Monday, December 15, 2008

Mengenang dan Mensyukuri Nikmat Sakit dan Sihat


Menjelang tarikh 28hb Disember 2008 ini, buah pinggang baruku aku mencapai usia 23 tahun, meskipun usiaku sendiri sudah mencapai hampir 53 tahun. Sejak transplant dua tahun yang lalu kesihatanku semakin stabil.


Syukur Alhamdullillah. Ku panjatkan kesyukuran yang amat mendalam kehadirat Allah, yang Maha Pengasih dan Penyayang. Telah dipilihnya aku untuk menerima anugerah kesihatan yang tidak terhingga nilainya.


Aku tak pernah lupa mengingati setiap detik kesengsaraan ketika sakit. Itulah yang menguatkan tekad dan azamku untuk terus beristiqamah dalam ibadat. Bukan sahaja niat dan hajat ketika masih sakit, malah itulah hasrat ketika sebelum sakit lagi. Allah Maha Pemurah, ditunaikan hajat itu setelah ditimpakan musibah sakit.


Sesungguhnya, nikmat kesihatan itu juga merupakan ujian Allah. Sejauhmana kita mensyukuri nikmat sihat itu untuk berbuat kebajikan atau sebaliknya. Kadangkala kita mudah hanyut dengan tahap kesihatan yang baik. Kita merasa kuat dan sempurna. Kadangkala kita terlanjur menyalahgunakan nikmat sihat untuk melakukan perkara yang ditegah oleh agama. Sehinggalah kita sedar semula bila Allah kurniakan kita sakit. Mujurlah Tuhan kurniakan sakit untuk menyedarkan kita. Dengan perantaraan sakit itu kita mula menghargai nikmat sihat. Kita juga terpanggil untuk memohon ampun dan bertaubat kerana barangkali kita telah lalai atau melupakan Allah.


Masa berlalu begitu pantas. Dua tahun sejak pembedahan terasa seakan baru semalam berlalu. Masih terbayang wajah pucat lesiku. Masih terasa tusukan jarum dan aliran darah di salur mesin hemodelisis. Masih tergambar wajah semua jururawat dan doktor. Semua suasana itu terasa masih baru kulalui. Tak pernah terlintas untuk aku kembali sihat sebelum ini. Yang terbayang hanya maut yang sedang menanti. Segera aku teringat Firman Allah yang bermaksud.

Barangsiapa bertakwakal kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka.Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya.Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya.Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.

Tuesday, December 9, 2008

DERMA ORGAN

Anugerah Kehidupan Yang Tidak Ternilai

Isu mengenai kematian serta pendermaan organ adalah sesuatu yang sukar untuk diperkatakan.Apatah lagi untuk mereka yang kehilangan orang yang tersayang.Ia juga merupakan perkara yang rumit bagi kakitangan perubatan yang sentiasa berusaha untuk menyelamatkan nyawa seseorang pesakit. Keputusan untuk mengizinkan penderma organ dan tisu seseorang yang disayangi apabila beliau meninggal dunia, bukan sesuatu yang mudah. Ia membangkitkan beberapa kemusykilan bagi keluarga simati. Untuk meringankan beban mental keluarga kita semasa kematian, haruslah kita membuat pengakuan persetujuan untuk menderma organ dan tisu semasa hayat kita.

Dengan mendaftarkan diri kepada Daftar Penderma Organ Nasional, anda akan membenarkan organ dan tisu anda digunakan bagi tujuan transplan, selepas anda meninggal dunia. Ini akan mengubahkan kehidupan beberapa orang yang mengalami kegagalan organ supaya menjadi lebih selesa dan sempurna serta dapat menyelamatkan nyawa mereka dari maut.
Kita sedar bahawa isu pendermaan organ dan tisu adalah suatu isu yang menimbulkan banyak persoalan. Oleh itu, berikut adalah penjelasan kepada beberapa persoalan yang sentiasa ditimbulkan.

Siapakah Yang Layak Menjadi Penderma ?

Sesiapapun,sama ada tua ataupun muda boleh mendaftar sebagai penderma organ dan tisu. Walau bagaimanapun mereka yang berusia kurang daripada 18 tahun perlu mendapat kebenaran ibubapa atau penjaga terlebih dahulu.

Apakah Itu Pendermaan Organ?

Ia adalah proses mendermakan bahagian tubuh badan seseorang untuk transplan selepas ianya meninggal dunia.

Transplantasi (Permindahan Organ) adalah suatu pembedahan yang melibatkan pertukaran organ atau tisu yang mengalami kegagalan fungsinya dengan organ atau tisu yang berfungsi dengan lebih memuaskan daripada seseorang penderma yang telah meninggal dunia. Dengan cara ini, maka kehidupan penerima organ atau tisu itu akan menjadi lebih selesa dan sempurna serta nyawanya akan terselamat. Pendermaan organ dan tisu adalah satu amalan kemanusiaan yang mulia.

Apakah Organ dan Tisu Yang Boleh Didermakan?

Pada umumnya organ-organ yang boleh didermakan adalah buah pinggang, jantung, hati(heper), paru-paru dan pankreas. Tisu-tisu yang boleh didermakan adalah mata, tulang, kulit dan injap jantung. Ini bermakna, seseorang penderma akan dapat mengubah kehidupan serta menyelamatkan beberapa orang pesakit.

Bilakah Organ dan Tisu Si Penderma itu Diperolehi?

Proses perolehan organ dan tisu daripada tubuh seseorang penderma itu hanya akan dilakukan apabila kematian telah disahkan oleh dua orang doktor dengan pengesahan kematian seseorang penderma itu adalah bebas dan tiada kaitan dengan pemindahan organ dan tisu.

Apakah Perbezaan Rawatan Jika Diketahui Anda adalah seseorang Penderma?

Tidak! Doktor -Doktor yang merawat anda akan berusaha sedaya mungkin dengan mengambil semua tindakan serta langkah yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawa anda. Persoalan mengenai pendermaan organ dan tisu akan dibincangkan dengan waris anda hanya selepas kematian telah disahkan

Adakah terdapat Bantahan Dari Sudut Agama?

Tiada! Kebanyakan agama di seluruh dunia seperti Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan Sikh mengiktiraf pendermaan organ dan tisu sebagai satu amalan yang mulia

Bagaimana Organ Pendermaan itu dipindahkan?

Proses pemindahan organ dan tisu membabitkan suatu pembedahan yang bersih dan suci hama. Pembedahan ini dijalankan di dewan bedah hospital oleh pakar bedah yang berpengalaman. Perolehan organ serta tisu seseorang penderma ini tidak akan menjelaskan rupa dan bentuk tubuh badannya. Selepas organ dan tisu diperoleh, luka pembedahan itu akan dijahitkan dengan sempurna dan jenazah si penderma ini tidak akan mengalami apa-apa kecacatan fizikal. Segala proses pembedahan pemindahan ini dijalankan dengan rasa penuh hormat dan tertib sepertimana pembedahan-pembedahan biasa

Bagaimana Jika Anda Berubah Fikiran Menderma?

Pendermaan organ adalah suatu niat yang tulus ikhlas dan anda berhak untuk membatalkan hasrat ini pada bila-bila masa. Tiada sesiapapun yang dipaksa untuk menderma organ dan menukar fikiran untuk tidak menderma organ dan tisu. Anda hanya perlu memberitahu keluarga anda mengenainya dan memulangkan kad penderma organ anda kepada kami.

Adakah proses pendermaan Organ akan melambatkan urusan pengebumian Jenazah?

Tidak! Urusan pengebumian boleh dijalankan seperti biasa. Selepas organ dan tisu diperolehi dari tubuh penderma maka jenazah akan dibersihkan, dikapankan dan dipulangkan kepada waris penderma secepat mungkin. Proses perolehan organ dan tisu tidak akan menjejaskan adat pengebumian seperti upacara penghormatan kepada jenazah.

Bagaimanakah Anda Berhajat Untuk Menjadi Seorang Penderma Organ?

Anda perlu mengisi borang akaun penderma dan kad penderma. Borang yang telah dilengkapkan perlu dihantar kepada Pusat Sumber Transplan Nasional, sementara kad penderma anda hendaklah disimpan dalam dompet dan dibawa bersama anda pada setiap masa.
Anda Dinasihatkan untuk memaklumkan hasrat anda untuk
menjadi seorang penderma organ dan tisu Kepada Keluarga Anda?

Ini akan memudahkan serta melicinkan proses mendapatkan keizinan perolehan organ dan tisu selepas kematian anda kelak.

Mati Otak dan Pendermaan Organ

Pemindahan organ hanya akan dilakukan setelah pesakit disahkan mati otak. Bagi melaksanakan pemindahan ini anggota perubatan perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada ahli keluarga terdekat penderma. Pembedahan pemindahan organ hanya akan dilakukan setelah mendapat kebenaran ahli keluarga pesakit yang mengalami mati otak tersebut.

Apakah yang dikatakan MATI OTAK?

Mati otak ialah keadaan tiada pengedaran darah dan oksigen ke otak yang menyebabkan keseluruhan otak (termasuk batang otak iaitu penghidupan seperti pernafasan dan denyutan jantung) tidak lagi berfungsi. Kehilangan fungsi otak ini tidak boleh dipulihkan.

Sumber : MyHEALTH Portal