Wednesday, July 11, 2012

250 ribu untuk pulih KUALA LUMPUR – Kesukaran memperoleh penderma organ di negara ini menyebabkan segelintir pesakit buah pinggang sanggup menghabiskan sehingga RM250,000 bagi mendapatkan buah pinggang baharu dan menjalani pembedahan di luar negara melalui broker organ haram. Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Pendaftaran Renal Kebangsaan (NRR), Datuk Dr. Ghazali Ahmad berkata, kos pembedahan pemindahan buah pinggang di hospital kerajaan cuma RM500 tetapi prosedur yang sama menggunakan organ haram di luar negara boleh mencecah RM250,000. Katanya, perbuatan tersebut bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi juga menimbulkan komplikasi kesihatan. “Kami tidak ada statistik jumlah pesakit Malaysia yang menjalani pemindahan organ secara haram di luar negara memandangkan ia pembedahan tidak rasmi tetapi kita dapat maklumat kegiatan itu didalangi broker haram. “Masalahnya dalam setahun hanya ada 20 hingga 30 penderma organ sedangkan senarai menunggu sudah seramai 16,000 orang. Dalam keadaan ini orang sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan buah pinggang baharu,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi ceramah Risiko/Realiti Pemerdagangan dan Perniagaan Organ oleh Prof. David Matas dari Kanada di sini semalam. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Polis Diraja Malaysia baru-baru ini menafikan Malaysia antara tempat pemindahan organ haram. Tiong Lai dipetik berkata, keyakinan itu berdasarkan syarat bahawa semua hospital kerajaan mahupun swasta perlu mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan sebelum melakukan pemindahan organ. Pada masa ini pembedahan buah pinggang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan beberapa hospital swasta di sekitar Lembah Klang. Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.