Tuesday, August 26, 2008

Catatan Perjalanan 14/10/06




14/10 Sabtu

Pagi ini dari jam 8.00 hingga jam 12.30 buat rawatan dialisis. Pertama kali masuk ke dewan rawatan dialisis, saya rasa terpegun. Setting wad tempat rawatan dan peralatan agak berbeza dengan yang terdapat di pusat rawatan dialisis di Malaysia. Walaupun prosedur rawatan adalah sama tetapi ada sedikit perbezaan. Bangunan rawatan dialisis ini terletak di Blok berbeza dari blok penginapan. Dengan panduan Ahlok dan pesakit lain saya melalui lorong dan tangga untuk sampai ke tempat rawatan dialisis. Kalau di Malaysia rawatan dibuat disediakan kerusi, tetapi berbeza di sini, di mana pesakit hanya disediakan katil untuk sepanjang rawatan dialisis. Untuk kali pertama sebanyak empat kali cucuk di festula lengan baru jumpa saluran darah. Ramai pesakit termasuk dari Indonesia. Tahap kebersihan sangat tinggi. Pekerja sangat cekap. Sementara saya mendapatkan rawatan dialisis di wad tersebut, Hj Suhaimi uruskan bayaran dan kewangan. Dato`Abu Khamis yang menghantar saya ke sini sempat berjumpa dan berpesan jaga kesihatan dan berdoa untuk kejayaan pembedahan saya. Tak dapat saya nak membalas budi baik mereka sekeluarga yang memberi galakan dan dorongan serta sokongan moral. Dialah orang yang pertama menghubungi Ahlok dan mengaturkan perjalanan dan rawatan di hospital ini. Hanya Tuhan yang dapat membalas budi baik mereka. Dato’ Abu Khamis balik ke Malaysia dengan penerbangan MAS jam 3.00 ptg.

Suasana di wad untuk kali pertama ini amat mesra. Walaupun semua jururawat China tak dapat berbahasa Inggeris, tapi saya dapat memahami arahan dan peraturan rawatan kerana telah terbiasa di Malaysia. Lagipun Ahlok dan pesakit dari Sabah dan Indonesia dapat membantu menterjemah sekiranya ada apa yang perlu saya tanyakan.
Kebanyakan staf di sini bekerja dengan gigih dan berdisiplin. Kemudahan yang disediakan di sini juga amat memuaskan termasuk siaran tv, dan peralatan lain yang berkaitan. Bayaran setiap sesi dialisis selama 4 jam ialah RM 500. Lebih mahal berbanding dengan pusat dialisis di Malaysia.

Rawatan dialisis pertama kali di China ini membuat saya rasa semacam. Pening, muntah dan tak selesa. Biasalah di tempat baru. Namun saya lupakan semua itu dan fikirkan perkara lain. Saya mula sms rakan-rakan di Malaysia dan keluarga untuk menghilangkan kebosanan. Terfikir juga berapa lamakah agaknya saya akan berada di wad ini, dan adakah pembedahan ini berjaya…dalam termangu-mangu kadangkala saya tertidur.

Pengajaran:

Bersyukur kerana kita telah diberi kesempatan mendapat sakit dan mengalami kesakitan yang diberi banyak kelebihan dari segi keampunan dosa dan hikmah yang lain

No comments: