Monday, March 30, 2009

Kisah Pesakit Buah Pinggang




Bila ginjal gagal berfungsi



Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISArencana@kosmo.com.my



Buah pinggang yang dipanggil nefron berfungsi mengkumuhkan kotoran dari dalam badan. Apakah kesannya jika ia tidak lagi berfungsi?
AHMAD Saadan, 52, pada mulanya tidak percaya apabila doktor mengesahkan beliau menghidap penyakit buah pinggang peringkat akhir (end stage renal failure).
Doktor memaklumkan Ahmad bahawa dia perlu menjalani rawatan dialisis menggunakan mesin untuk mencuci darah seumur hidup. Sebelum ini, dia telah beberapa kali menjalani pembedahan di lengan, leher, dada dan terakhir pada kaki akibat komplikasi yang dihidapinya.
Menurut Ahmad, segala-galanya bermula sebaik sahaja dia menamatkan perkhidmatan sebagai anggota tentera pada tahun 1992. Dia, kemudiannya pulang ke kampungnya di Taiping, Perak.
Dengan wang pampasan sebanyak RM60,000 yang diterimanya bagi tempoh 16 tahun perkhidmatan, dia membuka sebuah gerai buah-buahan pada waktu siang dan mengendalikan restoran pada sebelah malam.
"Selepas empat tahun berniaga, saya mula mengalami demam dan lenguh-lenguh badan. Walaupun begitu, saya tidak ambil kisah kerana menyangka ia adalah sakit biasa akibat seharian penat bekerja.
"Sehinggalah saya jatuh pengsan semasa berniaga di restoran. Saya dihantar ke Hospital Taiping dan disahkan mengidap penyakit buah pinggang.
"Doktor memberitahu, puncanya bukanlah disebabkan penat bekerja tetapi kerana pengambilan ubat tahan sakit yang berlebihan," kata bapa kepada lima orang anak itu. Ahmad mengambil ubat tahan sakit untuk melegakan penyakit gout yang dideritainya.
HARAPAN Ahmad kini cuma bergantung pada satu salur darah untuk proses dialisis iaitu salur darah pada paha kiri beliau.
Hasil bedah siasat, doktor mendapati buah pinggang Ahmad telah rosak. Malah pemeriksaan doktor juga mendapati kedua-dua buah pinggangnya mengecut dan tidak lagi boleh berfungsi.
Buah pinggang merupakan satu unit kecil yang dipanggil nefron. Ia terletak di kiri dan kanan pinggang tubuh manusia dan berfungsi mengeluarkan bahan kotoran dari badan.
Selain itu, buah pinggang membantu mengeluarkan air berlebihan dari dalam badan serta mengawal keseimbangan garam, asid, alkali, dan bahan-bahan kimia di dalam badan.
Buah pinggang juga berfungsi mengawal tekanan darah, membantu mengawal proses penghasilan sel darah merah dan mengawal ketumpatan tulang.
"Doktor memberitahu, penyakit saya sudah di peringkat akhir. Saya terkejut kerana penyakit ini tidak memberi sebarang tanda pada peringkat awal, selain mengalami demam dan lenguh-leguh badan sahaja," katanya ketika ditemui semasa melakukan rawatan dialisis di Hospital Serdang, Selangor baru-baru ini.
AHMAD sentiasa ditemani isterinya untuk berulang-alik ke Hospital Taiping sebanyak tiga kali seminggu untuk mendapatkan rawatan dialisis.
Ahmad yang mendapat bantuan daripada Kementerian Pertahanan mula menerima rawatan dialisis sejak tahun 2001.
Pada peringkat awal, beliau dikehendaki menjalani kaedah rawatan pencucian darah melalui lapisan peritoneum (CAPD).
Namun Ahmad mengalami komplikasi usus bocor sewaktu pembedahan meletakkan katerer tenckhoff di dalam perut nya.
Rongga perut beliau tidak boleh menampung rawatan CAPD sekali gus memaksanya melakukan rawatan hemodialisis. Bagaimanapun, semua fistula iaitu sambungan salur darah nadi kepada salur darah vena yang perlu untuk rawatan hemodialisis turut gagal.
Satu daripada fistula tersebut telah menyebabkan tangan Ahmad bengkak dan otot pada tangan kanannya yang mengawal genggaman tangan juga separa rosak.
"Akibat penggunaan katerer hemodialisis pada leher dalam jangka masa panjang, semua salur darah vena utama di bahagian dada saya menjadi sempit dan tidak sesuai untuk dialisis melalui katerer.
"Ikhtiar terakhir ialah mendapatkan penderma buah pinggang yang sesuai dan saya berjaya memperolehnya. Malangnya, pemindahan tersebut juga gagal," katanya yang sentiasa ditemani isterinya, Aniza Jamaludin, 45, selama beliau perlu berulang-alik ke hospital tiga kali seminggu bagi mendapatkan rawatan hemodialisis di hospital.
Ibarat kata pepatah, sudah jatuh di timpa tangga. Kini, harapannya bergantung pada satu salur darah untuk proses dialisis iaitu salur darah pada paha kiri beliau.
Ahmad yang menderita penyakit buah pinggang selama 13 tahun, berkata, kos rawatannya dibiayai oleh Kementerian Pertahanan dalam lingkungan RM2,000 hingga RM3,000 sebulan untuk seumur hidup.

No comments: