurniakan sakit untuk menyedarkan kita. Dengan perantaraan sakit itu kita mula menghargai nikmat sihat. Kita juga terpanggil untuk memohon ampun dan bertaubat kerana barangkali kita telah lalai atau melupakan Allah.


Masa berlalu begitu pantas. Dua tahun sejak pembedahan terasa seakan baru semalam berlalu. Masih terbayang wajah pucat lesiku. Masih terasa tusukan jarum dan aliran darah di salur mesin hemodelisis. Masih tergambar wajah semua jururawat dan doktor. Semua suasana itu terasa masih baru kulalui. Tak pernah terlintas untuk aku kembali sihat sebelum ini. Yang terbayang hanya maut yang sedang menanti. Segera aku teringat Firman Allah yang bermaksud.

Barangsiapa bertakwakal kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka.Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya.Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya.Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.