Monday, December 15, 2008

Mengenang dan Mensyukuri Nikmat Sakit dan Sihat


Menjelang tarikh 28hb Disember 2008 ini, buah pinggang baruku aku mencapai usia 23 tahun, meskipun usiaku sendiri sudah mencapai hampir 53 tahun. Sejak transplant dua tahun yang lalu kesihatanku semakin stabil.


Syukur Alhamdullillah. Ku panjatkan kesyukuran yang amat mendalam kehadirat Allah, yang Maha Pengasih dan Penyayang. Telah dipilihnya aku untuk menerima anugerah kesihatan yang tidak terhingga nilainya.


Aku tak pernah lupa mengingati setiap detik kesengsaraan ketika sakit. Itulah yang menguatkan tekad dan azamku untuk terus beristiqamah dalam ibadat. Bukan sahaja niat dan hajat ketika masih sakit, malah itulah hasrat ketika sebelum sakit lagi. Allah Maha Pemurah, ditunaikan hajat itu setelah ditimpakan musibah sakit.


Sesungguhnya, nikmat kesihatan itu juga merupakan ujian Allah. Sejauhmana kita mensyukuri nikmat sihat itu untuk berbuat kebajikan atau sebaliknya. Kadangkala kita mudah hanyut dengan tahap kesihatan yang baik. Kita merasa kuat dan sempurna. Kadangkala kita terlanjur menyalahgunakan nikmat sihat untuk melakukan perkara yang ditegah oleh agama. Sehinggalah kita sedar semula bila Allah kurniakan kita sakit. Mujurlah Tuhan kurniakan sakit untuk menyedarkan kita. Dengan perantaraan sakit itu kita mula menghargai nikmat sihat. Kita juga terpanggil untuk memohon ampun dan bertaubat kerana barangkali kita telah lalai atau melupakan Allah.


Masa berlalu begitu pantas. Dua tahun sejak pembedahan terasa seakan baru semalam berlalu. Masih terbayang wajah pucat lesiku. Masih terasa tusukan jarum dan aliran darah di salur mesin hemodelisis. Masih tergambar wajah semua jururawat dan doktor. Semua suasana itu terasa masih baru kulalui. Tak pernah terlintas untuk aku kembali sihat sebelum ini. Yang terbayang hanya maut yang sedang menanti. Segera aku teringat Firman Allah yang bermaksud.

Barangsiapa bertakwakal kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka.Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya.Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya.Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.

2 comments:

Anonymous said...

salam

Alhamdulillah sekalian pujian untuk Allah zat wajibal wujud laikamaslihi saiun
kun fayakun ALLAHU AKBAR!!!utchasn

syahir said...

alhamdulillah. syukur dan semoga Allah membalas jasa baik mereka yang telah membantu tuan. amin