Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
AWBTAR banyak mendapat sokongan daripada isterinya yang sentiasa berada di sisi ketika suka dan duka.
SETIAP kali membaca mengenai rawatan dialisis yang terpaksa dilalui pesakit buah pinggang ytimbul persoalan, adakah mereka selesa menerima rawatan tersebut?
Lebih-lebih lagi, setelah sekian lama memiliki buah pinggang yang sihat, menjalani dialisis pasti menimbulkan suasana berbeza.
Pesakit terpaksa bergantung pada mesin hemodialisis atau menggunakan rawatan dialisis dialisis peritoneal (PD) dengan menukar cecair dalam badan setiap empat jam. Ketika ini sokongan ahli keluarga diperlukan. Di Malaysia, ada lebih 3,500 pesakit buah pinggang peringkat akhir (ESRD) setiap tahun dan angka ini bertambah dari tahun ke tahun. Walaupun dianggap masalah biasa, tetapi ia boleh dirawat dengan adanya terapi selamat dan berkesan yang boleh disesuaikan dengan keperluan dan gaya hidup.
PD adalah terapi ESRD yang boleh digunakan di rumah dan sambutan terhadap penggunaannya adalah semakin menggalakkan.
Dengan kebebasan dan rawatan yang lebih terkawal, PD menjadi pilihan rawatan utama bagi pesakit yang memilih untuk meneruskan gaya hidup aktif dan mengambil peranan proaktif dalam mengawal penyakit ini.
Berkongsi pengalaman tentang rawatan dialisis PD, Awbtar Singh A/L Harbachan Singh, 51 mengakui ia bukan sesuatu keputusan yang mudah.
"Saya baru sahaja didiagnos penyakit kegagalan buah pinggang. Dunia saya kosong apabila diberitahu doktor saya menghidap penyakit ini. Semua impian berkecai dan saya terfikir masa depan saya amat terhad dan akan dibebankan oleh rawatan susulan. Saya terbayang 'tersangkut' pada mesin hemodialisis dan kebebasan saya terperangkap. Hancur luluh hati saya ketika itu. Ia benar-benar membuatkan saya sangat tertekan.
"Sokongan berterusan daripada isteri yang sentiasa membantu saya menyebabkan saya bangkit meneruskan kehidupan," katanya.
Awbtar kemudian diperkenalkan dengan kaedah rawatan PD. Di peringkat awal dia rasa terbeban. Mana tidaknya, PD berasaskan satu tiub dimasukkan ke dalam rongga badan yang juga terletaknya perut, hati dan usus-usus, yang dipanggil kaviti peritoneal. Cecair dalam kuantiti yang banyak akan dialirkan ke dalam kaviti dan ia akan mengeluarkan sisa buangan melalui cecair yang mengalir balik ke luar daripada kaviti. PD selalunya di lakukan di rumah pada setiap hari. Bagi Awbtar, rawatan ini mungkin akan menyukarkan pergerakannya.
Setelah beberapa sesi kaunseling, Awbtar mula memberi respons yang positif.
"Pada mulanya bukan mudah untuk saya menerima, tetapi dengan laluan masa dan penggunaannya, kaedah rawatan ini amat sesuai dan memberangsangkan.
"Kaedah ini sebenarnya memberi kebebasan pergerakan, amat mudah dan boleh diamalkan di mana sahaja,'' katanya.
Berkongsi lebih lanjut, katanya, kaedah itu tidak memerlukan mesin atau peralatan yang canggih malah pelaksanaannya amat mudah, senang dan boleh dilakukan oleh sesiapa pun.
Di samping itu, kaedah tersebut tidak mengehadkan pergerakan, memberi fleksibiliti dan meningkatkan lagi daya pergerakan pesakit.
Selain daripada bantuan rawatan yang mudah dan selesa, Awbtar mengakui sokongan isteri banyak membantunya.
Dia mendapat sokongan yang tidak berbelah bagi daripada isterinya. Akhirnya, dia amat berpuas hati dengan kaedah rawatan PD ini.
"Isteri sering membantu saya menjalankan rawatan ini. Saya sekarang mempunyai keyakinan yang penuh dan percaya bahawa saya mempunyai keupayaan untuk mengembara," katanya yang berjaya memenuhi impian melancong ke Singapura melalui Dreamcather anjuran Baxter Healthcare Malaysia (Baxter Healthcare).
Dengan kebebasan dan rawatan yang lebih terkawal, PD menjadi pilihan rawatan utama bagi pesakit yang memilih untuk meneruskan gaya hidup aktif dan mengambil peranan proaktif dalam mengawal penyakit ini.
Ini kerana PD tidak memerlukan pesakit ke hospital atau pusat dialisis, sebaliknya pertukaran dialisis dilakukan sendiri oleh pesakit di mana sahaja.
Terapi PD yang fleksibel membolehkan pesakit hidup tanpa bergantung harap dan mampu bergerak bebas. Malah, PD membolehkan pesakit menjalani hidup normal seperti sebelum dialisis dan terus menikmati aktiviti harian yang mereka suka.
Awbtar menasihati pesakit buah pinggang yang ingin melancong atau berjalan jauh agar mendapat maklumat yang tepat tentang keadaan kesihatan mereka. Sebelum ini, dia menyangkakan kehidupannya akan berakhir tetapi ternyata dengan maklumat yang tepat, pesakit juga boleh bergerak aktif. Menerusi PD, dia bebas ke mana sahaja. Kini, hidupnya semakin gembira dan ceria.
Atasi Parut Jerawat
11 years ago
No comments:
Post a Comment