Monday, December 15, 2008

Mengenang dan Mensyukuri Nikmat Sakit dan Sihat


Menjelang tarikh 28hb Disember 2008 ini, buah pinggang baruku aku mencapai usia 23 tahun, meskipun usiaku sendiri sudah mencapai hampir 53 tahun. Sejak transplant dua tahun yang lalu kesihatanku semakin stabil.


Syukur Alhamdullillah. Ku panjatkan kesyukuran yang amat mendalam kehadirat Allah, yang Maha Pengasih dan Penyayang. Telah dipilihnya aku untuk menerima anugerah kesihatan yang tidak terhingga nilainya.


Aku tak pernah lupa mengingati setiap detik kesengsaraan ketika sakit. Itulah yang menguatkan tekad dan azamku untuk terus beristiqamah dalam ibadat. Bukan sahaja niat dan hajat ketika masih sakit, malah itulah hasrat ketika sebelum sakit lagi. Allah Maha Pemurah, ditunaikan hajat itu setelah ditimpakan musibah sakit.


Sesungguhnya, nikmat kesihatan itu juga merupakan ujian Allah. Sejauhmana kita mensyukuri nikmat sihat itu untuk berbuat kebajikan atau sebaliknya. Kadangkala kita mudah hanyut dengan tahap kesihatan yang baik. Kita merasa kuat dan sempurna. Kadangkala kita terlanjur menyalahgunakan nikmat sihat untuk melakukan perkara yang ditegah oleh agama. Sehinggalah kita sedar semula bila Allah kurniakan kita sakit. Mujurlah Tuhan kurniakan sakit untuk menyedarkan kita. Dengan perantaraan sakit itu kita mula menghargai nikmat sihat. Kita juga terpanggil untuk memohon ampun dan bertaubat kerana barangkali kita telah lalai atau melupakan Allah.


Masa berlalu begitu pantas. Dua tahun sejak pembedahan terasa seakan baru semalam berlalu. Masih terbayang wajah pucat lesiku. Masih terasa tusukan jarum dan aliran darah di salur mesin hemodelisis. Masih tergambar wajah semua jururawat dan doktor. Semua suasana itu terasa masih baru kulalui. Tak pernah terlintas untuk aku kembali sihat sebelum ini. Yang terbayang hanya maut yang sedang menanti. Segera aku teringat Firman Allah yang bermaksud.

Barangsiapa bertakwakal kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka.Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya.Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya.Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.

Tuesday, December 9, 2008

DERMA ORGAN

Anugerah Kehidupan Yang Tidak Ternilai

Isu mengenai kematian serta pendermaan organ adalah sesuatu yang sukar untuk diperkatakan.Apatah lagi untuk mereka yang kehilangan orang yang tersayang.Ia juga merupakan perkara yang rumit bagi kakitangan perubatan yang sentiasa berusaha untuk menyelamatkan nyawa seseorang pesakit. Keputusan untuk mengizinkan penderma organ dan tisu seseorang yang disayangi apabila beliau meninggal dunia, bukan sesuatu yang mudah. Ia membangkitkan beberapa kemusykilan bagi keluarga simati. Untuk meringankan beban mental keluarga kita semasa kematian, haruslah kita membuat pengakuan persetujuan untuk menderma organ dan tisu semasa hayat kita.

Dengan mendaftarkan diri kepada Daftar Penderma Organ Nasional, anda akan membenarkan organ dan tisu anda digunakan bagi tujuan transplan, selepas anda meninggal dunia. Ini akan mengubahkan kehidupan beberapa orang yang mengalami kegagalan organ supaya menjadi lebih selesa dan sempurna serta dapat menyelamatkan nyawa mereka dari maut.
Kita sedar bahawa isu pendermaan organ dan tisu adalah suatu isu yang menimbulkan banyak persoalan. Oleh itu, berikut adalah penjelasan kepada beberapa persoalan yang sentiasa ditimbulkan.

Siapakah Yang Layak Menjadi Penderma ?

Sesiapapun,sama ada tua ataupun muda boleh mendaftar sebagai penderma organ dan tisu. Walau bagaimanapun mereka yang berusia kurang daripada 18 tahun perlu mendapat kebenaran ibubapa atau penjaga terlebih dahulu.

Apakah Itu Pendermaan Organ?

Ia adalah proses mendermakan bahagian tubuh badan seseorang untuk transplan selepas ianya meninggal dunia.

Transplantasi (Permindahan Organ) adalah suatu pembedahan yang melibatkan pertukaran organ atau tisu yang mengalami kegagalan fungsinya dengan organ atau tisu yang berfungsi dengan lebih memuaskan daripada seseorang penderma yang telah meninggal dunia. Dengan cara ini, maka kehidupan penerima organ atau tisu itu akan menjadi lebih selesa dan sempurna serta nyawanya akan terselamat. Pendermaan organ dan tisu adalah satu amalan kemanusiaan yang mulia.

Apakah Organ dan Tisu Yang Boleh Didermakan?

Pada umumnya organ-organ yang boleh didermakan adalah buah pinggang, jantung, hati(heper), paru-paru dan pankreas. Tisu-tisu yang boleh didermakan adalah mata, tulang, kulit dan injap jantung. Ini bermakna, seseorang penderma akan dapat mengubah kehidupan serta menyelamatkan beberapa orang pesakit.

Bilakah Organ dan Tisu Si Penderma itu Diperolehi?

Proses perolehan organ dan tisu daripada tubuh seseorang penderma itu hanya akan dilakukan apabila kematian telah disahkan oleh dua orang doktor dengan pengesahan kematian seseorang penderma itu adalah bebas dan tiada kaitan dengan pemindahan organ dan tisu.

Apakah Perbezaan Rawatan Jika Diketahui Anda adalah seseorang Penderma?

Tidak! Doktor -Doktor yang merawat anda akan berusaha sedaya mungkin dengan mengambil semua tindakan serta langkah yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawa anda. Persoalan mengenai pendermaan organ dan tisu akan dibincangkan dengan waris anda hanya selepas kematian telah disahkan

Adakah terdapat Bantahan Dari Sudut Agama?

Tiada! Kebanyakan agama di seluruh dunia seperti Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan Sikh mengiktiraf pendermaan organ dan tisu sebagai satu amalan yang mulia

Bagaimana Organ Pendermaan itu dipindahkan?

Proses pemindahan organ dan tisu membabitkan suatu pembedahan yang bersih dan suci hama. Pembedahan ini dijalankan di dewan bedah hospital oleh pakar bedah yang berpengalaman. Perolehan organ serta tisu seseorang penderma ini tidak akan menjelaskan rupa dan bentuk tubuh badannya. Selepas organ dan tisu diperoleh, luka pembedahan itu akan dijahitkan dengan sempurna dan jenazah si penderma ini tidak akan mengalami apa-apa kecacatan fizikal. Segala proses pembedahan pemindahan ini dijalankan dengan rasa penuh hormat dan tertib sepertimana pembedahan-pembedahan biasa

Bagaimana Jika Anda Berubah Fikiran Menderma?

Pendermaan organ adalah suatu niat yang tulus ikhlas dan anda berhak untuk membatalkan hasrat ini pada bila-bila masa. Tiada sesiapapun yang dipaksa untuk menderma organ dan menukar fikiran untuk tidak menderma organ dan tisu. Anda hanya perlu memberitahu keluarga anda mengenainya dan memulangkan kad penderma organ anda kepada kami.

Adakah proses pendermaan Organ akan melambatkan urusan pengebumian Jenazah?

Tidak! Urusan pengebumian boleh dijalankan seperti biasa. Selepas organ dan tisu diperolehi dari tubuh penderma maka jenazah akan dibersihkan, dikapankan dan dipulangkan kepada waris penderma secepat mungkin. Proses perolehan organ dan tisu tidak akan menjejaskan adat pengebumian seperti upacara penghormatan kepada jenazah.

Bagaimanakah Anda Berhajat Untuk Menjadi Seorang Penderma Organ?

Anda perlu mengisi borang akaun penderma dan kad penderma. Borang yang telah dilengkapkan perlu dihantar kepada Pusat Sumber Transplan Nasional, sementara kad penderma anda hendaklah disimpan dalam dompet dan dibawa bersama anda pada setiap masa.
Anda Dinasihatkan untuk memaklumkan hasrat anda untuk
menjadi seorang penderma organ dan tisu Kepada Keluarga Anda?

Ini akan memudahkan serta melicinkan proses mendapatkan keizinan perolehan organ dan tisu selepas kematian anda kelak.

Mati Otak dan Pendermaan Organ

Pemindahan organ hanya akan dilakukan setelah pesakit disahkan mati otak. Bagi melaksanakan pemindahan ini anggota perubatan perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada ahli keluarga terdekat penderma. Pembedahan pemindahan organ hanya akan dilakukan setelah mendapat kebenaran ahli keluarga pesakit yang mengalami mati otak tersebut.

Apakah yang dikatakan MATI OTAK?

Mati otak ialah keadaan tiada pengedaran darah dan oksigen ke otak yang menyebabkan keseluruhan otak (termasuk batang otak iaitu penghidupan seperti pernafasan dan denyutan jantung) tidak lagi berfungsi. Kehilangan fungsi otak ini tidak boleh dipulihkan.

Sumber : MyHEALTH Portal

Monday, November 24, 2008

Cerpen 1- GINJAL


Masih Berdarah. Masih merah, hangat dan segar.

Doktor Soon meletakannya dalam dulang kecil standard steel. Seketul ginjal muda, baru tiba dari utara Nanning. Kira-kira empat jam sejak ketibaannya dari Penjara Republik Rakyat China. Ia cukup sihat untuk dipasangkan kepada pesakitnya, Dino. Satu-satunya pasakit dari Malaysia. Profil darahnya sepadan. Jenis grup A. Setelah analisa `cross match’ mencapai point lima. Satu titik kesesuaian yang sempurna.

Sesudah tanda tangan setuju terima risiko, para jururawat menyiapkan Dino. Suntikan anti alahan. Cecair `flushing’ najis. Pembersihan kulit dan bulu bawah perut..

Di atas troli Dino sudah pasrah. Amat menyedari tentang risiko besarnya. `Reject’ atau komplikasi. Malah dia dapat merasai kengerian maut yang bakal menanti.

Sepanjang perjalanan ke Dewan bedah, terbayang kematian. Terasa seakan berbaring di keranda usungan.

Dewan dipenuhi peralatan bedah. Bau ubat aticeptic keras dan menusuk. Bahang lampu limpah menyorotkan cahaya terang ke muka. Salur-salur air, darah, dan cairan ubat berselirat menembusi kulit Dino. Juga wayar-wayar elektrod ke monitor tekanan darah, melekat di kanan kiri lengan. Bunyi dan geraf nadi jantung berselang seli di paparan monitor. Dino kini dalam tawanan sekelompok doktor dan jururawat.

Satu suntikan bius di pinggul membuat Dino terpejam. Sakit yang menusuk hingga ke tulang. Sesudah itu semuanya kabur. Dino tidur seperti lenanya bayi dalam buaian. Dia boleh melupakan kesakitan sementara doktor membelah kulit perutnya. Ginjal itu akan dipasangkan di sebelah kanan bawah pusatnya.

Ginjal itu adalah dari tubuh Lao Meng. Seorang remaja berusia 20an. Bukan penderma organ. Tetapi banduan jalanan yang licik dan lincah.

Segala-galanya bermula apabila Lao Meng terdesak. Anak muda ini sering dihimpit kemelaratan. Ibunya petani dan bapanya nelayan. Itulah kehidupannya di sebuah perkampungan petani di sepanjang tebing sungai utara Naning. Ternyata dia tidak mewarisi keazaman ibu bapanya. Cuba mencari kehidupan baru di kota Nanning. Kota yang menuntut kerja keras. Sebagai buruh kasar di pasar pagi tidak menjanjikan pulangan lumayan. Peras ugut dan penipuan membuatnya jadi kejam. Jalan singkat dengan sedikit keberanian membuatnya licik. Dari penipu kepada pemeras akhirnya pembunuh.

Penyesalan adalah yang terakhir dirasai selepas setiap tindakan bodoh. Sebaik tertangkap hukuman yang setimpal adalah hukum bunuh.

Sebelum subuh, doktor Soon dan pembantunya telah menunggu luar di kaunter penjara. Bahawa tempahan ginjal dari banduan berusia dua puluhan itu telah siap untuk diterima. Baik Lao Meng atau atau doktor Soon kedua-dua saling tidak mengenali. Namun seketul ginjal sangat diperlukan untuk menyambung nyawa Dino, pesakit yang pasti tidak mau mengenali pendermanya.

Maut benar-benar datang menjemputnya.

`Oo Tuhan, begini rupanya mati’, Dino memandang sekeliling. Semua kabur dengan warna putih.

Dia cuba merasakan sesuatu. Menyentuh kulitnya dan mencubit pipinya. Tiada sebarang rasa deria. Terdengar tapak-tapak kaki menjauh dan mendekat. Namun tiada siapa yang kelihatan

`Ah, aku benar-benar sudah mati sekarang’...Dino memejamkan mata, bimbang mendepani saat seterusnya.

Tiba-tiba dirasakan tubuhnya digegarkan.

`Bangun!, bangun!’.

Dino terkejut dan membuka mata. Seorang lelaki tegap tinggi telah di sisinya. Wajahnya yang muram merisaukan Dino. Seperti ada sesuatu yang menjengkelkannya. Dia tercegat dan berbogel tanpa seurat benang. Tubuhnya dipenuhi kesan tembakan. Dari sisi, Dino terlihat belahan kulit memanjang dari belakang hingga ke sisi perut. Masih ada bekas-bekas darah membeku tanpa sebarang jahitan.

`Kembalikan ginjalku!!!!’. Dia berteriak sambil menguis-nguis perut Dino.

`Aku tak rela…kembalikan!, kembalikan!!!!. Dia seakan-akan mengaruk dan begitu terdesak sekali

Dino cuba bangun, tetapi tidak berdaya. Cuba menjerit, juga tidak terkeluar suara. Dino cuba memahami kehendaknya. Tetapi semua nampak sia-sia. Tangan lelaki itu telah mencengkam lehernya. Semakin kuat dan keras. Dino semakin kesuntukan nafas.

` Ini adalah kematian yang menyakitkan’…Oo Tuhan, berilah aku kematian yang ringan dan tidak menyakitkan’…keluh Dino sambil menahan kesakitan.

Tiba-tiba terdengar bunyi sesaorang menarik langsir. Cahaya putih dari atas silling menerangi ruang bilik. Di sisinya doktor Soon dan seorang jururawat mengawasi bacaan tekanan darah di paparan monitor.

`Tahniah En. Dino, pembedahan telah berjaya’. Doktor Soon tersenyum melihat Dino yang masih kebimbungan.

`Ginjal berfungsi dengan baik. Cretenine dalam darah menurun hingga 180 ml. Tekanan darah stabil 120/80. Ukuran kencing mencapai 1000 ml dalam masa dua jam. Cuma sedikit tanda rejection. Semuanya akan berjalan dengan baik!’…Doktor Soon menyakinkan Dino.

`Syukur Alhamdulillah’. Itulah yang mampu diucapkannya. Dino merasa begitu lega. Bahawa dia masih hidup setelah merasai mati beberapa ketika.

`Rupanya tidak semudah itu mati’….bisik hatinya. Itu benar-benar menyedarkanya. Betapa dia kini sangat berazam untuk mendekatkan diri dengan Tuhan. Bersyukur dengan peluang kedua untuk memperbaiki dirinya. Bertaubat dan banyak beribadat akan menjadi amalan hariannya. Semuanya untuk menghadapi mati yang tenang. Seboleh-bolehnya dia ingin menghabiskan sisi hidupnya dengan mengabdikan diri kepada Tuhan.

Dia masih terbayang lelaki bogel dalam mimpinya. Benarkah ginjal itu miliknya. Jika dia tidak rela Dino juga tidak akan merasa tenteram menerimanya. Dia berazam untuk mendapat kepastian doktor Soon tentang latarbelakang penderma ginjalnya. Tapi untuk sementara waktu, biarlah Dino melupakannya.

Kini setelah hampir tiga bulan selepas menjalani pembedahan, Dino kembali pulih sepenuhnya. Selera. Dino merasa segar, cergas malah lebih sihat dari sebelum mengalami penyakit kegagalan ginjal.

Setiap kali menghadapi masakan Cina, selera makannya membuak-buak. Dia menggemari bau aroma dari dapur Cina. Lebih gemar menggunakan `chopstick’ dari sudu atau tangan. Lebih selesa makan sambil mengangkat sebelah kaki ke atas kerusi. Berat badannya naik mendadak. Sedikitpun tidak merisaukannya. Namun ia sangat merisaukan anak dan isterinya. Perubahan itu amat nyata dan membingungkan keluarganya.

Dino berjalan semakin pantas. Memandu kereta semakin laju, mudah hilang sabar dengan pemandu perlahan di lorong kanan. Dino begitu cepat naik darah. Memaki hamun apa saja yang menghalang-halanginya di jalanan. Tidak ragu-ragu untuk membunyikan hon, memotong barisan atau melanggar belakang bumber kereta yang menghalang laluannya.

Kemarahan tidak berakhir di jalanan. Terbawa-bawa hingga ke rumah. Isteri dan anak-anaknya menjadi sasaran. Juga apa saja yang terlihat di depan matanya, hiasan, pasu bunga, peti TV, pinggan mangkuk. Semuanya menjadi sasaran. Nafsu marahnya mudah teransang. Kulitnya bertukar merah hingga ke telinga. Wajahnya tidak lagi setenang dulu.

Doktor Soon telah mencuba berulangkali untuk menghubungi Dino tetapi tidak berhasil. Dia perlu tahu perkembangan Dino dan memantau pengambilan ubat anti rejection sepanjang hayat. Doktor Soon juga sedar tentang bahaya risiko penularan hormon `x’ dari penderma yang boleh menjangkiti perlakuan penerima. Sekiranya berlaku sebarang perubahan perlakuan yang melampau, Dino perlu dirujuk semula ke hospital Nanning di China. Sehingga kini, semua mesej dan e-mail kepada Dino tidak berjawab. Dalam tempoh tiga bulan sekiranya hormon `x’ tidak dibendung, Dino akan terjebak sepenuhnya dengan penularan perlakuan songsang penderma.

Dino semakin kerap meninggalkan solat. Menjadi semakin tidak sabar dengan semua perkara termasuk amalan ibadat dan urusan keluarga.

Nada marahnya amat kasar…terkeluar segala rupa sumpah seranah. Anehnya semua sumpah seranah itu sukar difahami oleh anak isterinya. Yang pasti sumpah kesat dalam bahasa Cina Manderin pekat dengan loghat utara Nanning.

Sewaktu melayari internet, isteri Dino terkejut membaca mesej e-mail doktor Soon. Ia merupakan jawapan kepada pertanyaan Dino tentang latarbelakang penderma ginjalnya, tercatat seperti berikut;

Nama penderma ; Lao Meng Hoon
Jantina ; lelaki
Usia ; 21 tahun
Group Darah ; A
Pekerjaan ; Buruh Kasar
Rekod Jenayah ; 5 kes curi, 4 kes pecah rumah, 3 kes bunuh, 6 kes
Rogol
Kategori ; Penenayah berbahaya, licik dan kejam
Hukuman ; Penjara di bilik terakhir
Tembak sampai mati.
Isteri Dino bergegas keluar rumah bersama anak-anaknya. Membawa apa saja yang sempat dicapai. Destinasinya belum jelas. Yang pasti lokasi yang selamat. Sebaik-baiknya di balai polis. Tetapi Balai Polis terdekat kira-kira 15 kilometer dari rumah. Sebaik-baik membuka pintu pagar, Dino telah tercegat. Di tangannya tergenggam sebilah parang yang masih melekat serpihan darah. Tiba-tiba tersungkur sebaik dentuman peluru menembusi belakang kepalanya. Sekumpulan anggota polis muncul dari balik kereta peronda membawa mayat Dino ke hospital.

Sa'don Suraji

Putrajaya
28 Ogos 2008

Kehidupan Selepas Transplant

Sesudah menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang, pesakit wajib menjalani rutin harian yang lebih berdisiplin, khususnya tentang jadual pengambilan ubat, jadual pemeriksaan kesihatan, kebersihan diri dan mematuhi setiap arahan doktor. Sebaik-baik selepas pembedahan dan dibenarkan pulang, beberapa peraturan berikut perlu dipatuhi dengan ketat;

1. Menjalani tempoh kurantin selama 6 bulan dan tidak boleh terlalu terdedah kepada orang awam
2.Memakai topeng (mask) dalam tempoh kurantin (6 bulan) bagi mengelakan jangkitan
3. Wajib mengambil ubat `anti rejection' iaiatu `cellcept' dan `prednicilone' 2 kali sehari atau sebagaimana yang ditetapkan oleh doktor.
4. Mengawal diet dan menjaga permakanan.
5. Menjalani pemeriksaan kesihatan berkala iaitu seminggu sekali, sebulan sekali, tiga bulan sekali dan akhirnya enam bulan sekali (bergantung kepada status kesihatan)
6. Sentiasa mendapat nasihat doktor khususnya tentang pengambilan ubat. Jangan sesekali mengambil atau menolak ubat tanpa nasihat doktor.
7. Sentiasa merujuk kepada hospital (unit nefrologi) tentang sebarang masalah berhubung dengan tahap kesihatan.

Selain dari perkara di atas, pesakit boleh melakukan aktiviti harian dan menjalani kehidupan normal seperti biasa.

Beberapa perubahan akan dapat dirasakan selepas menerima organ buah pinggan baru iaitu;

1. Lebih sihat dan cergas
2. Selera makan bertambah
3. Bebas dari rawatan dialisis
4. Bagi wanita, tahap kesuburan mereka akan meningkat
5. Bagi lelaki akan mengalami peningkatan dari segi keupayaan seks
6. Jika tidak mengawal diet akan cepat mengalami peningkatan berat badan
7. Mengalami kesan sampingan tertentu pengambilan ubat seperti gegaran pada jari tangan dan lain-lain seperti jerawat, bintik-bintik. Kesemua dapat dikawal dan diatasi dengan nasihat dan rawatan doktor.

Monday, October 27, 2008

Catatan perjalanan 31/1/06 hingga 15hb Januari 2007


31/12/Ahad

Hari ini aku rasa lega kerana Dr. Zhen telah mengeluarkan salur getah dari salur kencing. Aku boleh kencing sendiri dan masukkan dalam bekas untuk disukat. Aku mula kerap kencing, setiap kali lebih kurang 200 hingga 300ml. Kencing terasa laju dan lancar. Berak masih di katil. Semakin hari aku rasa semakin baik dan gembira kerana ada rakan-rakan pesakit yang lain.

1/1/2007/Isnin

Aku dah boleh makan. Tapi buat permulaan ini isteri aku sediakan air rebusan janggut jagung, dan bali untuk menggalakkan lagi kencing. Sebenarnya aku pun tak terasa lapar kerana air makanan ada digantung sebagai sebagaian dari cara merawat pesakit. Aku sedar tahun baru telah masuk dan ia sangat bermakna bagiku. Segala kesabaran, penderitaaan batin zahir dan doa-doa terkabul menjelang tahun baru. Azamku tetap ingin menggunakan usiaku selepas ini untuk banyak beribadat dan membuat kebajikan yang bermakna, menjadi lelaki soleh dan orang yang lebih beriman.

2/1/07 Selasa

Menjelang hari ini aku sudah boleh duduk tegak dikatil. Doktor terus merawat dan memberikan berbagai-bagai ubat untuk rawatan. Dr. yang membedahku iaitu Doktor Lai membuat dressing ke atas luka perutku dan juga di jahitan. Aku terus sms rakan-rakanku melaporkan perkembangan diriku.
3/1/ hingga 8/1/ Isnin

Rutin rawatan di wad ICU antaranya ialah setiap 2 hingga 3 jam sekali tekanan darah diambil, setiap 4 atau 5 jam diambil ukuran suhu badan, menjelang pagi setiap hari darah diambil untuk diuji tahap kretenin dalam darah, makan ubat setiap jam 9.00 pagi, 12.00 tengahari, 6.00 ptg dan 9.00 mlm, suntikan ubat dan gantung air dan ubat-ubatan 6 jam sekali. Untuk ubat jam 9.00 melebihi 12 biji, untuk jam 12.00 4 biji. Setiap kencing dan berak dicatat dan rekod. Begitulah berlalu hari-hari sehingga hari ke 10.

8/1/ 07 Isnin

Hari ini aku keluar wad ICU terasa sangat lega dan puas. Aku dapat makan dengan isteri dibilik penginapan. Aku ambil masa berjalan sendiri melawat unit Dialisis ditingkat 1 dan mengucapkan terima kasih kepada Dr. Liew yang mengetuai unit itu juga kepada staf-staf bertugas.

9/1/07 Selasa

Ini hari kedua selepas turun dari ICU. Sukatan air kencingku semakin baik dan banyak. Melebihi 1000 ml sehari. Dr Zhern datang membuka jahitan pada perutku. Aku bertanyakan banyak perkara mengenai buah pinggang. Tekanan darahku juga mulai rendah dan normal. Selera makanku bertambah tetapi berat badan tidak naik mendadak, masih 48 hingga 49 kg. Aku telifon Hj. Suhaimi minta tolong aturkan jadual dan tempahan penerbangan. Juga aku hubungi Ahlok untuk minta dia datang bantu dan uruskan bayaran dalam yuen. Dijangka Ahlok akan datang hari Khamis petang. Nurse datang dan pergi kebililik hingga jam 12.00 mlm memeriksa tekanan darah, suhu badan, gantung air ubat dan mengambil catitan air kencing. Isteriku memasakkan bubur dan ikan kukus serta sup jagung, dan barli. Aku asyik terasa nak makan saja.

10/1/07 Rabu

Hari ini Dr.Lai datang bersama nurse memaklumkan perkembanganku yang semakin baik. Buah pinggang berfungsi dengan baik menghasilkan kencing lebih 1750 ml sehari tekanan darah antara 140/80 hingga 150/80. kretenin dalam darah menurun dari 250 kepada 186. Cuma sedikit masalah kesan pada hati akibat pengambilan ubat. Tetapi itu bukan masalah besar. Aku hubungi Suhaimi lagi minta bantu book tiket. Aku juga hubungi Ahlok minta kedudukan kewangan yang perlu untuk pembayaran kepada pihak hospital.

11/1/07 Khamis

Aku anak beranak sarapan bubur nasi dan ikan kukus. Awal pagi lagi isteri telah masakkan air rebusan jagung, barli dan karrot untuk menggalakkan air kencing. Rekod kencing juga baik hingga mencapai lebih 2000 ml semalaman.Dr. Lai dan Dr. Zhen datang bertanyakan perkembangan. Aku beritahu tentang perkembangan kesihatan dan minta dia senaraikan ubat, jadual pengambilan ubat untuk persiapan aku balik pada 13/1 dan minta dia keluarkan benang dalam saluran kencing. Dia setuju untuk lakukan pada 12/1 petang. Aku mula pindahkan rekod-rekod kencing berak ke dalam buku untuk rujukan. Ahlok beritahu akan datang jam 4.00 petang. Kadang-kadang risau juga kalau persiapan balik tergendala. Tapi Ahlok perlu menguruskan kepulangan Marina ke Sabah jam 3.00 ptang lepas tu baru dia datang uruskan aku. Ahlok tiba jam 8 malam dan kami sambut dengan makan bersama.

12/1/07 Jumaat

Pagi lagi isteri dah siapkan air rebusan barli dan jagung. Aku ke bilik air kerana terasa nak kencing, selesai kencing tiba-tiba terjulur keluar benang dari dalam saluran kencing. Aku tarik perlahan-lahan hingga terkeluar kabel kecil berwarna hitam panjang kira-kira 6 inci. Aku begitu lega kerana itulah aku tunggu-tunggu. Selepas itu aliran kencingku bertambah selesa dan lancar. Aku beritahu Ahlok supaya tak perlu ada pembedahan mengeluarkan benang dan kabel itu. Ahlok pun tumpang gembira. Malam kami berkemas untuk perjalanan pulang esok hari.Ahlok pun tidur dibilik yang sama diruang tamu. Dr. Lai datang membawa sample ubat yang perlu. Aku minta stok sebulan. Dia tunjukkan 3 jenis ubat penting yang perlu diambil, dengan kos 5400 yuen. Aku bayar dan stok ubat akan dihantar oleh nurse. Jam 12 nurse hantar stok ubat.

13/1/07 Sabtu

Kami bangun jam 4.30 pagi berkemas untuk ke air port. Setelah siap jam 6 pagi kami tunggu kenderaan ke air port jam 6.30 kami bertolak. Jam 7.05 kami sampai airport Nanning dengan membawa 8 beg. Setelah check in dan melalui proses imgresen yang rumit akhirnya kami berlepas dan sampai ke air port Baiyun Guanghzau. Jam 9.05 pagi. Oleh kerana masa masih panjang untuk check in jam 1.30 petang kami ke hotel persinggahan dengan kos kenderaan dan hotel sebanyak 200 yuen. Sempatlah kami berehat dengan selesa. Tepat jam 12.30 kami bertolak semula ke Airpot Baiyun untuk check in. Dengan bantuan kawan Ahlok, mudah urusan check in kami kecuali kerenah imigresen yang banyak kerenah dan tidak mesra. Sebelum berlepas sempat aku berpeluk cium dan Ahlok. Sebagai tanda terima kasihku kepadanya. Akhirnya kami berlepas jam 3.00 petang

Aku duduk di business class dan isteri dan anak-anakku di seat ekonomi. Sepanjang perjalanan aku kencing 6 kali. Akhirnya aku mendarat di KLIA. Aku rasa sungguh lega dan bersyukur. Hj Suhaimi dan Datuk Abu Khamis serta isteri menyambut kepulangan kami. Aku balik dengan kenderaan Unser hj Suhaimi. Dalam perjalanan balik Dato Suraya telifon dan terkejut kerana aku dan balik. Kau tiba dirumah jam 9.30 malam. Aku beri hj Suhaimi cederamata. Kerana kepenatan aku tidur awal.

14/1/07 Ahad.

Aku bersyukur kerana telah selamat tiba kepangukuan keluarga. TKPS beritahu nak datang. Aku sms YB Dato Azalina bahawa aku dah balik dan berterima kasih atas bantuannya. Dia jawab tahniah awak dah sihat. Petang jam 3.00 Datok Suroya dan Mazrib datang melawat. Kami berbual hingga jam 5.00 petang. Aku pergi ke farmasi baru beli alat Blood pressure Monitor dan alat ukur kencing manis serta kotak ubat. Tekanan darah aku normal sekitar 130/80 dan 150/90. Tahap gula dalam darah sekitar 9 tanpa puasa. Mungkin jika puasa sekitar 5 atau 6.

Isteri masakkan aku seperti biasa menu bubur dan ikan kukus serta air rebusan barli dan janggut jangung. Aku solat seperti biasa dan juga solat tahajjud serta taubat.

Anak-anak aku Kamal dan Hisyam tunjukkan clip video karya masing-masing tentang perjalanan hidup keluarga kami. Yang menyentuh perasaan ialah bahawa betapa mereka bimbang akan kehilangan ayahnya dan cuba membayangkan bagaimana menghadapi hidup tanpa aku bapanya. Aku rasa sungguh terharu dengan hasil karya mereka berdua.

15/1/07 Isnin
Aku bangun jam 4.30 am solat isyak, Tahajjud dan Taubat. Setelah solat subuh, baca quraan. Aku ambil tekanan darah tinggi 136/82 normal. Aku lega. Sarapan dengan air rebusan barli dan jagung. Aku telifon keluarga dikampung dan rakan-rakan KBS. Aku ambil masa memandu kereta kancil. Inilah kali pertama sejak 4 bulan aku memegang setering kereta dan bersiar-siar sekeliling taman. Aku dapat merasakan nikmatnya kehidupan apabila dapat memandu semula dan dapat melihat suasana taman perumahan dan deretan kedai-kedai. Indahnya tempat sekitar tempat tinggalku

Sunday, October 19, 2008

Catatan 30/12/06 - Jumaat

30/12/Sabtu

Aku masih dalam posisi terlentang di atas katil. Entah berapa jam lagi terpaksa dalam kedudukan begini. Terasa kebas dan menyakitkan. Sesekali doktor arahkan untuk baring mengiring ke kiri dan kanan sambil nurse mengurut belakang badan. Sambil itu nurse juga akan mengelapkan badan dengan tuala lembab. Tapi aku mesih bimbang kerana belum dapat mengeluarkan kentut. Bagi hospital ini ia amat penting kerana selagi belum kentut ia menandakan buah pinggang belum serasi dan belum dapat berfungsi sepenuhnya. Oleh itu pihak hospital tidak belum boleh beri kebenaran untuk makan dan minum. Dah banyak kali aku cuba akhirnya kentut itu pun keluar sendiri. Aku gembira dan berteriak `Fang Fi, fang fi’ (mananya kentut! Kentut !). Nurse yang ada di kelilingku tersenyum gelihati. Ini membuat aku berfikir, betapa selalu kita meremehkan nikmat yang Tuhan bagi. Bahawa nikmat walau sekadar kentut telah menjadi penentu kepada kejayaan pembedahan buah pinggangku. Bagi mereka yang tidak mengalami sebarang masalah, berak kencing dan kentut mungkin perkara biasa yang tidak penting. Itulah pengajaran dari peristiwa sepanjang hari ini. Aku gembira kerana semuanya nampak macam ok kecuali masih sengsara bila nak kencing. Setiap hari macam-macam ubat diberikan termasuk ubat telan dan suntik serta melalui saluran air. Walaupun dalam kesakitan aku masih merasa lega lebih-lebih lagi ramai kawan yang sms begitu juga keluarga.

Thursday, October 9, 2008

Catatan 29/12/06 - Jumaat


29/12/Jumaat

Aku masih terlentang di wad ICU tingkat 10 dengan ubat dan segala salur ubat terpasang di kedua-dua kaki, tangan dan salur kencing . Aku akan berkedudukan terlentang atau mengiring dalam tempoh 3 hingga 4 hari ini. Untuk buang air besar nurse akan datang bawa bekas untuk diletak dibawah badan. Segalanya sangat tidak menyelesakan. Tapi aku redha dan tetap bersyukur kerana telah melalui pembedahan ini walaupun belum pasti apa yang berlaku selepas ini. Pagi itu aku perasan ada 4 lagi pesakit yang berkongsi bilik dengan aku. Semua menjalani pembedahan yang sama. Aku difahamkan pembedahan sepanjang malam dan esoknya telah dilakukan kepada seramai 10 orang pesakit, 8 lelaki dan 2 perempuan. Aku bertanya doktor bagaimana keadaaanku, dia kata pembedahan berjaya, buah pinggang berfungsi dengan baik, aku telah kencing pada paras 5 hingga 6 ribu ml menandakan buah pingggang telah berfungsi. Kata doktor umur penderma buah pinggangku ialah 21 tahun dan masih muda. Tak dapat nak gambarkan bagaimana perasaanku ketika itu. Hanya tergambar wajah Dato' Seri Azalina, emak, anak isteri dan rakan-rakan. Syukur aku masih berpeluang dan diberi harapan untuk menyambung sisa hidup. Tak ku sedari basah pipi kanan kiriku dengan air mata. Tekak terasa perit kerana menahan sebak dan tak dapat nak menangis sepuashati. Hari itu juga aku tel rakan baikku Timbalan Ketua Pengarah Sukan En. Mazrib tentang diriku dan SMS YB. Dato’ Azalina yang banyak memberi pertolongan kepadaku, dia jawab semua warga Kementeian Belia dan Sukan mendoakanku. Aku dapat merasai kegembiraan mereka kerana getaran keiklhasan hati mereka itu menbangkitkan semangat hidup yang tinggi dalam diriku. Tak habis-habis aku memanjatkan kesyukuran kepada Allah. Ketika menelifon isteri, abang ipar dan keluargaku, lidahku seakan kelu kerana mendengar esakan tangisan kegembiraan dari mereka. Sesungguhnya Allah merahmati kami dan keluarga kami
Renungan:
# Disaat genting ketika dilanda kecemasan dan tiada siapa di sisi yang dapat membantu, bertawakkallah kepada Allah, bahawa ketika itu doa dan penyerahan diri kita yang ikhlas dan mengharapkan bantuannya pasti akan terkabul

Catatan Perjalanan 27/10/12 - 28/12/12/06




27/12//Rabu

Selepas sesi dialisis, aku dimaklumkan akan ada pembedahan. Aku gementar dan berdoa serta berharap ada buah pinggang utk ku kali ini. Kami menunggu hingga petang ke malam. Menjelang jam 10.00 am sekumpulan nurse datang ke bilik minta siapkan diri untuk pembedahan. Berderau darah aku. Sambil bersyukur penantian yang panjang nampaknya berakhir. Pertama nurse minta aku cuci perut dengan cara memasukkan tiub getah dalam duburku dan memasukkan cecair…tak lama selepas tu aku terasa nak terberak dan meluru ke bilik air keluarkan semua….proses itu berulangkali hingga 5 hingga 6 kali. Selepas itu satu suntikan dipunggung diberikan begitu juga ditangan untuk memasukkan air. Akhirnya jam 12.36 am 28/12/07 aku dibawa ke bilik pembedahan.

28/12/Khamis

Aku tiba dibilik pembedahan jam 1.00 am. Di bilik bedah doktor sedang menunggu. Tetepi pembantu bertugas menyiapkan diriku untuk pembedahan. Mula-mula diletakkanku di bawah lampu pembedahan yang besar, tangan, kaki semua ditusuk jarum untuk masukkan air, dan yang paling menyakitkan ialah dimasukan salur getah ke lubang kencing…mengerang-ngerang aku kesakitan. Satu suntikan diberikan lagi dipunggung. Lepas itu aku tak perasan apa-apa. Apabila aku buka mata aku dapati dah di bilik ICU dengan segala sakit senak perut, rasa nak kencing , memulas dan sebagainya. Aku mula kencing, tapi setiap kali nak kencing aku rasa sangat sakit hingga menggerang dan keluar air mata. Ini akibat lubang kencing yang telah dimasukkan salur dan ada talian benang di dalamnya. Air dan ubat digantung dari salur yang disuntik di kedua kaki dan tangan. Pendek kata semua menyakitkan.

Renungan:

# orang tua yang lebih tahu menilai dan menghargai nikmat usia muda
# orang sakit yang lebih tahu menilai dan menghargai nikmat sihat
# orang miskin yang lebih tahu menilai dan menghargai nikmat kaya
# orang sibuk yang lebih tahu menilai dan menghargai nikmat masa lapang
# barangkali orang mati yang lebih tahu menilai dan menghargai nikmat hidup

Wednesday, October 8, 2008

Catatan Perjalanan 13/12 - 23/12/2006




13/12 Rabu

Aku dialisis belah pagi. Tengahari Dato’ Lajim Hj. Ukim dan Ahlok datang. Kami bercerita tentang kedudukan Nan Fang dan Hospital Tentera. Aku sempat bertanya keadaan operation Dato’Lajim dulu, keadaan kesihatannya sekarang dan kerjaya politiknya masa ini. Ternyata Dato’seorang ahli politik yang matang. Dengan keadaan kesihatannya yang baik hampir 10 tahun telah menjalani pembedahan buah pinggang, kini dia benar-benar sihat. Dia menasihatkan supaya menjaga keadaan kesihatan semasa pembedahan iaitu 10 hari di ICU yang agak kritikal.

Kami juga bercerita tentang kedudukan Marina di hospital Nan Fang. Kata dato, lebih baik bawa balik ke Malaysia untuk rawatan lanjut. Kami setuju Kerana bagi menjimatkan kos rawatan elok keluarganya bawa balik ke Malaysia. Keluarga Marina nak saman hospital itu. Tapi kata Dato’tak guna kerana keluarga dia dah tandatangan persetujuan dengan pihak hospital ketika sebelum pembedahan. Mungkin boleh minta kedutaan Malaysia hantar balik Marina.

Ahlok yang paling sebuk menguruskan hal Dato’Lajim hingga Dato’ selamat balik semula ke Guangzhau esoknya. Dia tak tidur hingga urusan Dato’lajim selesai.

14/12 Khamis

Aku pergi pasar beli makanan dan beli baju sejuk 3 pasang untuk anak aku dengan harga 50 yuen (RM 25 = sehelai 4.50) bebaloi juga beli. Tengahari aku dah mula risau tentang ketibaan isteri dan anak-anakku Anisa ( 4 tahun) dan Johari 2 (tahun). Aku begitu risau, jam 2.30 ptg pun belum tiba. Aku telefon Ahlok berulang-ulang kali tapi katanya belum sampai. Aku cuba talifon isteri tapi dia tutup talifon.

Akhirnya dekat jam 3.00 ptg Ahlok telifon dah sampai kerana penerbangan lewat sampai. Aku lega. Aku tunggu sampai petang, jam 7.45 baru sampai ke penginapan. Aku lega. Dapatlah aku peluk anak isteriku setelah beberapa bulan berpisah. Kami makan malam bersama. Malamnya aku lega


15/12 Jumaat

Aku dialisis petang. Isteriku dan Ayok pergi pasar beli sayur dan alat masak. Aku jaga budak-budak. Tengahari aku makan tengahari bersama Ayok, Ahlok dan anak isteriku dengan selera dan dapat masak sendiri. Isteri ku beli lagi periuk. Petang aku dialisis. Makan sandwich roti dengan telor. Budak-budak dapat baju baru dia pakai untuk elak sejuk. Malamnya Anisa kencing ditilam.


16/12 Sabtu

Tiada dialisis hari ini. Aku pergi pasar beli sayur dan buah dan beli penutup kepala jenama nike berharga rm2.50. tengahari makan nasi dengan sayur sawi bunga yang aku beli. Malamnya aku bersama isteri. Isteri basuh kain baju dan masak.

17/12 Ahad

Pagi kita orang bangun lewat. Lepas sarapan aku pergi pasar beli sayur, buah, kacang dan beras. Tengahari masak sayur, kami makan bersama. Kami telifon Ahlok di Nan Fang hospital bertanyakan khabar tentang pesakit dihospital sana. Doktor dan nurse datang bilik dan membuat pemeriksaan biasa.

18/12 Isnin

Pagi aku bangun dan pergi buat rawatan dialisis. Kali ini aku hanya dapat bertahan 3 jam setengah kerana lengan terasa sungguh sakit. Kamal dan adik-adiknya di Selayang pergi ke Shopping Kompleks beli peralatan sekolah. Kamal dah bayarkan 4 kad kredit. Kak Lon ada sms dan telifon bertanyakan khabar. Dia kata kena darah tinggi kerana makan durian 3 biji. TKPS sms mengatakan dia sedang cari sponsor dan dah orang janji RM 7 ribu untukberi pada aku. Samni pun ada sms bertanyakan khabar.

19/12 Selasa

Pagi selepas rawatan dan sarapan aku pergi pasar beli keladi salatah, limau, kacang dan sayur-sayur untuk makan tengahari. Aku pergi lagi kerana beli limau kecil yang manis tak cukup anak-anak aku makan. Petang aku bawa anak isteri jalan ke pasar beli eksesori sepit rambut. Dalam perjalanan balik ternampak duit jatuh dipungut oleh orang lain naik basikal. Malamnya isteriku tak boleh tidur memikirkan peristiwa kesiannya orang yang hilang duit itu. Aku langsung tak tahu yang jatuh itu duit. Jumlahnya mungkin dalam 5 ribu yuen. China yang ambil duit itu siap beri tahu jangan lapor dan dia pun pusing arah ke pasar semula.

Kak Lon sms bertanyakan khabar. Rakan-rakan juga sms. Malangnya organ belum juga dapat dalam minggu ini. Doktor Lai datang melawat pada waktu pagi tapi dia juga tidak pasti bila akan dapat organ. Dia juga bertanyakan uncle Ahlok bila balik.

Perkembangan Marina, bapanya nak sewa satu kapalterbang nak bawa Marina balik untuk rawaan di KL dengan belanja RM 80, ribu. Aku kata itu membazir baik gunakan duit itu untuk rawatan anaknya lagi baik.

Isteri aku berbual-bual dengan Ayok di ruang ramu. Aku dah ngantuk dan masuk tidur awal.


20/12 Rabu

Aku dialisis sesi pagi. 3 jam pertama tak rasa sakit. Satu jam terakhir sakit, tapi aku tahan. Lutut aku dah rasa sakit gaut semula. Aku tahan, mungkin esok lusa tak dapat jalan. Petangnya aku berehat. Isteri masak sayur lemak pucuk kacang.

21/12 khamis

Aku terbaring seharian kerana sakit gaut dilutut. Solatpun kena duduk. Isteriku dokong aku pergi bilik air untuk berak dan kencing. Rasa loya nak muntah. Dari pagi sampai esoknya aku baring saja dikatil. Malam aku berak 3 kali agaknya salah makan atau makan banyak sangat limau. Nurse dan doktor datang bagi ubat. Aku dapat berita organ dalam minggu ni tiada. Aku bincang dengan isteri, kalau tak ada organ sampai Jumaat depan, isteri balik dulu untuk urus anak-anak nak sekolah. Tetapi kalau ada organ dia tunggu dan balik saing. Ayok dan Ayun dah bersiap sedia nak balik minggu hadapan. Ahlok masih di Guangzhau untuk membantu keluarga Marina. Di fahamkan pihak kedutaan Malaysia juga datang membantu.

22/12 Jumaat

Aku pergi dialisis petang. Paginya kaki aku dah ok. Ada pembedahan hari ini tapi Cuma satu sahaja yang sesuai. Tiada group A untuk buah pinggangku. Sessi dialisis tamat pada jam 5.30 petang. Malam kami berbual dan makan bersama keluarga Ayok. Uncle Ahlok masih belum balik kerana menguruskan Marina di Nan Fang. Keadaan Marina diberitakan makin kritikal.

23/12 Sabtu

Pagi aku pergi pasar beli kentang, sayur dan kasut bersama isteri. Johari dan Anisa ikut sekali. Kami jalan-jalan lihat apa yang ada di pasar. Ayok dan anaknya bersiap untuk balik ke Guangzhau. Hari Ahad dia akan bertolak ke Guangzhau dan akan balik ke Sabah pada hari Isnin.

24/12/ Ahad

Hari ini Ayok dan Ayun bersiap untuk balik ke Guanzhau. Banyak barang ditinggalkan untuk kegunaanku. Pihak hospital buat hiasan di bilik untuk sambut hari krismas hari Isnin. Ayok dan Ayun balik dihantar oleh pihak hospital dengan kenderaan Pajero. Kami hantar sampai dekat pintu bawah. Dia akan menginap di Guangzhau satu malam sebelum balik ke Kota Kinabalu. Aku telifon Ahlok tentang Ayok dan bertanya bila nak balik ke Nanning. Doktor beritahu akan ada buah pinggang hari Rabu 27/12 tetapi kena tunggu sesuai atau tidak.


25/12/Isnin

Hari ini sesi dialisis pagi hingga tengahari. Masih kesunyian sejak Ayun dan Maknya Ayok balik Malaysia. Sepanjang sessi dialisis aku kesakitan dan merasa lengok dan bosan dengan sessi itu. Para jururawat masih tekun bertugas seperti biasa tanpa rasa jemu dan bosan. Habis sesi dialisis aku berehat sampai malam, sekali sekala aku call Ahlok .aku anak beranak terus berharap agar dipercepatkan dapat buah pinggang.

26/ 12/ Selasa

Pagi aku pergi kepasar membeli barangan dapur, kacang dan buah-buahan. Seharian aku mundar mandir, kadang-kadang menulis dan tengok tv. Malamnya aku terus gelisah menantikan buah pinggang yang entah bila akan tiba. Aku terus membaca quraan dan solat dan berdoa.

Renungan:

#Yang penting bukan berapa lama kita hidup,tetapi bagaimana kita hidup.

#Nasihat yang baik tidak pernah datang terlambat

Wednesday, September 24, 2008

Catatan Perjalanan 10/12 - 12/12/06

10/12 Ahad

Pagi ini pergi pasar sendiri. Cuaca sejuk sampai ke muka. Aku pakai 3 lapis baju tebal. Aku beli limau, kacang dan ubi kayu. Ayok masakkan ubi kentang untuk aku. Isteri telifon tentang perkembangan pembedahan. Jannah pun telifon bertanyakan khabar. Ahlok di Guanzhau telifon menceritakan perkembangan Marina dan persediaan tiket. Aku dah belikan tiket untuk Ahlok beserta dengan insuran sebanyak 860 yuen. Seperti biasa aku makan ubat yang hospital berikan.

Aku perasan sejak duduk di hospital ini hilang wajah pucat ku. Jadi kemerah-merahan dan menandakan darahku ok. Penyakit gaut ku pun sudah mulai kurang. Cuma sakit-sakit sendi dan bahagian belakang disebabkan gangguan kalsium yang kurang akibat kegagalan buah pinggang. Aku boleh solat cara biasa tak perlu solat dengan duduk lagi. Petang aku tidur sekejap.

Dr. Tam (doktor Muslim dan masih bujang) datang ke bilik pasang TV kabel (astro) dari rumahnya. Katanya dia tengok aku boring tak buat apa jadi dia bawa TV kabel untuk membolehkan aku dapat banyak siaran tv termasuk siaran bahasa English.

11/12 Isnin

Pagi aku ke pusat dialisis. Ramai pesakit. Aku diberi giliran petang bermula jam 1.30 petang tamat jam 5.30 petang. Sepanjang pagi itu aku tulis buku `menghadapi Hari Tua’ untuk nanti ku terbitkan untuk bacaan umum. Sambil dialisis aku baca terjemahan al quraan naskhah yang Hj. Suhaimi tinggalkan padaku untuk ku baca. Isteri telifon bertanyakan apa makanan nak bawa. Aku kata bawalah sambal belacan.

Malam aku masak ubi kayu untuk sarapan esok pagi.

12/12 Selasa

Pagi ini aku sendirian pergi kepasar. Aku beli kacang, limau, cili, bawang putih dan merah, jagung, keladi selatah dan beli baju sejuk. Baliknya aku masak keladi dan kari Brahim. Aku makan tengahari keladi rebus dengan kari. Ahlok telifon beri tahu Dato’Lajim akan datang ke Nanning pada 13/12 dan balik 14/12. Ahlok akan temankan ke Naning dan balik Guangzhau ambil isteri dan anak-anakku pada 14/12 untuk bawa ke Nanning. Aku minta tolong Ahlok di Guangzhau untuk tunggu isteriku sekiranya Ahlok datang lewat atau penerbangan ditangguhkan.

Renungan:
Orang yang menunjukkan kebaikan pada anda adalah orang baik, tetapi orang yang membetulkan kesalahan anda adalah orang yang lebih

Tuesday, September 23, 2008

Catatan Perjalanan 7hb Dis - 9hb. Dis 2006


7/12 Khamis

Selepas sarapan aku dan Ayok pergi pasar. Aku beli buah-buahan, kacang dan baju sejuk berharga 15 yuen (RM7.50). Sambil berjalan kaki kami bincang mengenai keadaan Marina dan Ayun. Perkembangan kesihatan Ayun sangat baik. Tetapi keadaan Marina masih kritikal. Suhaimi telifon mengenai tiket untuk isteri datang. Harga tiket RM 5,045 untuk tiga orang, isteri, dan dua anakku. Penerbangan Mas MH 376 jam 9.35 am pada 14 dis dari KL ke Guanghzau transit dan ke Naning jam 4.50 pm. Aku minta Ahlok tunggu di Guangzhau dan minta Ahlok bawa ke Naning dalam penerbangan CZ 3331. Aku telifon isteri mengenai penerbangannnya dan kiriman. Aku sms TKPS jika boleh datang sama. Jamil SMS abang Jaafar dan dapat cucu dan akikah pada 16/12. Kiftiah hantar belanja untuk kahwin pada 2/12 yang lalu. TKPS tanya dah dapat samada dah dapat organ ke belum. Tapi belum ada berita minggu ini, mungkin minggu depan.

8/12 Jumaat

Aku dialisis mulai jam 1.00 ptg. Tempat dialisis baru pasang tv. Lepas dialisis aku balik bilik rehat di bilik dan telifon isteri kerana bimbang tentang masalah kedatangnnya ke China. Malamnya jam 2.30 pagi aku bangun solat tahajjud, taubat dan hajjat serta zikir. Suatu ketenangan yang sukar ku perolihi sebelum ini.

9/12 Sabtu

Pagi setelah solat subuh dan berzikir aku baca terjemahan quraan, menulis dan baca terjemahan qurnaan dari kitab Bay Arifin tentang roh dan alam sesudah mati. Aku masak keladi salatah yang aku beli dari pasar. Sedap. Ayun telah turun dari wad ICU nampak sihat. Dato’ Abu Khamis dan Datin Zuraidah telifon tanya khabar dan minta aku bersabar menunggu organ. Aku teruskan membaca kitab dan menulis untuk ku jadikan bekal bahan bila balik nanti

Renungan:


Kesihatan adalah sahabat sejati kita. Nilainya baru kita sadari setelah kita kehilangannya

Catatan Perjalanan 6/12/08


6/12 Rabu


Pagi ini rawatan dialisis. Aku bangun awal untuk bersiap. Sesi dialisis bermula jam 8.30 tamat jam 12.30. sepanjang 4 jam dialisis aku rasa selesa. Imran dan Norsiah (Kak Nin) telifon bertanyakan khabar. Aku dengar esak tangis Norsiah dalam telifon. Rupanya selepas telifon dia datang rumah dan nangis juga di depan isteri. Dia bagi budak-budak duit raya. Isteri telifon nak datang Naning sendiri. Aku telifon Suhaimi minta bantu urus. Aku juga telifon Tuan Syed Idrus di JBSN Selangor minta bantu hantar isteri ke Airport kalau dah ada tiket. Aku telifon Ahlok bertanyakan lagi khabar tentang Marina di Nan Fang Hospital. Keadaannya agak kritikal, selepas pembedahan dia koma, dan perlukan alat bantuan pernafasan dan denyutan jantung. Air sudah memasuki otak. Keadaannya seterusnya hanya boleh diketahui 5 hari lagi. Aku simpati dengan emak bapaknya yang susah mencari dana untuk perubatannya


Renungan:


Kenangan indah masa lalu hanya untuk dikenang,bukan untuk diingat-ingat.Rasa takut bukanlah untuk dinikmati,tetapi untuk dihadapi.

Monday, September 22, 2008

Catatan Perjalanan 1hb. Dis - 5hb Dis 2006




1/12/ Jumaat

Pemeriksaan biasa awal pagi. Hari ini banyak berehat dan mengikuti perkembangan Ayun yang dirawat di ICU. Mencatatkan segala yang berlaku hari ini dan semalam.

2/12/Sabtu

Pemeriksaan harian dari awal pagi hingga malam. Hari ini sesi dialisis dengan mesin baru. 3 jam yang menyakitkan. Bermula jam 1 hingga jam 4.30 ptg. Isteri telifon pergi ke majlis kenduri kahwin anak saudara, Azli di Bukit Belacan. Dato’ Rosnah Majid nak datang rumah di BBS. Isteri beritahu dia dan Kamal akan pergi ke rumah Dato’Rosnah di Bukit Mas Taman Malawati. Dato’ Rosnah bagi nasihat pada isteri tentang penjagaan pesakit buah pinggang. Dia beri RM 100 duit raya pada anak-anak. Dato’juga telifon menasihatkan saya tentang apa yang perlu dipatuhi ketika menjalani rawatan pembedahan di ICU dan selepasnya. Aku sangat menghargainya. Magrib aku banyakkan mengaji dan berzikir sebelum tidur.

3/12/ Ahad

Pagi seperti biasa pemeriksaan oleh pihak hospital. Menjelang tengahari kami bertiga keluar ke bandar Naning untuk makan tengahari di restoran Islam di tingkat 2 mesjid Naning. Selepas itu kami jalan-jalan shoping, beli beg dan lain-lain keperluan. Bandar Naning menjelang hari minggu penuh sesak dengan manusia. Lebih ramai manusia dari kenderaan. Kanan kiri jalan penuh sesak dengan manusia termasuk jejatas. Orang berasak-asak hingga kenderaan tak dapat bergerak pantas. Parking untuk motosikal dan basikal penuh sesak di kiri kanan jalan. Tetapi yang bagusnya, lorong untuk pejalan kaki yang luas melegakan pejalan kaki dengan selesa. Hampir 3 hingga 4 juta mengunjungi bandar Naning di hari minggu. Restoran Islam tingkat bawah tiada tempat duduk kerana ramai pengunjung menjamu selera kegemaran mereka iaitu mee sup.

Kesemua pengunjug di hari minggu memakai jaket, kot dan baju sejuk kerana suhu mencecah 15 darjah celsius. Aku juga memakai 3 lapis pakaian. Kami berjalan ditengah-tengah jutaan umat China di hari minggu di bandar Naning yang membangun dan maju dengan berbagai deretan kedai dan shopping compleks yang modern. Peniaga menawarkan berbagai barangan dengan harga yang jauh lebih rendah dari di Kuala Lumpur. Terdapat juga penjaja di tepi jalan yang menjual kraf tangan dan barangan kecil sambil berhati-hati ditangkap penguatkuasa Majlis Bandaran Naning.

Suhaimi sms katanya dia hanya lapang untuk datang ke Nanning selepas 20 Disember kerana banyak kerja. Aku maklumkan isteriku yang sedang bersiap menghadiri kenduri kahwin anak saudaraku Azli di Lembah Jaya Ampang.

4/12 Isnin

Pemeriksaan biasa diawal pagi. Nurse datang untuk maklumkan sesi dialisis. Biasanya jadual dialisis hari selasa. Tak apalah yang penting 3 kali seminggu. Kemungkinan akan ada organ pada hari khamis, sebagai persiapan pembedahan agaknya. Ayun bertambah sihat. Tahap creteninenya turun hingga 80 tahap yang normal. Berita kurang baik dari Marina di Nan Fang Hospital bahawa dia terpaksa dibedah semula untuk mengeluarkan buah pinggangnya yang tidak berfungsi dan mengalami jangkitan di paru-paru dan jantung. Ahlok terbang ke Nan Fang untuk memberi sokongan moral. Aku jadi cemas menghadapi pembedahan akan datang. Penerbangan Ahlok dijadual jam 6.00 petang
TKPS talifon mengatakan akan datang melawat bersama KP. Aku maklumkan kepada Suhaimi dan isteriku. Aku telifon isteri minta sekali datang. TKPS kata OK.

Isteriku bercerita sekitar suasana majlis perkahwinan Azli. Kak Lon tumbang kerana kepenatan. Adik beradik Kampung Baru datang. Wak Samin datang naik keretapi tiba jam 4.00 petang..

Doktor Sun pengarah dan ketua doktor pakar hospital ini datang ke bilik memberi galakan. Aku sungguh terharu. Dia bagaikan tahu bahawa aku dalam ketakutan setelah mengetahui keadaan Marina di Hospital Nan Fang. Doktor Sun menerangkan keadaan komplikasi yang dialami oleh Marina dan bahayanya jika buah pinggang barunya tidak dikeluarkan segera, kerana antibodinya yang lemah mampu menggugat keadaan jangkitan paru-paru dan jantungnya. Dalam masa yang sama dia memberikan motivasi dan semangat kepada ku supaya tidak khuatir dan berjanji dalam masa lima atau enam hari lagi akan ada penderma yang sesuai untukku. Berulangkali dia meminta aku supaya bertenang dan tidak risau, dia akan membuat yang terbaik untuk ku. Sekali lagi aku rasa yakin dan gembira.

5/12 Selasa

Selepas pemeriksaan dan makan ubat aku pergi ke pasar berjalan kaki bersama Ayok. Ribuan orang sepanjang pasar kira-kira 5 hingga 6 kilometer. Segala keperluan dapur ada dijual termasuk barang basah dan kering termasuk peralatan harian. Aku ambil peluang mengunting rambut dengan bayaran 5 yuen iaitu RM 2.50. Sambil itu aku beli baju dalam long John untuk isteriku. Aku juga menemankan Ayun beli sayur dan aku juga membeli buah-buahan segar dari pasar. Peniaga disini agak simple dan praktikal. Tapak perniagaan percuma. Tak perlu barangan yang banyak. Memadai dengan membentangkan kotak atau tikar. Perniagaan berjalan baik kerana pembeli begitu ramai, tak kira hari minggu atau pun hari biasa. Kebanyakan daging adalah daging babi dan ada juga kelihatan daging anjing. Jenis-jenis sayur segar kebanyakannya bersaiz begitu besar termasuk cili hijau dan terung.

Aku telifon Ahlok bertanyakan khabar Marina di Nan Fang Hospital Guangzau. Kata Ahlok, Marina sedang dibedah pagi ini. Aku juga telifon isteri bertanyakan khabar.




Renungan:




Bila kita mengisi hati kita dengan penyesalan tentang masa lalu dan bimbangkan tentang masa depan, kita sebenarnya tidak memiliki hari ini untuk kita syukuri.


Sunday, September 21, 2008

Catatan Perjalanan 26hb Nov - 30hb. Nov. 06


26/11 Ahad

Beberapa nurse mengawasi aku tidur setiap 3 dan 4 jam datang melawat waktu malam. Awal pagi pemeriksaaan seperti biasa. Sarapan bersama Ahlok dan Ayok. Seharian hari ini rehatkan kaki yang sakit. Ahlok dan Ayok ke bandar beli makanan. Dr. Tam datang melawat waktu cuti bertanyakan khabar. Ia beritahu minggu ini ada organ. Aku mengadu mengenai sakit goutku. Dia kata asid urik tinggi,tetapi biasanya setelah pembedahan buah pinggang, sakit gaut hilang kerana darah bersih membuang asid urik dalam badan. Aku lega mendengarnya. Aku talifon isteri mengingatkannya mengenai urusan pasport esok hari. Aku sms Kamal dan isteri mengenai keadaan semasa. Kamal akan balik cuti Isnin 2/11 selama sebulan. Adikku, Zaharah sms mendoakan kesihatan dan mengkabarkan kerinduan keluarga. Airmataku bercucuran mengenangkan emak yang kebingungan. Tapi doa emak tetap ku harapkan.

27/11 Isnin

Pemeriksaan biasa dari pagi. Jam 1.00 petang kami dikehendaki menjalani rawatan dialisis di tempat baru. Sesi bermula 2.30 ptg tamat jam 5.30 petang. Mengikut kata staff, lebih kerap dialisis lagi baik untuk persiapan pembedahan pada hari Rabu. Difahamkan doktor Tam dan dr. Wong pergi ambil kidney di bandar Ebba 4 jam perjalanan berkereta.

28/11/selasa

Pemeriksaan kesihatan seperti biasa. Salah makan makanan lama aku sakit perut dan berak-berak sepanjang hari.Ahlok beli makanan roti dan buah-buahan dibandar. Dr. Lai bagi ubat. Tak dapat tidur sehingga jam 3.00 pagi.

29/11 Rabu

Kami bagun pagi dan pergi dialisis jam 8.00 pagi hingga jam 12.30 ptg. Hari ini bersiap untuk terima organ. Jam 1.00 ptg dapat tahu Ayun dapat buah pinggang yang sesuai setelah 8 hari di Naning. Aku turut gembira. Aku juga ada buah pinggang group A tapi masih tidak begitu sesuai. Tunggu lagi minggu depan. Ayun masuk bilik pembedahan jam 4.30 petang dan selamat jalani pembedahan. Jam 9.00 dipindahkan ke wad ICU untuk tempoh 10 hari lagi. Malam kami bercerita tentang keadaan Ayun yang nampak ceria dan sihat selepas pembedahan. Ayun mendapat buah pinggang dari penderma berumur 19 tahun dan mendapat penyesuaian sebanyak 5 point. Buah pinggang yang bagik untuk Ayun. Ayok, ibunya tak puas bercerita dan begitu gembira hingga tak dapat tidur. Hari ini sebanyak 6 pembedahan dilakukan oleh doktor pakar bermula jam 6.00 petang dan selesai jam 5.30 pagi. Aku sms TKPS bertanyakan bila nak datang bersama TKSU.

30/11 Khamis

Pemeriksaan biasa dari awal pagi. Kami bercerita tentang perkembangan Ayun atau YuYun sejak masuk ke ICU. Nampak sihat dan ada harapan buah pinggangnya dapat menerima sistem badan. Ukuran kencingnya satu jam 300 ml. Menunjukkan perkembangan yang baik. Dijangka boleh turun ke bilik penginapan dalam temph 7 hingga 8 hari lagi. Malam doktor Lai datang melawat bilik dan memberi tahu organ akan ada lagi minggu depan tapi tak pasti harinya. Dia akan berusaha untuk mendapatkan yang terbaik untuk buah pinggang saya. Hj Suhaimi maklumkan cek gaji ada masalah dengan AG. Dia dulukan duit kelab Keluarga RM 3000. aku minta isteri bayar kad kredit. Ras Adiba sms maklumkan pencapaian Fespic (Kejohanan Sukan Orang Kurang Upaya Peringkat Asia Timur) yang baik. 39 emas hingga setakat ini. Dia doakan aku selamat jalani pembedahan. Aku sangat menghargai ingatannya.

Renungan:

#Seorang teman sejati akan membuat Anda hangat dengan kehadirannya,mempercayai akan rahasianya dan mengingati Anda dalam doa-doanya.

Thursday, September 18, 2008

Catatan Perjalanan 21hb - 25 Nov. 06


22/11 Rabu

Seharian kami menjalani pemeriksaan kesihatan semula dari air, kencing, najis, darah, ECG untuk jantung, scan buah pinggang, dan perut seperti mana di Hospital Nan Fang, kecuali endoscop. Petang kami keluar pekan untuk membeli peralatan harian, periuk, baldi, tuala dan lain-lain kerana tiada makanan diberikan di hospital Naning. Kami makan dia pekan dan balik untuk persediaan masak. Walaupun terpaksa keluar agak jauh dari pekan, kami rasa lebih berbaloi berada di sini kerana tahu badjet lebih awal untuk pembedahan iaitu sekitara 160,000 yuen lum sum tak kira berapa lama kita tinggal. Aku call Hj. Suhaimi kedudukan kewangan. Ada kekurangan lebih kurang 10,000 yuen, aku diberi jaminan bantuan segera akan disalurkan. Aku gembira.


23/11 khamis

Doktor dan nurse membuat beberapa pemeriksaan lagi dan memberi ubat berdasarkan pemeriksaan. Pagi ini doktor memasangkan ke badanku alat pengesan jantung untuk tempoh 24 jam tak boleh mandi. Jam 1 petang pergi rawatan dialisis. Biliknya kecil untuk buat 8 katil sahaja. Aku dan Ayun pergi sesi dialisis. Kali pertama di tempat baru biasanya ada masalah, supply tidak begitu bagus. Walaubagaimanapun aku dapat menjalani sesi dialisis selama 3 jam. Katanya minggu depan akan berpindah tempat dialisis di tempat baru yang lebih luas untuk 20 katil. Dalam perjalanan balik ke penginapan aku singgah meninjau tempat baru bilik dialisis.

Malam kami order makan. Aku minta sayur terung dan sayur lain. Kami makan dengan berselera kerana makanan bukan dari pihak hospital. Ahlok beli banyak makanan dan buah-buahan ketika keluar membawa Ahyok dan anaknnya Ayun keluar pekan membeli kad talifon.

Malamnya aku habiskan masa membaca buku yang isteri aku kirimkan. Pagi aku sambung lagi baca buku sampai tamat.

24/11 Jumaat

Pagi seperti biasa doktor datang seawal jam 6.30 pagi untuk membuat pemeriksaan bp dan juga suhu badan. Selepas sarapan doktor buka alat pengesan jantung. Aku keluar pekan Naning bersama Ahlok dan Ayok dan anaknya Ayun naik kereta ketua Nurse. Kereta Toyota Corona putih. Aku turun di depan mesjid Naning. Mesjid ditingkat empat, bawahnya kedai makanan muslim tingkat 1 hingga 2. Aku jalan-jalan dan beli telipon second hand untuk kegunaan dalaman Naning berharga RM 140. kemudian jalan lagi dan makan di kedai muslim ditingkat 2 mesjid Naning. Balik sampai penginapan jam 4.00 petang dan sembayang Jamak. Aku dapati Bandar Naning lebih tersusun. Kemudahan jalannya lebih well planned. Jalan untuk semua orang. Lorong pejalan kaki, basikal, kereta dan orang berehat. Pertanian dimanfaatkan sepenuhnya. Kiri kanan sungai penuh dengan tanaman sayur, tidak seinci pun yang terbiar. Orang boleh berumah terapung sambil menternak ikan dalam sangkar di sepanjang tepi sungai. Sungainya pun bersih tiada keladak. Aku pun hairan bagaimana keadaan sungai Malaysia jauh lebih kotor sedangkan kita dikatakan negara maju khususnya sungai gombak di Kuala Lumpur yang berwarna coklat.

Akan datang Naning akan menjadi pusat membeli belah yang termashor memandangkan penduduknya yang ramai dan sangat viable untuk perniagaan. Penduduk di sini cepat belajar dan dapat menyesuaikan diri dengan arus perubahan kemodenan yang melanda masyarakat di sini. Benarlah ramalan ahli ekonomi, China akan jadi pasaran terbuka yang paling besar di dunia. Ekonomi China akan mampu berkembang dengan pesat. Bangunan dan frasarana dapat dibangunkan dengan begitu cepat termasuk hospital, rumah kedai, shopping kompleks dan seumpamanya.

25/11 Sabtu

Seperti biasa pemeriksaan kesihatan di awal pagi. Tengahari kami masak bubur. Sesi dialisis hari ini bermula jam 5.30 petang selesai jam 9.30 kerana ada emegensi yang memerlukan kita menunggu giliran hingga lewat malam. Keputusan ujian kesihatan kami semua baik dan memuaskan. Cuma menunggu sahaja ketibaan buah pinggang. Kakiku terasa sakit lagi kerana gout. Dr. Tam kata ubat telah diberi dan jaga makan yang tidak menyebabkan sakit dan kurangkan berjalan. Isteri telifon katanya nak datang ke Naning pada 4/12. aku minta Hj Suhaimi bantu uruskan pasport untuk datang bersama TKPS dan TKSU. Kamal dan Hisyam sms beritau perkembangan peperiksaan. Jehan juga sms maklumkan hal keluarga. Jamil dan rakan-rakan juga sms bertanyakan khabar dan mendoakan kesejahteraan. Seharian aku menghabiskan masa membaca buku Panduan Ibadah Haji buku yang dipinjamkan oleh Hj. Suhaimi. Aku rasa tak sabar untuk mengadap Baitullah di Mekah. Aku harap hasrat ini dapat ku laksanakan. Dr. Tam ialah salah seorang doktor yang bertugas di unit pemindahan buah pinggang. Masih muda dan beragama Islam. Sangat didikasi, selalu meluangkan masa bermesra dengan saya walaupun saya bukan pesakit di bawah jagaannya. Dr. Tay adalah orang nombor dua mengikut kata Ahlok. Dialah yang ambil kita di Airport hari kita datang. Dr. Tay adalah doktor yang akan membedah dan merawat saya. Kebanyakan staff dan doktor di sini berusaha berbahasa Inggeris termasuk jururawat.

# Renungan:

Fikirkan pula mengenai ujian, cubaan dan dugaan yang Allah s.w.t. datangkan sekali sekala. Apakah kita ini tegolong dari kalangan orang yang sabar dan redha atau sebaliknya sering keluh kesah, mendongkol dan tidak senang. Sedangkan kesukaran hidup hanya sekali sekala berbanding kesenangan yang tidak pernah putus.

Sunday, September 14, 2008

Catatan Perjalanan 21 Nov. 2006






21/11 Selasa

Selepas sessi dialilis pagi sampai tengahari, kami berkemas dan berangkat ke Naning penerbangan jam 5.30 ptg dan meninggalkan hospital Nan Fang jam 3.00 ptetang. Van hospital hantar kami hingga ke air port Baiyun Guangzau. Kami berempat, aku, Ahlok, Ayok dan Ayun sampai di airpot dan kemudian jam 5.45 baru berlepas ke Naning. Cuaca hujan renyai-renyai. Banyak penerbangan terpaksa ditangguhkan. Ahlok keluarkan simpanan depositku di hospital dalam yuen tetapi ada sedikit kerugian dari segi pertukaran mata wang dari US dollar ke Yuen lebih kurang 2000 yuen. Tak apalah yang penting dapat pindah hospital yang menjamin bekalan organ dan perbelanjaan yang munasabah. Aku gembira dapat mendarat selamat di lapangan terbang Naning, tempat di mana sebulan yang lalu ketua-ketua kerajaan Asean berjumpa di sini dalam seminar mengenai perdagangan termasuk PM.

Sebaik mendarat dan memasuki pemeriksaan imigresen, kami disambut oleh dua orang lelaki berpakaian tentera, rupanya ia adalah Dr. Lai dan doktor pembantunya yang menjadi pemandu dengan kenderaan tentera. Kami menuju hospital dan singgah makan di restoran sebuah hotel.

Tiba di hospital kami terus masuk bilik penginapan tanpa check inn atau sebarang deposit. Kami difahamkan bahawa hospital ini adalah sepenuhnya tentera dan di uruskan oleh pihak tentera sebagaimana hospital nan fang seuatu ketika dulu. Tapi kini hospital Nan fang telah di perbadankan. Kami diberikan 3 bilik berasingan, aku satu bilik, Ayok dan anaknya Ayun satu bilik dan Ahlok satu bilik. Bilik satu katil besar, satu extra bed, perabot, tiada tv atau peti sejuk, dua bilik air dan ruang rehat dan tetamu. Yang menariknya pemandangan di luar tingkap ialah sungai yang jernih dengan rumah terapung nelayan berderet-derat, jambatan yang indah dan pemandangan matahari naik yang mententeramkan. Aku berkata dalam hati, inilah tempat yang sesuai bagiku berehat sementara menunggu pembedahan dan bekalan buah pinggang. Setelah beberapa sesi pemeriksaan kecil kami pun berehat.
Pengajaran
Terimalah perubahan walau bagaimana sukarnya menyesuaikan diri dengannya. Yang penting bagaimana perubahan itu membantu kita kembali ke jalan yang benar dan membolehkan kita mendapat menfaat darinya.

Thursday, September 11, 2008

Catatan Perjalanan 17/11 hingga 20/11/06

17/11 Jumaat hingga 19/11 Ahad

Seronok kerana Dato Rosnah bagi galakan dan motivasi. Banyak buku dia bawa untuk saya baca.
Ayok kawan dari Sabah bincang dengan Ahlok untuk pindah hospital di Nan ning kerana dijamin dapat bekalan organ lebih cepat dan jimat duit kerana tak byk bayar 30% cukai. Dapat cakap dengan doktor yang rawat dan bedah Dato Rosnah dulu iaitu Dr. Sun. Dia pelawa datang ke Nanning. Dato Rosnah pun nasihatkan pergi ke Hospital Naning. Ahlok dan saya rancang untuk ke Naning pada 22 Nov. Setelah berbincang dan menerangkan kedududukan terkini kepada En. Madzrib dan Hj. Suhaime melalui telefon mereke merestui asal pembedahan dapat dilakukan. Mereka mendoakan apa saja yang terbaik.

Sejak Dato Rosnah datang terasa macam di Malaysia kerana dapat rasa masakan Malaysia, kari, nasi, sambal belacan, sambal udang, rendang dll. Keadaan kesihatan Dato Rosnah yang baik juga memberi perangsang tentang baiknya pembedahan buah pinggang. Buku `Chiken Soup for the Surviving Soul’’ amat mengesankan iaitu tentang 101 cerita individu yang telah mengalami penyakit kanser dan dapat melalui dengan selamat mengandungi motivasi yang kuat. Dapat idea untuk tulis buku seperti ini dengan latar belakang pesakit buah pinggang

20/11 Isnin

Pagi Dato Rosnah datang bilik untuk bye bye untuk pergi ke daerah lain di China. Aku terus baca buku-buku yang dipinjamkan dan catatkan apa sahaja nasihat untuk faedah selepas pembedahan nanti. Ahlok beli tiket kapalterbang ke Naning di jadualkan esok 21/11 jam 5.30 petang harga tambang 800 yuen sorang. Aku sms Mazrib dan Suhaimi. Aku keluar jalan beli beg pinggang untuk bawa duit dan kad telefon bersama Ayok dan anaknya Ayun. Lepas tu telefon isteri beritahu perkembangan terkini, isteri merestui

Pengajaran:

Jadikan membaca buku terutama buku agama atau Quraan waktu pagi itu satu kelaziman untuk memulakan hidup seharian dengan lebih bertenaga dari segi rohani dan jasmani

Wednesday, September 10, 2008

Puisi 6


Anak-anakku

anak-anakku
hanya di sini
ayahmu sempat
berpaut ke tiang harapan
untuk menghantarmu ke perjalanan
kerana yang pasti
ayahmu akan bersiap
menyahut panggilan Ilahi
ke alam abadi

anak-anakku
kaulah segala jiwa ragaku
sepenuh perasaan dan fikiranku
setinggi harapan dan cita-citaku
dunia dan akhiratku

dan kepada Tuhanlah aku
sandarkan syukur kasihku
atas nikmat memelukmu

anak-anakku
panjangkan kasihku
kepada anak cucumu
biarpun hanya cerita tentang
keujudanku yang sementara waktu
aku sentiasa gembira
dalam kegembiraannmu
dan akan turut duka dalam kedukaanmu

jika ku miliki sisa-sisa waktu
akan ku lepaskan segala keinginanku
mengutip setiap cebisan kenangan lalu

29 Jun 2006
Shah Alam

Catatan: Puisi yang tercipta ketika dalam keadaan sakit tenat

Catatan Perjalanan 11 hingga 16/11/06

11/11 hingga 14/11

Aku hanya baring di katil menahan sakit. Pergi dan balik ke dialisis dengan kerusi roda. Sambil itu minta doktor beri injektion dan ubat tahan sakit. Tapi doktor ambil darah untuk pastikan asid urik dalam darah. Doktor wee belum nak bagi injektion katanya belum perlu.

14/11 selasa

Aku kesakitan sepanjang malam. Pagi aku minta Ahlok bantu ke bilik air kerana tak boleh jalan. Sepanjang sesi dialisis aku menahan sakit gout. Turun naik kerusi roda sangat menyakitkan hingga meraung. Petangnya aku panggil doktor merayu minta diberi suntikan tahan sakit. Setelah meraung dan merayu2 dan dua doktor memeriksa akhirnya aku diberi suntikan. Selepas itu baru rasa lega dan boleh tidur dengan lena walaupun belum boleh jalan.

15/11 Rabu

Pagi ini aku bangun sendiri dan boleh berak dan kencing sendiri. Selepas itu solat subuh dan solat qada`solat yang tertinggal. Aku telipon isteri beritau perkembangan dan tanya khabar dan perkembangan anak2. Terubat sedikit kerinduan sambil membayangkan kerenah anak-anak.

16/11 Khamis

Sesi dialisis hingga tengahari. Masih gunakan kerusi roda kerana kaki masih bengkak guot. Anak aku Adiba dapat 2 A 3 B pemeriksaan UPSR. Walaupun tak cemerlang tapi tak apa. Aku faham, sejak aku sakit semuanya menjejaskan tumpuan pelajaran anak-anakku. Itulah yang tak dapat aku elakkan. Aku berserah saja kepada Tuhan tentang masa depan anak-anak aku.

Dato Rosnah Majid dan kawannya Bonnie datang ke hospital. Dia pernah membuat pembedahan buah pinggang di hospital ini. Ahloklah yang membantunya di hospital ini dulu. Datok Rosnah bawakan banyak bekalan makanan dan bahan bacaan. Dapatlah makan nasi kari dan sambal belacan

Pengajaran;

# Sentiasa percaya bahawa Tuhan tidak jadikan sesuatu peristiwa sia-sia, mesti ada kebaikan dalam dia memberikan kita sakit dan terpaksa menanggung berbagai dugaan. Kalau orang lain kaya dengan harta, berbanggalah kerana kaya dengan penyakit dan penderitaan, kerana pahala dan ganjarannya juga berlipat kali ganda. Percaya ada hikmat dan kebahagian didalamnya.

Sunday, September 7, 2008

Puisi 5


Isteriku

setelah ketiadaanku di sisimu
laluilah jalan-jalan rintisanku
bersama anak-anakmu
berbekalkan segugus harapanku
semuga mereka sampai
ke tempat tuju di penghujung doamu
sambil itu
sapalah aku dengan salammu
ketika melewati persemadianku
dan doa anak-anakmu
taburkannya di keliling solatmu
mudah-mudahan aku tenang bersemadi
dalam dakapan doa mustajabmu…

Sadon suraji
Shah Alam
20. Jun 2006

Catatan Perjalanan 1/11 hingga 10/11/2006






1/11/06 Rabu

Hampir setengah hari aku keluar ke taman dan kedai 7 eleven. Melihat gelagat orang ramai di taman hospital. Ada yang bawa famili, ada menolak kerusi roda pesakit, ada yang duduk-duduk berehat di bangku panjang. Cuaca mulai sejuk dan kebanyakan orang mulai memakai jaket. Aku duduk dibangku panjang ditengah taman menghirup udara segar dan melihat gelagat orang yang lalu lalang. Sekali sekala aku sms rakan-rakan.

Petang aku mengadap komputer. Rakan-rakan dan keluarga pesakit dari bilik lain datang berbual mengenai pembedahan semalam. Sambil itu aku beli pengukur tekanan darah tinggi dari Ayok.

2/11 khamis

Pagi ini sesi dialisis. Aku sentiasa berharap inilah sesi dialisisku yang terakhir dan semoga cepat mendapat buah pinggang. Inilah impian semua pesakit di sini. Petang aku pergi beli nasi goreng dan sayur di kedai makan Islam China di seberang jalan. Malam aku diminta puasa lagi kerana akan ada pembedahan hari ahad sekiranya organ sesuai.

3/11 Jumaat

Berita mengatakan akan ada buah pinggang hari ini untuk darah group O, A dan B. aku disuruh puasa, diambil darah, tekanan darah, diberi suntikan anti alahan dan sekali lagi dicukur bulu perut dan bawah perut walaupun aku cakap aku dah cukur. Kali ini aku malas nak bagi tahu keluarga atau rakan-rakan takut kecewa. Kali ini aku tidak berharap sangat berdasarkan pengalaman yang lalu.

4/11 Sabtu

Pagi sesi dialisis hinga jam 12.30. En. Mazrib (TKPS) dan isteri datang jam 3.00 ptg jumpa di bilik. Ahlok ambil di airport. Aku terima kiriman makanan, buku dan kad hari raya dari isteri dan anak-anakku. Membaca kad kiriman anak-anak membuat hati ini sebak. Tapi ku kuatkan hati untuk menghadapi semua ini. Lagi pun semua pengorbanan ini pun untuk masa depanku, keluarga dan anak isteriku. Cepat-cepat ku singkirkan rasa sedih dan fikirkan perkara yang boleh menguatkan semangatku. Malam tu aku bawa Mazrib dan isteri makan di restoran Islam kambing panggang di restoran makanan Islam Guangzhau. Seperti biasa sambil menunggu makan disajikan juga hiburan tarian ala-ala arab oleh artis China dari wilayah Islam. Hidangan kambing panggang di sini memang menyelerakan. Malangnya Mazrib sakit cirit birit dan pening kepala. Sebelum itu petang aku melawat pesakit yang baru buat pembedahan Marina dari Sabah di monitor bilik ICU. Keadaannya nampak sihat. Dia boleh melambaikan tangan dan bercakap dengan keluarganya melalui telefon yang dihubungkan di ruang menunggu ICU. Kami juga sempat melihat pesakit lain dalam ICU melalui monitor TV yang disediakan di ruang menunggu.

5/11/Ahad

Dari pagi sampai petang temankan TKPS dan isteri shopping dan makan dikedai muslim dan beli kad telipon prepaid China telecom dan balik bilik teruskan baca buku bertajuk Hidup Sesudah Mati. Membaca buku-buku sebegini mengingatkan aku betapa mati itu adalah kenyataan. Memang sukar menerima kematian. Tetapi itulah yang pasti kita hadapi. Jadi lebih baik kita bersedia dari segi minda sebelum kematian benar-benar datang mengundang.

6/11/ Isnin

Pagi-pagi Ahlok dan En Ismail dari Sabah (Keluarga En. Ismail membawa anaknya Marina yang berumur 27 tahun dan pesakit buah pinggang) ke kedutaan memperbaharui visa. Aku dan TKPS selepas makan tengahari di kedai Muslim, pergi shopping lagi dipusat Shopping terkenal di Guangzhau kira-kira 45 minit menaiki teksi. Pusat Shopping itu begitu moden dan luas. Selesa untuk pejalan kaki dengan ruang pejalan kaki yang luas di tengah-tengah. Di kanan kira deretan kedai sejauh 2 hingga 4 kilometer. Pelbagai barangan termasuk jam rolex tiruan dan cenderamata. Ramai pembeli bukan sahaja rakyat tempatan bahkan dari luar negeri termasuk orang eropah. Yang aku hairan, aku boleh berjalan sepanjang gerai-gerai jualan dalam tempoh yang lama seakan-akan tidak ada sakit apa-apa. Balik dari Shopping singgah dikedai makanan Islam di depan mesjid tua. TKPS melawat dan sembahyang sunat di mesjid itu. Kami makan sup kambing, sate kambing ikan dan nasi goreng baru berharga 200 yuen atau RM 100. selepas itu balik dan tidur.

7/11 Selasa

Pagi aku lewat bangun tapi dikejutkan oleh nurse supaya pergi dialisis yang sepatutnya petang. Aku pergi dialisis. TKPS dan isteri melawat aku di pusat dialisis sebelum balik ke KL. Aku kembali terasa sunyi setelah TKPS dan isteri balik. Aku terus baca quraan untuk menghilangkan sunyi.


8/11 Rabu

Aku kembali menulis cerpen tentang suasana di China. Selain itu aku hanya duduk dalam bilik sahaja. Aku mulai merasa sakit2 sendi.

9/11/ Khamis

Pagi ini aku tak boleh jalan. Ahlok hantar aku pergi dialisis pakai kerusi roda.
Sakit gaut ku kembali menyerang. Seharian aku baring di katil selepas sesi dialisis

10/11 Jumaat

Sakit gaout ku benar-benar menyakitkan. Ia menyerang lutut, siku dan pergelangan kaki kiri. Yang paling menyakitkan ialah lutut dan siku. Semalaman aku terasa sakit tak boleh tidur.

Pengajaran

Cara menghidupkan dan mengendalikan Roh (Rohani) dan Jasmani kita adalah berbeda. Roh memerlukan santapan jiwa iaitu menghidupkannya dengan mendekatkan diri dengan Yang Maha Esa yang memegang jiwa kita, banyakan ibadah, solat, zikir dan baca quraan. Jasmani pula memerlukan kelaziman kita bergerak tepat pada waktunya dan berterusan (istiqamah) kerana ia akan membina tabiat (memprogramkan jam biologi) dalam sistem badan. Kita perlu seimbang menghidupkan dan mengendalikan Roh dan Jasmani untuk mencapai kesempurnaan insaniah

Wednesday, September 3, 2008

Catatan perjalanan 15/10 hingga 31/10/2006



15/10/06 Ahad

8.00 pg hingga 12.00 tgh pergi ke Bank Of China untuk bank in duit tapi terlampau ramai orang. Ahirnya masukkan deposit wang ke hospital. Sambil itu ambil masa rehat di tasik dan membeli belah di gerai sepanjang jalan. Malam menerima kedatangan En. Suhaimi pegawai TDC di wilayah ini dan bawa sekali anak isteri sambil bawa makanan untuk berbuka puasa. En. Suhaimi bersama 6 orang anak dan isteri dari Sabah.

16/10

Hj suhaime terangkan kedudukan kewangan sepeninggalannya dan beberapa perkara sekiranya ada timbul masalah. Mendapat rawatan sakit bisul di bontot oleh Dr. pakar. Menonggeng dan dicucuk lubang bontot. Sakit tapi ada harapan sembuh.ari 8.00 pg hingga 12.00 tgh jalani rawatan dialisis. Balik dari dialisis selepas timbang berat badan aku pitam. Sedar-sedar nurse dan Ahlok dan memangku dan membantuku ke kerusi roda dan bawa balik ke biilik penginapan. Petang nurse datang bawa ubat untuk bontot. Satu paket ubat untuk cuci dan satu paket lagi untuk masukkan dalam lubang bontot bagi bisul kering.

17/10 Selasa

Aku bangun awal untuk rawatan bahagian punggung dari jam 6.30 pgi lagi. Dari jam 8.00 pg hingga 12.00 tgh mendapat rawatan dialisis. Lepas dialisis aku pitam lagi. Mujur sebelum pitam sempat berpaut ke dinding dan sempat dipaut oleh Ayok. Mereka bantu aku balik sampai ke bilik penginapan.


Hj Suhaimi balik Malaysia dan pesan supaya aku banyak baca quraan dan solat tarawih. Aku jadi sayu sebab kesunyian. Aku ambil naskhah quraan yang Hj. Suhaime tinggalkan dan baca sampai puas.

18/10 Rabu

Dari jam 8.00 pgi hingga 10.00 pgi aku bersama Ahlok pergi ambil gambar untuk tujuan lanjutkan visa. Di samping itu aku serve internate di kadai gambar itu baca utusan malaysia dan hantar email pada abangku Jamil di Malaysia serta semak akaun dalam maybank2u.

19/10 hingga 30/10

Bilik yang aku dan Ahlok tinggal tak pernah sunyi. Selalu mendapat kunjungan daripada pesakit lain dari Malaysia dan Indonesia. Yang peling kerap mengunjungi ialah Ayok dan anaknya Ayun pesakit dari Sabah yang baru berumur 16 tahun ketika sakit. Ibunya (Ayok) telah 3 bulan di hospital ini menunggu organ yang sesuai untuk anaknya tapi belum dapat. Dia dan keluarganya terpaksa bergolok bergadai membawa anaknya ke hospital ini. Ayok meninggalkan kerjanya sebagai tukang gunting dan terpaksa meninggalkan anak dan suaminya di Sabah untuk sementaara waktu. Ayok dan Ayun yang banyak membantu selain Ahlok sebagai penterjemah kepada staff hospital atau menyampaikan apa-apa pesan yang berkaitan dengan arahan hospital. Jadi kami seakan sebuah keluarga yang besar di sini. Kami mengharungi hari-hari suka duka dan pahit getir bersama seperti satu keluarga yang mengalami nasib yang sama…

31/10/06

Selepas sesi dialisis aku diberitahu ada buah pinggang untuk darah jenis A. aku diminta bersedia dengan berpuasa, ambil darah, diberi suntikan dan dicukur bulu perut dan bawah perut oleh nurse. Keputusan sesuai atau tidak akan putuskan lewat malam. Aku gelisah menunggu keputusan. Tepat jam 10.30 telefon berbunyi meminta aku makan. Maknanya buah pinggang tidak sesuai. Hanya sepasang buah pinggang untuk darah jenis A dan B yang menunggu lebih sepuluh orang yang kebanyakannya dah tinggal di sini melebihi 2 atau 3 bulan. Aku rasa kecewa tapi tak boleh berbuat apa-apa


Pengajaran:



# Kedamaian adalah apabila kita dapat merasai kedamaian hidup orang lain, dan dapat merasai dan melihat orang lain menjalani kehidupan dengan aman dan tenteram.
kadang kala kesunyian itu adalah guru yang menyediakan tempat belajar untuk mengenali diri sendiri dan Tuhannya. Dengan bersendiri dalam sunyi, minda dan jiwa/rohani kita hidup dan mudah mengingati Allah. Terbayang kesunyian kubur dan tiada siapa melainkan kita dengan Tuhan.


# Bila kita diberikan waktu untuk sakit, gunakanlah sepenuhnya merasainya dan menikmati kerehatannya. Tidak Tuhan turunkan sakit dan masa sakitnya dengan sia-sia melainkan ada kebaikan disebaliknya


# Sentiasa ingat dan sedar bahawa Tuhan turunkan pertolongannya melalui sesaorang yang tidak semestinya keluarga dan adik beradik kita. Kadangkala orang yang langsung tidak kita sangka atau kenali. Terimalah dan bersyukurlah

Tuesday, August 26, 2008

Catatan Perjalanan 14/10/06




14/10 Sabtu

Pagi ini dari jam 8.00 hingga jam 12.30 buat rawatan dialisis. Pertama kali masuk ke dewan rawatan dialisis, saya rasa terpegun. Setting wad tempat rawatan dan peralatan agak berbeza dengan yang terdapat di pusat rawatan dialisis di Malaysia. Walaupun prosedur rawatan adalah sama tetapi ada sedikit perbezaan. Bangunan rawatan dialisis ini terletak di Blok berbeza dari blok penginapan. Dengan panduan Ahlok dan pesakit lain saya melalui lorong dan tangga untuk sampai ke tempat rawatan dialisis. Kalau di Malaysia rawatan dibuat disediakan kerusi, tetapi berbeza di sini, di mana pesakit hanya disediakan katil untuk sepanjang rawatan dialisis. Untuk kali pertama sebanyak empat kali cucuk di festula lengan baru jumpa saluran darah. Ramai pesakit termasuk dari Indonesia. Tahap kebersihan sangat tinggi. Pekerja sangat cekap. Sementara saya mendapatkan rawatan dialisis di wad tersebut, Hj Suhaimi uruskan bayaran dan kewangan. Dato`Abu Khamis yang menghantar saya ke sini sempat berjumpa dan berpesan jaga kesihatan dan berdoa untuk kejayaan pembedahan saya. Tak dapat saya nak membalas budi baik mereka sekeluarga yang memberi galakan dan dorongan serta sokongan moral. Dialah orang yang pertama menghubungi Ahlok dan mengaturkan perjalanan dan rawatan di hospital ini. Hanya Tuhan yang dapat membalas budi baik mereka. Dato’ Abu Khamis balik ke Malaysia dengan penerbangan MAS jam 3.00 ptg.

Suasana di wad untuk kali pertama ini amat mesra. Walaupun semua jururawat China tak dapat berbahasa Inggeris, tapi saya dapat memahami arahan dan peraturan rawatan kerana telah terbiasa di Malaysia. Lagipun Ahlok dan pesakit dari Sabah dan Indonesia dapat membantu menterjemah sekiranya ada apa yang perlu saya tanyakan.
Kebanyakan staf di sini bekerja dengan gigih dan berdisiplin. Kemudahan yang disediakan di sini juga amat memuaskan termasuk siaran tv, dan peralatan lain yang berkaitan. Bayaran setiap sesi dialisis selama 4 jam ialah RM 500. Lebih mahal berbanding dengan pusat dialisis di Malaysia.

Rawatan dialisis pertama kali di China ini membuat saya rasa semacam. Pening, muntah dan tak selesa. Biasalah di tempat baru. Namun saya lupakan semua itu dan fikirkan perkara lain. Saya mula sms rakan-rakan di Malaysia dan keluarga untuk menghilangkan kebosanan. Terfikir juga berapa lamakah agaknya saya akan berada di wad ini, dan adakah pembedahan ini berjaya…dalam termangu-mangu kadangkala saya tertidur.

Pengajaran:

Bersyukur kerana kita telah diberi kesempatan mendapat sakit dan mengalami kesakitan yang diberi banyak kelebihan dari segi keampunan dosa dan hikmah yang lain

Thursday, August 21, 2008

Catatan 13/10/06 - Jumaat






13/10 - Jumaat

Hospital Nan Fang Military ini dulunya adalah sebuah hospital tentera. Sekarang hospital ini telah diswastakan. Pesakit dikehendaki mendepositkan bayaran dihospital ini dalam bentuk dolar Amerika. Hj. Suhaime dan Ahlok bersama Dato’ Abu Khamis telah bantu menguruskan semuanya itu. Saya duduk bilik no. 8 di aras 3 blok c, salah satu daripada beberapa blok bangunan hospital yang khusus untuk pesakit buah pinggang.
Bilik dilengkapi dengan dua katil dan satu katil tambahan, bilik air, kerusi meja dan almari pakaian. Bayaran makan minum, penginapan dan rawatan perubatan termasuk dialisis akan di bil kan dan didebitkan dari deposit wang kita dan bil dihantar ke bilik penginapan setiap hari. Saya tinggal bersama dengan Ahlok. Dialah yang banyak membantu berhubung dengan doktor dan para jururawat dan kakitangan hospital ini. Di sini tiada penggunaan bahasa Inggeris. Semuanya dalam bahasa Menderin. Jadi saya terpaksa belajar banyak perkara asas dalam bahasa Menderin untuk kegunaan harian. Ahloklah juru bahasa yang mula mengajar saya malam itu.

Para kakitangan hospital ini bekerja 24 jam mengikut syif. Tak kira waktu kiranya mereka perlu memeriksa staff akan datang atau menalifon dari kaunter aras 3. Malam itu Ahlok juga memperkenalkan ramai pesakit dan keluarganya di aras 3. Ada pesakit yang datang dari Pulau Pinang, Sabah, Indonesia dan United Kingdom untuk mendapat rawatan. Sebahagian dari mereka telah hampir 3 bulan menunggu organ dan ada yang baru sampai.

Pagi itu sekitar 6.30 pagi nurse ambil darah masuk dalam 8 tabung kecil dan ambil sample air kencing serta najis. Bermula jam 8.00 hingga jam 12.00 buat pemeriksaan keseluruhan daripada mata sampai kaki. Kami menunggu pemeriksaan mengikut giliran. Dari satu doktor ke satu doktor berdasar kepakara masing-masing. Kebanyakan pesakit bukan saja dari China tetapi seluruh Asia Tenggara. Pemeriksaan yang paling teruk sekali ialah pemerikasaan perut guna endrogram yang memasukan kamera kecil melalui salur getak dari mulut ke usus dan perut. Inilah pemeriksaan yang paling menyeksakan. Mulut akan dipasangkan sesuatu seperti getah berlubang untuk digigit, sementara salur getah berkemera dihujungnya dimasukkan dicelah lubang tersebut. Rasa loya dan termuntah-muntah tersekat-sekat dan segala air hidung dan air mata yang meleleh tak henti-henti sedia diuruskan oleh kakitangan dengan senyum. Sengsara sungguh.

Pengarajaran:

Hargai pengalaman sakit kerana darinya kita dapat mengalami dan merasai penderitaan orang lain.

Wednesday, August 20, 2008

Puisi 4

MUNGKIN KAH INI YANG TERAKHIR

aku semakin merasa
seperti telah di penghujung usia
biarpun para khalayak masih terus
menolakkku ke ruang hadapan
untuk mendepani segala cabaran

mungkinkah ini yang terakhir kali
setiap pasrah pasti berakhir menyerah
ingin ku serahkan seadanya jiwa
dengan seluruh raga yang tersisa
biar bagaimana rupa sempurna tidaknya
yang akan tinggal hanyalah pusara
segalanya ku serahkan pada NYA

buat yang ku tinggalkan
anak isteri, ibu bapa, saudara mara
guru-guru, rakan dan jiran tetangga
sekeping hati tak akan memadai
untuk merasai segala nikmat kehidupan
yang entah bila berkesudahan

maka dengan berat hati
ku mohon pergi
sementara waktu masih berbaki
mohon berkati
perjalananku menuju ke alam sunyi
sendiri dan sepi

Sadonsuraji
20 Jun 06
Shah Alam

Catatan 12/10/06 - Khamis



12/10/06 Khamis

Semalaman saya tak dapat tidur..resah dan gelisah. Memikirkan detik perjalanan ke China dalam bulan Ramadhan yang penuh berkat ini. Terpaksa meninggalkan anak dan isteri ketika mereka memerlukan. Dengan kedatangan syawal yang hanya tinggal 10 hari lagi, saya rasa bersalah meninggalkan anak-anak berhari raya tanpa ayahnya. Tapi perjalanan ini lebih penting lagi. Bak kata En. Mazrib `kau dah lebih 50 kali beraya di Malaysia, cukuplah tu…demi masa depan lupakan beraya tahun ini..’..Tak dapat saya gambarkan bagaimana keadaan di Hospital di negeri China, bolehkan saya berpuasa di sana…. Entahlah saya kadang-kadang terfikir inikah perjalanan terakhir saya dan inikah detik terakhir saya….

saya dah bersiap sejak jam 3.00 pagi. Selepas sahur jam 6.00 pagi abangku Jamil dan adikku Janah datang untuk hantar ke KLIA. Isteri dan anak2 siapkan keperluan saya. Sampai di KLIA tunggu Dato Abu Khamis yang akan ikut bersama mengiringi ke China. TKPS dan Dato KP KBS datang menghantar. Saya rasa sangat terharu. Tepat jam 9.35 kami berlepas ke china selama 3 jam perjalanan.

Jam 1.30 pm kami tiba di lapangan terbang Ban Yu Guang Zau China. Terus ke Hospital Nan Fang Military. Ahlok sedang menunggu. Lelaki tua ini mesra dengan senyuman. Dari saat pertemuan pertama itu saya dapat merasakan naluri kebapaannya. Entah, saya merasa dialah bapa, datok, dan satu-satunya saudara yang saya ada di China. Tanpa banyak soal Ahlok membawa kami ke kaunter Hospital. Setelah urusan daftar masuk kami masuk bilik penginapan hospital yang macam hotel ada dua katil dan kemudahan penginapan untuk pesakit. Malamnya Dato Abu Khamis bawa kami makan di restoran Islam china. Makanan istimewa kambing panggang.

Malam itu Dr. Wee (wanita) membuat pemeriksaan kesihatan dan bertanyakan maklumat kesihatan secara terperinci dan mencatatkannya dalam buku kecil. Sementara itu makanan dalam bilik penginapan ialah nasi ikan dan sayur serta sarapan pagi dihantar dalam bilik.

Dr. Wee minta aku puasa malam untuk esok pagi ambil darah esok paginya.

Pengajaran

Anggaplah semua manusia tak kira bangsa, keturunan dan agama sebagai saudara. Bila kita bersikap demikian, kita akan merasa begitu ramainya saudara mara kita yang sayang dan membantu kita.