Wednesday, March 24, 2010

Cerita Puan Natariah


Puan Natariah dari Sabak Bernam Selangor adalah antara insan terpilih. Dalam usia lewat 50an telah disahkan menginap penyakit buah pinggang. Dietbetis yang dihidapinya buat sekian lama berakhir dengan kegagalan buah pinggang. Yang menarik bukan mengenai penyakit buah pinggang itu. Tetapi ialah tentang betapa Tuhan memilih dia dalam usia 61 tahun untuk mendapat giliran derma buah pinggang.

Sebenarnya dia tidak pernah terpikir untuk mendapat keistimewaan itu. Pastinya doa siang malamnya yang berterusan telah dimakbulkan Tuhan. Walaupun pada awalnya buah pinggang yang didermakan oleh insan mulia itu untuk seorang pesakit muda berusia 20an yang menjadi giliran penerima pertama, tetapi Tuhan menentukan segala-galanya. Satu keajaiban berlaku. Atas sebab tertentu bakal suami pesakit muda itu tidak membenarkan pemidahan buah pinggang dilakukan keatas tunangnya itu. Ini semua kerja Tuhan. Maka dengan penuh tawakkal dan rasa syukur yang tidak terhingga, Puan Natariah menerima pemindahan buah pinggang itu dengan redha.

Sewaktu sama-sama membuat pemeriksaaan kesihatan berkala, saya bertanyakan kepadanya tentang peristiwa yang dialaminya itu. Tiada perkataan lain yang mampu diluahkannya selain bersyukur dengan keajaiban Tuahan dari doa yang berterusan khususnya di dua pertiga malam. Segala yang mustahil akan menjadi kenyataan. Kini beliau menjalani hidup yang penuh bermakna dan berpeluang menambahkan amal ibadah dengan penuh nikmat dan kesyukuran.

Unit Nefroloogi Hospital Selayang

Tuesday, March 16, 2010

Gelombang rawat batu karang

Oleh Shamshul Azree Samshir

Bersama Pakar Urologi Prof Madya Dr Zulkifli Md Zainuddin, Ketua Unit Urologi, Pusat Perubatan UKM, Cheras.

SAYA berusia 40 tahun. Baru-baru ini, saya disahkan mengidap batu karang ginjal. Soalan saya, apakah rawatan yang dapat dilakukan untuk merawat penyakit ini dan cara mencegahnya?

Apa komen doktor mengenai bedah batin untuk mengeluarkan batu dari buah pinggang?

Bantu Saya

RAWATAN batu buah pinggang sebahagian besarnya bergantung kepada saiz dan jenis batu. Jika batu yang saudara hidapi bersaiz kurang dari 5 milimeter (mm) ia adalah kecil dan tiada rawatan yang perlu diberikan.

Pesakit selalunya digalak untuk meminum air dengan banyak dan selalunya, batu akan keluar dengan sendiri. Ini kerana saluran ureter iaitu saluran yang menghubungkan antara buah pinggang dan pundi kencing mempunyai kapasiti untuk membawa turun batu karang sebesar 6 mm dan ke bawah.

TEKNOLOGI moden mampu mengesan penyakit batu karang dari awal.

Jika lebih besar dari itu, ada kemungkinan batu akan tersangkut dalam saluran ureter. Ini boleh menimbulkan kesakitan dan bengkak pada buah pinggang.

Sekiranya batu karang ginjal bersaiz di antara 1 sentimer (sm) hingga 2 sm, rawatan yang boleh diberi adalah dengan cara rawatan Extra Corporeal Shock Wave Lithotripsy (ESWL).

Kaedah ini adalah menggunakan sejenis alat yang mengeluarkan gelombang yang akan memecahkan batu karang ginjal. Pesakit perlu baring atas alat itu dan gelombang akan diberi secara berkala.

Untuk setiap rawatan, sebanyak lebih kurang 4,000 tembakan akan diberi untuk memecah batu karang. Rawatan ini dilakukan secara pesakit luar dan pesakit akan diberi suntikan ubat penahan sakit semasa proses pemecahan batu karang dilakukan.

Masalah yang sering dialami adalah batu karang tidak pecah sepenuhnya selepas satu sesi rawatan. Sekiranya ini berlaku, buah pinggang perlu direhatkan selama sebulan sebelum sesi kedua bermula.

Had maksimum rawatan dengan cara ini adalah sebanyak empat sesi. Jika batu masih lagi tidak pecah, rawatan lain perlu dibincangkan dengan pesakit. Sekiranya teknik ini berkesan, serpihan batu karang akan keluar bersama dengan air kencing. Kerap kali juga selepas rawatan, air kencing akan bercampur dengan darah tapi keadaan ini akan pulih selepas beberapa hari.

Jika batu karang saudara bersaiz lebih dari 2 sm atau berada pada tempat yang sukar untuk dipecahkan dengan cara ESWL, rawatan pembedahan yang dikenali sebagai Percutaneous Nephrolitotomy perlu dilakukan.

Pembedahan ini membabitkan proses menebuk buah pinggang dari permukaan kulit dan batu karang akan dipecahkan dengan menggunakan alat ultrasound atau Laser.

Pembedahan ini memerlukan pesakit berada dalam wad beberapa hari. Ini kerana pembedahan ini memerlukan pesakit dibius secara umum (general anaesthesia).

Dalam pembedahan jenis ini, dalam kebanyakan pesakit, seluruh batu karang boleh dikeluarkan dan parut selepas pembedahan adalah kecil.

Jika saudara mempunyai masalah gout atau masalah peningkatan asid uric dalam darah, batu karang yang saudara hidapi kemungkinan besar dari jenis asid urik.

Untuk batu karang jenis ini, rawatan yang dikenali sebagai chemolysis boleh diberi. Rawatan chemolysis ini membabitkan pemberian ubat Allopurinol untuk mengurangkan paras uric asid dalam badan dan pemberian ubat urinary alkaliniser seperti URAL untuk menjadikan air kencing beralkali.

Kombinasi ubat ini boleh menghancurkan sebahagian besar dari batu karang ginjal. Ini kerana batu karang dari jenis uric asid adalah lembut dan mudah larut dalam suasana yang beralkali.

Untuk makluman saudara, batu karang ginjal boleh berulang selepas dirawat. Sehubungan itu, bagi mengelak berlakunya pembentukan batu karang, langkah-langkah berikut perlu diambil:

• Minum banyak air kosong. Minum sekurang kurangnya 12 gelas air sehari dan perlu ditingkatkan jika saudara kerap berpeluh atau melakukan aktiviti lasak.

• Kurangkan mengambil minuman seperti kopi, cola dan teh kepada satu atau dua cawan sehari .Ini kerana minuman ini mengandungi kafein dan kafein boleh menyebabkan peningkatan pengkumuhan air dari badan.

• Jika saudara mempunyai masalah uric asid yang tinggi dalam darah, saudara perlu mengurangkan pengambilan daging merah (red meat) organ dalaman seperti otak, paru dan beberapa jenis kekacang.

Saudara, memang ramai orang mendakwa pembedahan batin boleh mengeluarkan batu karang ginjal. Caranya memang kelihatan amat mudah di mana proses pembedahan tidak memerlukan bius dan tidak perlu dimasukkan ke wad.

Sebagai pengamal perubatan moden, saya tidak menggalakkan saudara berjumpa dengan pengamal perubatan seperti ini. Dari pengalaman saya pula, ramai pesakit yang menjalani pembedahan secara batin masih mempunyai batu karang ginjal selepas datang bertemu saya untuk diperiksa.

Monday, March 8, 2010

Kawal kencing manis elak CKD

Oleh ZUHAYATI YAZID

(Utusan Malaysia)
HARI Buah Pinggang Sedunia yang disambut pada 12 Mac setiap tahun di seluruh dunia merupakan kempen kesedaran kesihatan peringkat global yang memberi tumpuan kepada kesedaran tentang kepentingan penjagaan buah pinggang.

Ini kerana lebih daripada 500 juta individu di seluruh dunia menderita akibat masalah organ terpenting itu dan meninggal dunia sebelum waktunya disebabkan penyakit kardiovaskular yang dikaitkan dengan penyakit buah pinggang kronik (CKD).

Punca utama CKD adalah kencing manis dan tekanan darah tinggi yang gagal dikawal dengan baik.

Apabila CKD semakin merosot pesakit mungkin tidak ada pilihan kecuali bergantung kepada rawatan dialisis sepanjang hayat mereka.

Berlandaskan faktor tersebut juga, negara memilih tema Kawal Kencing Manis - Lindungi Buah Pinggang Anda bagi sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2010 yang dianjurkan dengan kerjasama antara Yayasan Buah Pinggang Malaysia (NKF), Persatuan Nefrologi Malaysia (MSN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pemeriksaan awal

Pemilihan tema tersebut diharap dapat meningkatkan tahap kesedaran tentang pentingnya melakukan pemeriksaan awal dan komprehensif, khususnya di kalangan mereka dalam kategori berisiko tinggi seperti penghidap kencing manis dan darah tinggi.

Pengerusi Lembaga Pengurus NKF, Datuk Dr. Zaki Morad Mohd. Zaher berkata, masyarakat perlu mempunyai kesedaran tinggi tentang pentingnya memiliki buah pinggang yang sihat untuk berfungsi menapis dan membersih 200 liter darah setiap hari. Sekali gus bagi mengawal tekanan darah yang merupakan antara penyebab utama CKD.

"Kira-kira lima liter darah mengalir di dalam badan kita. Buah pinggang kita menapis dan membersih kuantiti darah ini sebanyak 40 kali setiap hari.

"Ini bersamaan dengan 200 liter darah iaitu sejumlah yang boleh diisi ke dalam 200 botol," katanya.

Selain itu menurut Dr. Zaki, organ tersebut juga menghasilkan hormon penting yang merangsang sumsum tulang bagi membentuk sel-sel darah merah, mengawal tekanan darah dan memastikan tulang sihat dan kuat.

Penyakit buah pinggang menjadi kronik apabila ia mula hilang kemampuan untuk berfungsi secara beransur-ansur.

Penyakit ini merupakan sejenis penyakit yang menyerang secara senyap dan sering tidak disedari kewujudannya kerana ia tidak boleh dirasai.

Biarpun kadar kelaziman CKD agak tinggi dan berbahaya ia sebenarnya masih mempunyai peluang untuk dirawat.

Katanya, CKD lazimnya berlaku apabila seseorang individu mengalami masalah albumin berlebihan dalam air kencing atau berlaku penurunan mendadak pada fungsi buah pinggang.

Apabila CKD tidak dikawal pada peringkat awal ia akan mengakibatkan kerosakan buah pinggang, maka proses berikutnya adalah dialisis atau pemindahan buah pinggang.

Bagaimanapun tegasnya, pelbagai rintangan dan kesukaran dalam mendapatkan buah pinggang baru .

''Hal ini akan menyebabkan ramai pesakit memilih untuk kaedah rawatan hemodialisis atau dialisis peritoneal,'' katanya lagi.

Di Malaysia katanya, terdapat hampir 20,000 orang pesakit yang memerlukan rawatan dialisis.

Disebabkan kos rawatan dialisis agak tinggi, kerajaan telah memberi subsidi kepada pesakit yang miskin dan kurang berkemampuan.

"Pihak yayasan giat membantu Kementerian Kesihatan dalam mengenal pasti pesakit yang benar-benar memerlukan bantuan bagi menanggung kos rawatan dialisis yang semakin meningkat dari masa ke semasa," katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai NKF, Dr. Zaki memberitahu, yayasan tesebut kini mempunyai 23 buah pusat dialisis dan bertindak sebagai pembekal perkhidmatan dialisis utama di negara ini.

''Namun dewasa ini, tumpuan kami tidak terbatas kepada penyediaan perkhidmatan dialisis semata-mata,'' katanya.

Jelasnya lagi, di negara ini hampir 55 peratus daripada pesakit dialisis baru adalah penghidap kencing manis dan hasil dialisis adalah kritikal bagi mereka yang menghidap kencing manis.

Malangnya, penyakit kencing manis jenis dua ini tidak dapat dikesan untuk selama bertahun-tahun.

''Pada ketika itu, pengambilan gula berlebihan tanpa kawalan boleh mengakibatkan kerosakan tisu dan organ pada badan seperti saluran darah, mata dan buah pinggang,'' ujarnya.

Maka dengan itu saringan kesihatan, khususnya ujian air kencing dan juga pemeriksaan darah, adalah perlu bagi rakyat Malaysia.

Pemeriksaan ini bertujuan bagi memupuk kesedaran di kalangan rakyat Malaysia tentang bahaya penyakit kencing manis serta kaedah pencegahannya.

Sementara itu, sempena sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2010, NKF akan melancarkan kempen pemeriksaan kesihatan di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya pada 14 Mac ini.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk para pengunjung termasuk demonstrasi memasak oleh Datuk Chef Wan dan diikuti oleh aktiviti jalan kaki Amazing Kidneys Walk Hunt yang terbuka untuk penyertaan kepada pengunjung, termasuk pesakit dialisis dan ahli keluarga mereka.

Acara jalan kaki ini dianjurkan untuk tujuan mengutip dana bagi pesakit-pesakit yang miskin dan amat memerlukan bantuan.

Bagi mereka yang ingin memperoleh maklumat yang lebih terperinci berhubung dengan aktiviti sambutan WKD 2010 ini, sila hubungi talian bebas tol NKF di 1300-88-3110 atau layari laman sesawang www.nkf.org.my.

Harapan baru buat pesakit ginjal

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

AWBTAR banyak mendapat sokongan daripada isterinya yang sentiasa berada di sisi ketika suka dan duka.

SETIAP kali membaca mengenai rawatan dialisis yang terpaksa dilalui pesakit buah pinggang ytimbul persoalan, adakah mereka selesa menerima rawatan tersebut?

Lebih-lebih lagi, setelah sekian lama memiliki buah pinggang yang sihat, menjalani dialisis pasti menimbulkan suasana berbeza.

Pesakit terpaksa bergantung pada mesin hemodialisis atau menggunakan rawatan dialisis dialisis peritoneal (PD) dengan menukar cecair dalam badan setiap empat jam. Ketika ini sokongan ahli keluarga diperlukan. Di Malaysia, ada lebih 3,500 pesakit buah pinggang peringkat akhir (ESRD) setiap tahun dan angka ini bertambah dari tahun ke tahun. Walaupun dianggap masalah biasa, tetapi ia boleh dirawat dengan adanya terapi selamat dan berkesan yang boleh disesuaikan dengan keperluan dan gaya hidup.

PD adalah terapi ESRD yang boleh digunakan di rumah dan sambutan terhadap penggunaannya adalah semakin menggalakkan.

Dengan kebebasan dan rawatan yang lebih terkawal, PD menjadi pilihan rawatan utama bagi pesakit yang memilih untuk meneruskan gaya hidup aktif dan mengambil peranan proaktif dalam mengawal penyakit ini.

Berkongsi pengalaman tentang rawatan dialisis PD, Awbtar Singh A/L Harbachan Singh, 51 mengakui ia bukan sesuatu keputusan yang mudah.

"Saya baru sahaja didiagnos penyakit kegagalan buah pinggang. Dunia saya kosong apabila diberitahu doktor saya menghidap penyakit ini. Semua impian berkecai dan saya terfikir masa depan saya amat terhad dan akan dibebankan oleh rawatan susulan. Saya terbayang 'tersangkut' pada mesin hemodialisis dan kebebasan saya terperangkap. Hancur luluh hati saya ketika itu. Ia benar-benar membuatkan saya sangat tertekan.

"Sokongan berterusan daripada isteri yang sentiasa membantu saya menyebabkan saya bangkit meneruskan kehidupan," katanya.

Awbtar kemudian diperkenalkan dengan kaedah rawatan PD. Di peringkat awal dia rasa terbeban. Mana tidaknya, PD berasaskan satu tiub dimasukkan ke dalam rongga badan yang juga terletaknya perut, hati dan usus-usus, yang dipanggil kaviti peritoneal. Cecair dalam kuantiti yang banyak akan dialirkan ke dalam kaviti dan ia akan mengeluarkan sisa buangan melalui cecair yang mengalir balik ke luar daripada kaviti. PD selalunya di lakukan di rumah pada setiap hari. Bagi Awbtar, rawatan ini mungkin akan menyukarkan pergerakannya.

Setelah beberapa sesi kaunseling, Awbtar mula memberi respons yang positif.

"Pada mulanya bukan mudah untuk saya menerima, tetapi dengan laluan masa dan penggunaannya, kaedah rawatan ini amat sesuai dan memberangsangkan.

"Kaedah ini sebenarnya memberi kebebasan pergerakan, amat mudah dan boleh diamalkan di mana sahaja,'' katanya.

Berkongsi lebih lanjut, katanya, kaedah itu tidak memerlukan mesin atau peralatan yang canggih malah pelaksanaannya amat mudah, senang dan boleh dilakukan oleh sesiapa pun.

Di samping itu, kaedah tersebut tidak mengehadkan pergerakan, memberi fleksibiliti dan meningkatkan lagi daya pergerakan pesakit.

Selain daripada bantuan rawatan yang mudah dan selesa, Awbtar mengakui sokongan isteri banyak membantunya.

Dia mendapat sokongan yang tidak berbelah bagi daripada isterinya. Akhirnya, dia amat berpuas hati dengan kaedah rawatan PD ini.

"Isteri sering membantu saya menjalankan rawatan ini. Saya sekarang mempunyai keyakinan yang penuh dan percaya bahawa saya mempunyai keupayaan untuk mengembara," katanya yang berjaya memenuhi impian melancong ke Singapura melalui Dreamcather anjuran Baxter Healthcare Malaysia (Baxter Healthcare).

Dengan kebebasan dan rawatan yang lebih terkawal, PD menjadi pilihan rawatan utama bagi pesakit yang memilih untuk meneruskan gaya hidup aktif dan mengambil peranan proaktif dalam mengawal penyakit ini.

Ini kerana PD tidak memerlukan pesakit ke hospital atau pusat dialisis, sebaliknya pertukaran dialisis dilakukan sendiri oleh pesakit di mana sahaja.

Terapi PD yang fleksibel membolehkan pesakit hidup tanpa bergantung harap dan mampu bergerak bebas. Malah, PD membolehkan pesakit menjalani hidup normal seperti sebelum dialisis dan terus menikmati aktiviti harian yang mereka suka.

Awbtar menasihati pesakit buah pinggang yang ingin melancong atau berjalan jauh agar mendapat maklumat yang tepat tentang keadaan kesihatan mereka. Sebelum ini, dia menyangkakan kehidupannya akan berakhir tetapi ternyata dengan maklumat yang tepat, pesakit juga boleh bergerak aktif. Menerusi PD, dia bebas ke mana sahaja. Kini, hidupnya semakin gembira dan ceria.

Thursday, November 19, 2009

Masjid adalah tempat rawatan susulan yang terbaik

Rawatan susulan tiga bulan sekali di unit Nefrologi adalah penting bagi memantau tahap kesihatan buah pinggang. Ternyata sehingga kini pemantauan itu amat berkesan dalam menstabilkan kesihatan buah pinggang. Para doktor dan kakitangan unit Nefrologi Hospital Selayang telah melaksanakan tugasnya dengan amat proffesional sekali. Tahniah diucapkan kepada pihak Hospital Selayang yang sentiasa meningkatkan perkhidmatanya dari masa kesemasa.

Masjid adalah satu lagi tempat yang wajib (khususnya bagi umat Islam) mendapatkan rawatan susulan. Iaitu mengunjunginya untuk menunaikan solat berjemaah atau untuk beriktikaf. Sebaik-baiknya setiap waktu solat. Kalau tidak mampu memadai beberapa waktu yang terdaya atau sekurang-kurang satu waktu setiap hari. Di Masjidlah semua yang kita perlukan untuk rawatan dari kerohanian akan kita perolehi. Masjid adalah tempat suci di mana kita dapat menyucikan diri. Sesuai dengan peranan organ buah pinggang kita yang mencuci darah dari sebarang kekotoran. Dari air wuduk hingga kepada solat, doa, zikir, bacaan alquraan dan tazkirah yang dilaksanakan di masjid adalah merupakan rawatan susulan yang paling mujarab untuk apa jenis penyakit. Ia seperti suatu bentuk tharapy yang sangat berkesan selain dari meningkatkan keimanan diri kita sendiri.


Ketenangan yang terjelma dalam jiwa dari ibadah di masjid mampu `generate' atau menyalurkan tenaga kesihatan yang sukar dihuraikan. Ini meliputi semua bentuk ibadah yang dilakukan di masjid khususnya solat berjemaah. Lebih ramai jemaah yang hadir di masjid maka lebih kuatlah tenaga kesihatan yang tercipta dan kita dapat merasainya ketika dalam perjalanan ke mesjid, semasa berada di masjid dan sesudah keluar dari masjid. Ini adalah pengalaman peribadi saya sejak pulang dari menjalani transplant buah pinggang dari Negara China. Syukur Alhamdullillah ia membawa saya ke tahap iman dan tahap kesihtan yang saya idam-idamkan.

Tuesday, November 3, 2009

Masyarakat penyayang tidak sanggup pindah organ


MEREKA berwajah tanpa masa depan. Ada yang sugul, suram dan sedih. Ada yang longlai, bertongkat, berkerusi roda dan dipapah ke Dewan Kuliah 2, Bangunan Akademik, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur untuk berkongsi pengalaman atau mendengar ‘harapan’ mengenai pemindahan buah pinggang.


Cuaca redup pagi 24 Oktober lalu tidak menghalang kelancaran Seminar Pemindahan Buah Pinggang anjuran Unit Nephrologi PPUKM. Pelbagai topik dibincangkan mengenai perlunya pemindahan buah pinggang kerana sehingga kini penyakit itu belum dapat dirawat.

Walaupun kaedah hemodialisis dan dialisis peritoneum (CAPD) digunakan untuk merawat pesakit, ia hanya sementara kerana akhirnya pesakit tetap memerlukan buah pinggang sebagai pengganti organ badan yang sudah rosak.

Beberapa pakar buah pinggang termasuk Dr Rashidi Saidin, Dr Loo Chee Yean, Dr Che Roslee Draman dan Arumuga Kumar Rajendram menghuraikan proses pemindahan dan kepentingan kaedah ‘melanjutkan’ usia pesakit.

Bagaimanapun, isu pendermaan organ di Malaysia bukan topik baru. Ia sudah lama diuar-uarkan. Namun, tiada reaksi positif, tidak ramai yang sanggup menderma buah pinggang kerana pelbagai alasan yang masih misteri.

Justeru, tidak menghairankan apabila Ketua Unit Nephrologi dan Transplant PPUKM, Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor bagai mengeluh kerana di Malaysia terlalu ramai yang ‘kasihan’ tetapi tidak berbuat apa-apa.

“Apabila melihat pesakit buah pinggang, ramai yang menuturkan kasihan. Jika ada yang sanggup derma buah pinggang, mereka juga kasihan dan menasihatkan jangan derma buah pinggang untuk elak kematian penderma. Akhirnya pemindahan buah pinggang tetap berkurangan di Malaysia,” cetusnya sinis.

Isu kasihan dan masyarakat penyayang ada kaitan. Di mana-mana saja ungkapan penyayang sudah menjadi klise yang luar biasa kerana kejahilan masyarakat sendiri untuk bersikap lepas tangan. Akhirnya pesakit terus menjadi mangsa kerana sikap segelintir ahli masyarakat yang retorik dengan ungkapan kasihan dan penyayang.

Lebih malang lagi, orang Melayu paling ramai tidak berminat menderma organ berbanding kaum Cina dan India. Mengikut statistik Pusat Sumber Transplan Kebangsaan (NTRC) di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada 2005 sebanyak 64 peratus daripada pengikrar pemindahan organ adalah kaum Cina, diikuti India (22 peratus), Melayu (lapan peratus) dan kaum lain (tiga peratus). Pada 2005, hanya 10 tampil menderma organ.

Malaysia antara negara ‘aktif’ penyakit buah pinggang. Kajian mendapati lebih 500 juta penduduk dunia atau satu daripada 10 individu dewasa disahkan mengalami masalah buah pinggang.

Setiap tahun, jutaan manusia mati sebelum waktunya kerana serangan jantung atau strok akibat komplikasi penyakit buah pinggang. Ia juga boleh mempengaruhi kehidupan 10 peratus populasi dewasa.

Pada 2007, 15,000 pesakit menjalani dialisis dan setiap tahun 2,500 kes baru dicatatkan. Ia mencatatkan peningkatan 15 peratus setiap tahun.

Berdasarkan Daftar Dialisis dan Pemindahan Buah Pinggang 2003, kadar pesakit wanita yang menjalani dialisis meningkat daripada dua kes bagi setiap sejuta penduduk (1980) kepada 90 kes untuk jumlah penduduk sama pada 2003.

Daftar Dialisis dan Pemindahan Buah Pinggang Malaysia 2004 mencatatkan 2,500 daripada 100,000 pesakit yang mendapat rawatan buah pinggang mengalami kerosakan buah pinggang peringkat akhir. Pada 2004, sebanyak 2,538 kes baru yang memerlukan dialisis berbanding hanya 43 pesakit pada 1980.

Statistik tidak pernah berbohong. Angka yang dipapar menjelaskan betapa penyakit buah pinggang tidak boleh dipandang ringan. Bagi mereka yang menderita, hanya harapan ditagihkan kepada orang ramai untuk tampil menderma organ.

Bagi mereka yang mahu berfikir dan turut merasai penderitaan orang lain, inilah masanya untuk membuktikan perasaan kasihan dengan tampil menjadi penderma organ. Ikrar perbuatan yang baik tidak sia-sia, kerana setiap perbuatan baik sudah pasti ada ganjarannya.

Rakyat Malaysia keturunan Melayu sepatutnya mencontohi rakan mereka di Singapura yang ramai berikrar menderma organ. Mungkin juga kerana negara jiran itu memperkenalkan Akta Pemindahan Organ Manusia (Hota) yang memasukkan warga Muslim secara automatik sebagai penderma organ.


Jika keadaan memaksa, Malaysia juga wajar memaksa masyarakat penyayang untuk derma organ kerana tindakan itu membantu insan yang menderita

Sumber : Berita Harian (Selasa 3 Nov. 09)

Monday, October 5, 2009

Pusat Dialisis PPZ-MAIWP pendekatan dakwah bil hal


MENERIMA berita pemergian Mantan Pengerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Abdul Rahim Bakar ke rahmatullah baru-baru ini, begitu mengejutkan penulis.
Sungguhpun tidak pernah bersua atau mengenali Allahyarham secara rapat, tetapi rupa-rupanya Allahyarham adalah antara individu yang telah bertanggungjawab dalam pengkorporatan PPZ.
Bahkan sepanjang 17 tahun Allahyarham menjawat kerusi Pengerusi PPZ, pelbagai sumbangan telah dilakukan dalam usaha memartabatkan institusi zakat tersebut.
Kebetulan pula, semasa membuat liputan mengenai Pusat Dialisis PPZ-MAIWP di Pusat Bandar Wangsa Maju, Kuala Lumpur tidak beberapa hari sebelum umat Islam menyambut lebaran Syawal, penulis telah diberitahu oleh Ketua Unit Kemasyarakatan dan Hal Ehwal Antarabangsa PPZ, Amran Hazali bahawa idea penubuhan Pusat dialisis itu sendiri adalah cetusan ilham Allahyarham lewat sekitar tahun 2004. Al-Fatihah.
Pusat Dialisis PPZ-MAIWP dibuka dengan rasminya oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Mustafa Abdul Rahman pada 12 September 2005.
Menurut Amran, kewujudan pusat dialisis itu adalah atas kesedaran tentang pertambahan pesakit buah pinggang di kalangan orang Islam yang semakin meningkat. Apa lagi bagi mereka yang tidak berkemampuan.
Penubuhan Pusat Dialisis PPZ-MAIWP merupakan salah satu pendekatan dakwah bil-hal yang akan memberi impak positif kepada perkembangan Islam di Wilayah Persekutuan khasnya dan di dalam negara amnya.
Di sinilah terbukti segala hasil kutipan zakat dan sumbangan masyarakat prihatin digunakan. Kutipan warga kota yang berkelayakan membolehkan PPZ-MAIWP membuka pusat dialisis bagi membantu golongan tidak berkemampuan mendapatkan rawatan secara percuma.
"Boleh dikatakan kos untuk mendapatkan rawatan hemodialisis agak mahal iaitu antara RM2,700 hingga RM3,000 sebulan.
"Jika dilihat pada jumlah di atas, seorang pesakit terpaksa menanggung lebih RM30,000 setahun. Sudah pasti ia sesuatu yang membebankan. Ditambah komitmen lain serta kos sara hidup kini yang semakin meningkat.
"Kita bermula dengan lima mesin dialisis dan kira-kira lima ke enam pesakit sahaja. Sehingga kini pusat ini mempunyai sembilan mesin dialisis dan menguruskan seramai 42 pesakit.
"Pusat Dialisis PPZ-MAIWP beroperasi seawal pukul tujuh pagi serta bergerak menerusi tiga syif," jelas Amran yang ditemui selepas majlis sumbangan hamper raya kepada pesakit dan kakitangan pusat dialisis itu pada pertengahan September lalu.
Tambah beliau lagi, uniknya di Pusat Dialisis PPZ-MAIWP ini, ia tidak bermotifkan keuntungan. Ia lebih merupakan tanggungjawab sosial setelah mengetahui kos rawatan hemodialisis yang agak tinggi.
Menyedari hakikat ini, maka PPZ mengambil inisiatif untuk membantu meringankan beban kos rawatan yang terpaksa ditanggung oleh pesakit-pesakit yang tidak berkemampuan. Setiap sesi rawatan disediakan secara percuma.
Pesakit yang berkelayakan menerima bantuan pembiayaan daripada institusi tertentu, boleh mendapatkan rawatan secara aman dan tenang.
Malah bagi pesakit yang masih belum memperoleh penaja tetapi sudah mendaftar, mereka juga dibolehkan menerima rawatan sementara permohonan pembiayaan sedang dalam proses.
Kata Amran, para penerima bantuan ini bukan sahaja ditanggung kos keseluruhan perubatan mereka tetapi mereka juga ditampung kos pengangkutan untuk ke pusat dialisis. Ini semua bertujuan meringankan bebanan yang ditanggung oleh para pesakit.
"Sungguhpun rawatan yang diterima para pesakit adalah percuma, aspek kualiti perkhidmatan tidak kami abaikan.
"Bertitik tolak dari itulah, setiap tahun kami akan menjalankan kaji selidik serta menemu bual para pesakit bertanyakan pandangan mereka," jelas beliau Pusat Dialisis Aiman bertanggungjawab menguruskan Pusat Dialisis PPZ-MAIWP.
Menjelaskan perancangan akan datang terhadap pusat dialisis ini, kata Amran, PPZ sudah ada perancangan untuk menambah mesin hemodialisis berbanding sembilan buah yang ada sekarang. Ini semua bertujuan memberi keselesaan serta memberi rawatan kepada lebih ramai pesakit yang dilihat trendnya semakin bertambah dari semasa ke semasa.
"Jika berjalan lancar, pada tahun hadapan kita juga merancang menambah jumlah pesakit. Ini kerana sambutan orang ramai yang semakin meningkat kepada pusat ini.
"Pihak kami juga menyeru umat Islam yang mengenali mana-mana individu yang bermasalah dari segi kewangan bagi menampung kos rawatan hemodialisis agar merujuk kes mereka itu ke PPZ.
"Pun begitu, biarlah yang memohon itu, benar-benar berkelayakan dan tidak berkemampuan," ujar Amran pagi itu.
Pada majlis ini juga, para wartawan diberi kesempatan melihat sendiri bagaimana rawatan kepada pesakit dijalankan, mewawancara dan bertanya khabar pesakit.

Sumber : Oleh ZUARIDA MOHYIN
Utusan Malaysia