Thursday, October 9, 2008

Catatan 29/12/06 - Jumaat


29/12/Jumaat

Aku masih terlentang di wad ICU tingkat 10 dengan ubat dan segala salur ubat terpasang di kedua-dua kaki, tangan dan salur kencing . Aku akan berkedudukan terlentang atau mengiring dalam tempoh 3 hingga 4 hari ini. Untuk buang air besar nurse akan datang bawa bekas untuk diletak dibawah badan. Segalanya sangat tidak menyelesakan. Tapi aku redha dan tetap bersyukur kerana telah melalui pembedahan ini walaupun belum pasti apa yang berlaku selepas ini. Pagi itu aku perasan ada 4 lagi pesakit yang berkongsi bilik dengan aku. Semua menjalani pembedahan yang sama. Aku difahamkan pembedahan sepanjang malam dan esoknya telah dilakukan kepada seramai 10 orang pesakit, 8 lelaki dan 2 perempuan. Aku bertanya doktor bagaimana keadaaanku, dia kata pembedahan berjaya, buah pinggang berfungsi dengan baik, aku telah kencing pada paras 5 hingga 6 ribu ml menandakan buah pingggang telah berfungsi. Kata doktor umur penderma buah pinggangku ialah 21 tahun dan masih muda. Tak dapat nak gambarkan bagaimana perasaanku ketika itu. Hanya tergambar wajah Dato' Seri Azalina, emak, anak isteri dan rakan-rakan. Syukur aku masih berpeluang dan diberi harapan untuk menyambung sisa hidup. Tak ku sedari basah pipi kanan kiriku dengan air mata. Tekak terasa perit kerana menahan sebak dan tak dapat nak menangis sepuashati. Hari itu juga aku tel rakan baikku Timbalan Ketua Pengarah Sukan En. Mazrib tentang diriku dan SMS YB. Dato’ Azalina yang banyak memberi pertolongan kepadaku, dia jawab semua warga Kementeian Belia dan Sukan mendoakanku. Aku dapat merasai kegembiraan mereka kerana getaran keiklhasan hati mereka itu menbangkitkan semangat hidup yang tinggi dalam diriku. Tak habis-habis aku memanjatkan kesyukuran kepada Allah. Ketika menelifon isteri, abang ipar dan keluargaku, lidahku seakan kelu kerana mendengar esakan tangisan kegembiraan dari mereka. Sesungguhnya Allah merahmati kami dan keluarga kami
Renungan:
# Disaat genting ketika dilanda kecemasan dan tiada siapa di sisi yang dapat membantu, bertawakkallah kepada Allah, bahawa ketika itu doa dan penyerahan diri kita yang ikhlas dan mengharapkan bantuannya pasti akan terkabul

No comments: