Tuesday, February 24, 2009

Rutin Kehidupan


Salah satu rutin kehidupan selepas pembedahan adalah pengambilan ubat setiap hari dan pemeriksaan perubatan berkala. Di peringkat awal kita akan rasa terbeban. Tetapi bila rutin itu telah sebati, ia menjadi satu tabiat baik. Tabiat ini pula meresap dalam kehidupan seharian yang mendorong kearah kebaikan pula. Contohnya, kita lebih menepati masa dan jadual harian , lebih menghargai masa dan kesihatan.


Kita akan sentiasa ingat dan waspada kepada rutin hidup yang sepatutnya kita jalani walaupun ketika kita sihat. Di sinilah sewajarnya kita mengatur semula rutin kehidupan sebenar iaitu rutin hidup seorang muslim. Bermula dengan bangun sepertiga malam untuk qiamulail (ibadah malam), solat Subuh, solat Israk dan Dhuha, Solat Zohor, Asar, Magrib, dan Isyak, disamping ibadah fardhu yang lain. Bukan sahaja untuk memantapkan takwa dan iman malah rutin ini mampu menjinakkan dan mendidik jiwa. Natijah darinya pula terhasillah suatu keseimbangan rohani, jasmani dan mental. Atau dalam istilah biologinya dikaitkan dengan penghasilan hormon endorphin yang membantu menstabilkan emosi, pemikiran dan perlakuan.


Rutin yang biasanya berat untuk kita lakukan akhirnya menjadi ringan bila telah sebati menjadi tabiat. Contohnya untuk bangun malam sekitar jam 3 atau 4 pagi adalah sangat sukar. Apatah lagi untuk bangun menghidupkan malam (Qiammullail) atau bersolat Tahajud. Namun, bila rutin ini dibangunkan dan dijana sebaiknya hingga menjadi tabiat, ia bukan saja satu yang ringan malah menjadi satu kemanisan beribadat. Demikianlah juga dengan tabiat-tabiat baik yang lain. Tapi malangnya apa yang lazim kita lakukan ialah memperkukuhkan perlakuan tabiat tidak baik. Contoh melewat-lewatkan mengerjakan solat, menangguh-nangguhkan ibadat hingga akhirnya sebati dan menjadi suatu yang amat membebankan. Lebih malang lagi sekiranya tabiat buruk yang kita perkukuhkan itu memudaratkan diri sendiri. Contohnya perlakuan maksiat, mungkar, dadah, alkohol, rokok dan pengambilan bahan haram dan seumpamanya.
Selepas berjaya menjalani pembedahan, kita sentiasa sedar risiko dan perlunya menjaga tahap kesihatan. Itulah yang menguatkan kita patuh pada rutin harian yang sewajarnya. Namun itu bukan berarti kita tidak akan mati.


Ajal dan maut telah Allah tetapkan. Ada 1001 sebab atau cara kita dimatikan. Kalau bukan kerana penyakit kronik, mungkin mendapat jangkitan virus (1001 jenis virus) dari HIV Aids hinggalah kepada virus yang belum dapat dikenalpasti. Hanya Allah yang tahu. Atau mungkin bukan sebab virus tetapi dalam bentuk kemalangan atau kecelakaan (1001 sebab dan punca kemalangan) dari sekecil-kecil kemalangan kepada sebesar-besar kemalangan yang membawa maut. Dari kemalangan jalan raya hingga kepada kemalangan dalam rumah atau bencana alam. Atau mungkin juga kematian dari serangan haiwan ganas atau serangga kecil. Dari sebesar dan seganas harimau hingga kepada sekecil serangga seperti nyamuk (denggi dan malaria).
Kita mesti sedar walaupun ketika ini kita sihat dan kuat, mungkin esok lusa kita lemah dan mati hanya disebabkan satu gigitan nyamuk. Yang lebih penting kita sedari ialah perlunya kita sentiasa sedar dan insaf untuk berhadapan dan bersedia menghadapi mati. Ibadah dan amal soleh adalah bekalan yang perlu kita sediakan ketika kita sedang sihat walafiat. Ketika kita masih kuat, berupaya melakukannya dan mempunyai banyak masa dan tenaga.


Pengalaman merasai sakit kronik telah banyak mengajar dan mengingsafkan saya betapa kita perlu memanfaatkan masa sihat untuk kebaikan khususnya untuk beribadat. Pengalaman ini perlu dikongsi bersama. Kita tidak akan dapat lari dari menghadapi mati, tetapi kita masih berpeluang memperbaiki dan mempersiapkan diri kearah kematian. Sebab itulah seperti hadis Nabi, orang paling bijak adalah orang yang sentiasa ingat kepada kematian.
Sekali sekali kalau kita boleh memandang sekeliling. Memerhatikan berapa ramai orang yang kita kenali atau rakan-rakan kita yang telah pergi meninggalkan kita. Mungkin ibu bapa kita, adik beradik, saudara mara, rakan-rakan sepermainan, rakan-rakan waktu belajar, rakan-rakan sekerja dengan 1001 cara kematian. Kita tidak akan terkecuali dari giliran itu. Mungkin waktunya telah sangat hampir, atau masih jauh lagi. Tetapi selalunya kita cenderung mengandaikan giliran kita masih jauh. Jarang kita mau menerima hakikat sebenar bahawa giliran kematian kita memang sangat hampir. Alasan tahap kesihatan bukan jaminan kita akan hidup lama. Sebab ada 1001 punca kematian. Kalau kita sihat dan kuat pun ketika ini, mungkin menjelang petang nanti kita mati dilanggar kereta ketika menyeberang jalan atau mati tertelan tulang ayam atau mati dikelar penjenayah. Waullahua’lam. Ini kenyataan. Bukan khayalan dan berlaku setiap hari dan disiarkan dalam semua media setiap hari. Tapi biasanya kita bersikap perkara itu memang berlaku pada orang lain tapi bukan berlaku pada diri kita.
Sama-samalah kita renungi bersama