Thursday, November 19, 2009

Masjid adalah tempat rawatan susulan yang terbaik

Rawatan susulan tiga bulan sekali di unit Nefrologi adalah penting bagi memantau tahap kesihatan buah pinggang. Ternyata sehingga kini pemantauan itu amat berkesan dalam menstabilkan kesihatan buah pinggang. Para doktor dan kakitangan unit Nefrologi Hospital Selayang telah melaksanakan tugasnya dengan amat proffesional sekali. Tahniah diucapkan kepada pihak Hospital Selayang yang sentiasa meningkatkan perkhidmatanya dari masa kesemasa.

Masjid adalah satu lagi tempat yang wajib (khususnya bagi umat Islam) mendapatkan rawatan susulan. Iaitu mengunjunginya untuk menunaikan solat berjemaah atau untuk beriktikaf. Sebaik-baiknya setiap waktu solat. Kalau tidak mampu memadai beberapa waktu yang terdaya atau sekurang-kurang satu waktu setiap hari. Di Masjidlah semua yang kita perlukan untuk rawatan dari kerohanian akan kita perolehi. Masjid adalah tempat suci di mana kita dapat menyucikan diri. Sesuai dengan peranan organ buah pinggang kita yang mencuci darah dari sebarang kekotoran. Dari air wuduk hingga kepada solat, doa, zikir, bacaan alquraan dan tazkirah yang dilaksanakan di masjid adalah merupakan rawatan susulan yang paling mujarab untuk apa jenis penyakit. Ia seperti suatu bentuk tharapy yang sangat berkesan selain dari meningkatkan keimanan diri kita sendiri.


Ketenangan yang terjelma dalam jiwa dari ibadah di masjid mampu `generate' atau menyalurkan tenaga kesihatan yang sukar dihuraikan. Ini meliputi semua bentuk ibadah yang dilakukan di masjid khususnya solat berjemaah. Lebih ramai jemaah yang hadir di masjid maka lebih kuatlah tenaga kesihatan yang tercipta dan kita dapat merasainya ketika dalam perjalanan ke mesjid, semasa berada di masjid dan sesudah keluar dari masjid. Ini adalah pengalaman peribadi saya sejak pulang dari menjalani transplant buah pinggang dari Negara China. Syukur Alhamdullillah ia membawa saya ke tahap iman dan tahap kesihtan yang saya idam-idamkan.

Tuesday, November 3, 2009

Masyarakat penyayang tidak sanggup pindah organ


MEREKA berwajah tanpa masa depan. Ada yang sugul, suram dan sedih. Ada yang longlai, bertongkat, berkerusi roda dan dipapah ke Dewan Kuliah 2, Bangunan Akademik, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur untuk berkongsi pengalaman atau mendengar ‘harapan’ mengenai pemindahan buah pinggang.


Cuaca redup pagi 24 Oktober lalu tidak menghalang kelancaran Seminar Pemindahan Buah Pinggang anjuran Unit Nephrologi PPUKM. Pelbagai topik dibincangkan mengenai perlunya pemindahan buah pinggang kerana sehingga kini penyakit itu belum dapat dirawat.

Walaupun kaedah hemodialisis dan dialisis peritoneum (CAPD) digunakan untuk merawat pesakit, ia hanya sementara kerana akhirnya pesakit tetap memerlukan buah pinggang sebagai pengganti organ badan yang sudah rosak.

Beberapa pakar buah pinggang termasuk Dr Rashidi Saidin, Dr Loo Chee Yean, Dr Che Roslee Draman dan Arumuga Kumar Rajendram menghuraikan proses pemindahan dan kepentingan kaedah ‘melanjutkan’ usia pesakit.

Bagaimanapun, isu pendermaan organ di Malaysia bukan topik baru. Ia sudah lama diuar-uarkan. Namun, tiada reaksi positif, tidak ramai yang sanggup menderma buah pinggang kerana pelbagai alasan yang masih misteri.

Justeru, tidak menghairankan apabila Ketua Unit Nephrologi dan Transplant PPUKM, Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor bagai mengeluh kerana di Malaysia terlalu ramai yang ‘kasihan’ tetapi tidak berbuat apa-apa.

“Apabila melihat pesakit buah pinggang, ramai yang menuturkan kasihan. Jika ada yang sanggup derma buah pinggang, mereka juga kasihan dan menasihatkan jangan derma buah pinggang untuk elak kematian penderma. Akhirnya pemindahan buah pinggang tetap berkurangan di Malaysia,” cetusnya sinis.

Isu kasihan dan masyarakat penyayang ada kaitan. Di mana-mana saja ungkapan penyayang sudah menjadi klise yang luar biasa kerana kejahilan masyarakat sendiri untuk bersikap lepas tangan. Akhirnya pesakit terus menjadi mangsa kerana sikap segelintir ahli masyarakat yang retorik dengan ungkapan kasihan dan penyayang.

Lebih malang lagi, orang Melayu paling ramai tidak berminat menderma organ berbanding kaum Cina dan India. Mengikut statistik Pusat Sumber Transplan Kebangsaan (NTRC) di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada 2005 sebanyak 64 peratus daripada pengikrar pemindahan organ adalah kaum Cina, diikuti India (22 peratus), Melayu (lapan peratus) dan kaum lain (tiga peratus). Pada 2005, hanya 10 tampil menderma organ.

Malaysia antara negara ‘aktif’ penyakit buah pinggang. Kajian mendapati lebih 500 juta penduduk dunia atau satu daripada 10 individu dewasa disahkan mengalami masalah buah pinggang.

Setiap tahun, jutaan manusia mati sebelum waktunya kerana serangan jantung atau strok akibat komplikasi penyakit buah pinggang. Ia juga boleh mempengaruhi kehidupan 10 peratus populasi dewasa.

Pada 2007, 15,000 pesakit menjalani dialisis dan setiap tahun 2,500 kes baru dicatatkan. Ia mencatatkan peningkatan 15 peratus setiap tahun.

Berdasarkan Daftar Dialisis dan Pemindahan Buah Pinggang 2003, kadar pesakit wanita yang menjalani dialisis meningkat daripada dua kes bagi setiap sejuta penduduk (1980) kepada 90 kes untuk jumlah penduduk sama pada 2003.

Daftar Dialisis dan Pemindahan Buah Pinggang Malaysia 2004 mencatatkan 2,500 daripada 100,000 pesakit yang mendapat rawatan buah pinggang mengalami kerosakan buah pinggang peringkat akhir. Pada 2004, sebanyak 2,538 kes baru yang memerlukan dialisis berbanding hanya 43 pesakit pada 1980.

Statistik tidak pernah berbohong. Angka yang dipapar menjelaskan betapa penyakit buah pinggang tidak boleh dipandang ringan. Bagi mereka yang menderita, hanya harapan ditagihkan kepada orang ramai untuk tampil menderma organ.

Bagi mereka yang mahu berfikir dan turut merasai penderitaan orang lain, inilah masanya untuk membuktikan perasaan kasihan dengan tampil menjadi penderma organ. Ikrar perbuatan yang baik tidak sia-sia, kerana setiap perbuatan baik sudah pasti ada ganjarannya.

Rakyat Malaysia keturunan Melayu sepatutnya mencontohi rakan mereka di Singapura yang ramai berikrar menderma organ. Mungkin juga kerana negara jiran itu memperkenalkan Akta Pemindahan Organ Manusia (Hota) yang memasukkan warga Muslim secara automatik sebagai penderma organ.


Jika keadaan memaksa, Malaysia juga wajar memaksa masyarakat penyayang untuk derma organ kerana tindakan itu membantu insan yang menderita

Sumber : Berita Harian (Selasa 3 Nov. 09)

Monday, October 5, 2009

Pusat Dialisis PPZ-MAIWP pendekatan dakwah bil hal


MENERIMA berita pemergian Mantan Pengerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Abdul Rahim Bakar ke rahmatullah baru-baru ini, begitu mengejutkan penulis.
Sungguhpun tidak pernah bersua atau mengenali Allahyarham secara rapat, tetapi rupa-rupanya Allahyarham adalah antara individu yang telah bertanggungjawab dalam pengkorporatan PPZ.
Bahkan sepanjang 17 tahun Allahyarham menjawat kerusi Pengerusi PPZ, pelbagai sumbangan telah dilakukan dalam usaha memartabatkan institusi zakat tersebut.
Kebetulan pula, semasa membuat liputan mengenai Pusat Dialisis PPZ-MAIWP di Pusat Bandar Wangsa Maju, Kuala Lumpur tidak beberapa hari sebelum umat Islam menyambut lebaran Syawal, penulis telah diberitahu oleh Ketua Unit Kemasyarakatan dan Hal Ehwal Antarabangsa PPZ, Amran Hazali bahawa idea penubuhan Pusat dialisis itu sendiri adalah cetusan ilham Allahyarham lewat sekitar tahun 2004. Al-Fatihah.
Pusat Dialisis PPZ-MAIWP dibuka dengan rasminya oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Mustafa Abdul Rahman pada 12 September 2005.
Menurut Amran, kewujudan pusat dialisis itu adalah atas kesedaran tentang pertambahan pesakit buah pinggang di kalangan orang Islam yang semakin meningkat. Apa lagi bagi mereka yang tidak berkemampuan.
Penubuhan Pusat Dialisis PPZ-MAIWP merupakan salah satu pendekatan dakwah bil-hal yang akan memberi impak positif kepada perkembangan Islam di Wilayah Persekutuan khasnya dan di dalam negara amnya.
Di sinilah terbukti segala hasil kutipan zakat dan sumbangan masyarakat prihatin digunakan. Kutipan warga kota yang berkelayakan membolehkan PPZ-MAIWP membuka pusat dialisis bagi membantu golongan tidak berkemampuan mendapatkan rawatan secara percuma.
"Boleh dikatakan kos untuk mendapatkan rawatan hemodialisis agak mahal iaitu antara RM2,700 hingga RM3,000 sebulan.
"Jika dilihat pada jumlah di atas, seorang pesakit terpaksa menanggung lebih RM30,000 setahun. Sudah pasti ia sesuatu yang membebankan. Ditambah komitmen lain serta kos sara hidup kini yang semakin meningkat.
"Kita bermula dengan lima mesin dialisis dan kira-kira lima ke enam pesakit sahaja. Sehingga kini pusat ini mempunyai sembilan mesin dialisis dan menguruskan seramai 42 pesakit.
"Pusat Dialisis PPZ-MAIWP beroperasi seawal pukul tujuh pagi serta bergerak menerusi tiga syif," jelas Amran yang ditemui selepas majlis sumbangan hamper raya kepada pesakit dan kakitangan pusat dialisis itu pada pertengahan September lalu.
Tambah beliau lagi, uniknya di Pusat Dialisis PPZ-MAIWP ini, ia tidak bermotifkan keuntungan. Ia lebih merupakan tanggungjawab sosial setelah mengetahui kos rawatan hemodialisis yang agak tinggi.
Menyedari hakikat ini, maka PPZ mengambil inisiatif untuk membantu meringankan beban kos rawatan yang terpaksa ditanggung oleh pesakit-pesakit yang tidak berkemampuan. Setiap sesi rawatan disediakan secara percuma.
Pesakit yang berkelayakan menerima bantuan pembiayaan daripada institusi tertentu, boleh mendapatkan rawatan secara aman dan tenang.
Malah bagi pesakit yang masih belum memperoleh penaja tetapi sudah mendaftar, mereka juga dibolehkan menerima rawatan sementara permohonan pembiayaan sedang dalam proses.
Kata Amran, para penerima bantuan ini bukan sahaja ditanggung kos keseluruhan perubatan mereka tetapi mereka juga ditampung kos pengangkutan untuk ke pusat dialisis. Ini semua bertujuan meringankan bebanan yang ditanggung oleh para pesakit.
"Sungguhpun rawatan yang diterima para pesakit adalah percuma, aspek kualiti perkhidmatan tidak kami abaikan.
"Bertitik tolak dari itulah, setiap tahun kami akan menjalankan kaji selidik serta menemu bual para pesakit bertanyakan pandangan mereka," jelas beliau Pusat Dialisis Aiman bertanggungjawab menguruskan Pusat Dialisis PPZ-MAIWP.
Menjelaskan perancangan akan datang terhadap pusat dialisis ini, kata Amran, PPZ sudah ada perancangan untuk menambah mesin hemodialisis berbanding sembilan buah yang ada sekarang. Ini semua bertujuan memberi keselesaan serta memberi rawatan kepada lebih ramai pesakit yang dilihat trendnya semakin bertambah dari semasa ke semasa.
"Jika berjalan lancar, pada tahun hadapan kita juga merancang menambah jumlah pesakit. Ini kerana sambutan orang ramai yang semakin meningkat kepada pusat ini.
"Pihak kami juga menyeru umat Islam yang mengenali mana-mana individu yang bermasalah dari segi kewangan bagi menampung kos rawatan hemodialisis agar merujuk kes mereka itu ke PPZ.
"Pun begitu, biarlah yang memohon itu, benar-benar berkelayakan dan tidak berkemampuan," ujar Amran pagi itu.
Pada majlis ini juga, para wartawan diberi kesempatan melihat sendiri bagaimana rawatan kepada pesakit dijalankan, mewawancara dan bertanya khabar pesakit.

Sumber : Oleh ZUARIDA MOHYIN
Utusan Malaysia

Thursday, July 9, 2009

JEREBU - Panduan Kesihatan Untuk Anda

Apakah Jerebu

Jerebu ialah satu fenomena yang disebabkan oleh kewujudan banyak partikel-partikel kecil yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar dan terapung-apung di udara. Partikel-partikel ini mungkin berasal secara semula jadi ataupun kesan sampingan daripada aktiviti manusia. Apabila partikel-partikel ini wujud dalam kuantiti yang banyak dan berkelompok ianya boleh menyekat pancaran cahaya matahari ke bumi. Oleh yang demikian keadaan ini mengurangkan jarak pandangan mata kasar.

Punca - Punca JerebuPunca utama jerebu adalah akibat daripada :

Pembakaran Secara Terbuka
Asap Dari Kilang
Asap Dari Kenderaan
Hindari Daripada Perbuatan Yang Boleh Menyebabkan Jerebu
Indeks Pencemaran Udara (IPU)
IPU diperolehi daripada pengukuran habuk yang halus (10 mikron ke bawah) dan beberapa jenis gas yang boleh menjejaskan kesihatan iaitu karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan ozon.

IPU digunakan sebagai panduan untuk mengetahui kualiti udara dan kesannya terhadap kesihatan seperti berikut :-

Nilai IPU Status
o - 50 - Baik
51 - 100 - Sederhana
101 - 200 - Tidak Sihat
201 - 300 - Sangat Tidak Sihat
301 - 500 - Berbahaya

Anda perlu mengikuti perkembangan semasa melalui media massa (akhbar, televisyen dan radio) untuk mengetahui tahap jerebu semasa di tempat anda supaya dapat mengambil langkah- Iangkah pencegahan.

Jerebu Mengancam Kesihatan Anda

Keadaan jerebu yang berterusan akan mendatangkan kesan yang buruk kepada semua orang terutama golongan yang berisiko tinggi iaitu :-

Kanak-kanak
Orang tua
Mereka yang mengalami penyakit
asma
bronkitis
radang paru-paru
penyakit paru-paru yang kronik
jantung
alahan
Perokok
Mereka yang sentiasa bekerja di luar pejabat atau rumah.

Apakah Tanda Dan Gejala Kesan Jerebu Kepada Kesihatan

Kesan-kesan yang akan dialami setelah terdedah secara berterusan kepada jerebu termasuklah:
Terasa gatal-gatal di bahagian kerongkong dan batuk-batuk.
Terasa sukar untuk bernafas atau sesak nafas.
Mata terasa pedih dan berair.
Hidung berair dan kerap bersin.
Kulit badan terasa gatal-gatal.
Terasa sakit dada.

Dapatkan rawatan dan nasihat doktor di klinik berhampiran sekiranya anda mempunyai tenda-tanda dan gejala tersebut.

Cegahlah penyakit akibat jerebu. Ikuti nasihat berikut:-

Mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, sakit jantung atau penyakit paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan segera jika keadaan penyakit bertambah buruk.
mereka yang di dalam kumpulan berisiko tinggi hendaklah sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihatkan.

Penutup hidung (nasal mask) hendaklah digunakan oleh semua penunggang motosikal, mereka yang bekerja di luar bangunan atau di tempat-tempat yang berhabuk dan juga mereka yang dalam kumpulan berisiko tinggi.

Perokok yang mempunyai anak kecil, ibu bapa tua dan sanak saudara yang berpenyakit jangan merokok di dalam rumah.
Sejauh yang boleh, orang ramai dinasihatkan supaya tinggal di dalam bangunan atau rumah.
Kurangkan aktiviti sukan di luar Rumah
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa membasuh muka dan bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu dengan air bersih .

Sekiranya kenderaan anda berhawa dingin, sila gunakannya.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa meminum air yang banyak.
Perokok dinasihatkan supaya tidak merokok apabila keadaan udara tidak sihat ( iaitu IPU yang melebihi 100)

Mereka yang berisiko tinggi dinasihatkan mengambil cuti di luar kawasan yang berjerebu sekiranya keadaan jerebu berterusan pada tahap berbahaya di kawasan mereka.

Wednesday, June 24, 2009

Wabak Selsema Babi/Virus H1N1

Virus H1N1


—H” bermaksud Hemagglutinin protein
—“N” bermaksud Neuraminidase protein


—Seperti yang diketahui umum (harap tahu), wabak Selsema Babi sedang melanda Mexico dan Amerika Utara beberapa hari lepas. Selsema Babi, merupakan satu penyakit respiratori (sistem pernafasan) yang selalu ditemui dalam kawanan babi, disebabkan oleh virus influenza jenis A (H1N1) yang telah mengalami mutasi dan menghasilkan strain baru. Selsema ini yang selalunya berlegar dalam spesis babi sahaja, dilihat mula menjangkiti manusia dan mula dikesan dalam manusia sejak 1988.


—Namun menurut laporan Centres of Disease Control and Prevention Amerika Syarikat atau singkatannya CDC, jumlah kes Selsema Babi dilihat semakin meningkat sejak Disember 2005 sehingga Februari 2009, dan semua kes ditemui di negeri-negeri Amerika Syarikat. Sedari Mac 2009 hingga April 2009, lebih 1000 kes Selsema Babi dikesan di Mexico, dan lebih dari 80 kematian yang dikaitkan dengan virus H1N1 dilaporkan. Tanggal 26 April 2009 (baca : semalam), Jabatan Kesihatan Amerika Syarikat mengisytiharkan wabak Selsema Babi ini sebagai kecemasan kesihatan awam (public health emergency), setelah lebih 20 kes dikesan di seluruh Amerika Syarikat.

Simptom-simptom

—seperti,
—selsema,
—demam,
— batuk,
—kepenatan
—dan juga kurang selera makan.
—Ada juga laporan menyebut bahawa pesakit mengadu sakit tekak, loya, muntah-muntah dan cirit-birit.

Cara jangkitan

—Virus H1N1 ini dipercayai menjangkiti manusia ke manusia melalui udara, titisan rembesan hidung mahupun mulut yang berlegar di udara.
—Selsema Babi mudah menjangkiti manusia lain dalam lima ke sepuluh hari pertama jangkitan.

rawatan


—Ubat yang disarankan adalah seperti; amantadine, rimantadine, oseltamivir and zanamivir.
—Untuk wabak terbaru ini, rawatan yang disarankan adalah dengan menggunakan oseltamivir dan zanamivir.
— Vaksin untuk selsema manusia bermusim tidak melindungi manusia dari Selsema Babi.

Langkah pencegahan


—orang awam digalakkan memakai topeng dan segera berjumpa doktor jika terdapat tanda-tanda seperti demam panas, batuk, hidung berair, lenguh anggota badan dan radang paru-paru.
—juga melaporkan diri pada autoriti kesihatan terdekat jika ada melawat negara-negara (dalam sebulan yang lepas) yang telah diisytihar dilanda wabak Selsema Babi.
—Maklumat lanjut mengenai wabak ini boleh diperoleh dengan menghubungi Kementerian Kesihatan, 03-8881 0200 atau 03-8881 0300.

Tuesday, May 26, 2009

Rawatan Susulan di Hospital Selayang
















Rawatan susulan tiga kali sebulan banyak membantu mengawal dan memantau tahap kesihatan selepas pembedahan. Di samping mendapatkan perkembangan tentang tahap kesihatan, para doktor juga memberi panduan dan nasihat khususnya tentang cara dan kaedah pengambilan ubat dan cara hidup sihat.

Rawatan susulan juga menjadi pertemuan antara klien dan doktor serta antara klieb dengan klien. Pertemuan menjadi suatu yang menyeronokkan disamping berkongsi masalah dan perasaan, ia juga dapat bertukar-tukar maklumat dan pendapat.

Dari sesi rawatan susulan ini, terjalin hubungan erat antara sesama klien dan juga para doktor dan kakitangan. Sehingga hubungan itu dirasakan seperti satu keluarga besar.

Thursday, May 14, 2009

Anakku Yusri - Cerita Kehidupan


20 tahun yang lalu saya melahirkan seorang bayi laki-laki, wajahnya comeltetapi nampak bodoh. Ali, suamiku memberinya nama Yusri. Semakin lamasemakin nampak jelas bahawa anak ini memang agak terkebelakang. Sayaberniat mahu memberikannya kepada orang lain saja supaya dijadikan budak atau pelayan bila besar nanti. Namun Ali mencegah niat buruk itu. Akhirnya terpaksa saya membesarkannya juga.Pada tahun kedua kelahiran Yusri, saya pun melahirkan pula seorang anakperempuan yang cantik. Saya menamakannya Yasmin. Saya sangat menyayangi Yasmin, begitu juga Ali. Seringkali kami mengajaknya pergi ke taman hiburan dan membelikan pakaian anak-anak yang indah-indah...Namun tidak demikian halnya dengan Yusri. Ia hanya memiliki beberapa helai pakaian lama. Ali berniat membelikannya, namun saya selalu melarang dengan alasan tiada wang. Ali terpaksa menuruti kata saya.Saat usia Yasmin 2 tahun, Ali meninggal dunia. Yusri sudah berumur 4 tahunketika itu. Keluarga kami menjadi semakin miskin dengan hutang yang semakin bertambah. Saya mengambil satu tindakan yang akhirnya membuatkan saya menyesal seumur hidup. Saya pergi meninggalkan kampung kelahiran saya bersama Yasmin. Saya tinggalkan Yusri yang sedang tertidur lelap begitu saja.
Setahun.., 2 tahun.., 5 tahun.., 10 tahun.. berlalu sejak kejadian itu.Saya menikah kembali dengan Kamal, seorang bujang. Usia pernikahan kami menginjak tahun kelima. Berkat Kamal, sifat-sifat buruk saya sepertipemarah, egois, dan tinggi hati, berubah sedikit demi sedikit menjadi lebihsabar dan penyayang. Yasmin sudah berumur 15 tahun dan kami menyekolahkan dia di sekolah jururawat. Saya tidak lagi ingat berkenaan Yusri dan tiada memori yang mengaitkan saya kepadanya. Hinggalah le satu malam, malam di mana saya bermimpi mengenai seorang anak.Wajahnya segak namun kelihatan pucat sekali. Dia melihat ke arah saya.Sambil tersenyum dia berkata, "Makcik, makcik kenal mama saya? Saya rindu sekali pada mama!" Sesudah berkata demikian ia mulai pergi, namun saya menahannya, "Tunggu..., saya rasa saya kenal kamu. Siapa namamu wahai anak yang manis?""Nama saya Yusri, makcik.""Yusri...? Yusri... Ya Tuhan! Benarkah engkau ni Yusri???"Saya terus tersentak dan terbangun. Rasa bersalah, sesal dan pelbagaiperasaan aneh yang lain menerpa diri saya pada masa itu juga. Tiba-tibaterlintas kembali kisah yang terjadi dulu seperti sebuah filem yangditayangkan kembali di kepala saya. Baru sekarang saya menyedari betapajahatnya perbuatan saya dulu. Rasanya seperti mahu mati saja saat itu. Ya,saya patut mati..., mati..., mati...Ketika tinggal seinci jarak pisau yang ingin saya goreskan ke pergelangantangan, tiba-tiba bayangan Yusri melintas kembali di fikiran saya. YaYusri, mama akan menjemputmu Yusri, tunggu ya sayang!...Petang itu saya membawa dan memarkir kereta Civic biru saya di sampingsebuah pondok, dan ia membuatkan Kamal berasa hairan. Beliau menatap wajah saya dan bertanya,"Hasnah, apa yang sebenarnya terjadi? Mengapa kita berada di sini?""Oh, Kamal, kau pasti akan membenciku selepas saya menceritakan hal yang saya lakukan dulu," Aku terus menceritakan segalanya dengan terisak-isak...Ternyata Tuhan sungguh baik kepada saya. Ia memberikan suami yang begitu baik dan penuh pengertian. Selepas tangisan saya reda, saya keluar dari kereta dengan diikuti oleh Kamal dari belakang. Mata saya menatap lekat pada gubuk yang terbentang dua meter dari hadapan saya.Saya mula teringat yang saya pernah tinggal dalam pondok itu dan sayatinggalkannya, Yusri.. Yusri... Di manakah engkau?Saya meninggalkan Yusri di sana 10 tahun yang lalu. Dengan perasaan sedihsaya berlari menghampiri pondok tersebut dan membuka pintu yang diperbuat daripada buluh itu... Gelap sekali... Tidak terlihat sesuatu apapun di dalamnya!Perlahan-lahan mata saya mulai terbiasa dengan kegelapan dalam ruangankecil itu. Namun saya tidak menemui sesiapapun di dalamnya. Hanya adasehelai kain buruk yang berlonggok di lantai tanah. Saya mengambil serayamengamatinya dengan betul-betul... Mata mulai berkaca-kaca, saya mengenali potongan kain itu . Ini adalah baju buruk yang dulu dipakai oleh Yusri setiap hari...Beberapa saat kemudian, dengan perasaan yang sangat sedih dan bersalah,sayapun keluar dari ruangan itu... Air mata saya mengalir dengan deras.Saat itu saya hanya diam saja. Sesaat kemudian saya dan Kamal mulai menaiki kereta untuk meninggalkan tempat tersebut. Namun, saya melihat seseorang berdiri di belakang kereta kami. Saya terkejut sebab suasana saat itu gelap sekali. Kemudian terlihatlah wajah orang itu yang sangat kotor. Ternyata ia seorang wanita tua. Saya terkejut lagi apabila dengan tiba-tiba dia menegur saya. Suaranya parau."Heii...! Siapa kamu?! Apa yang kamu mahu?!"Dengan memberanikan diri, saya pun bertanya, "Ibu, apakah ibu kenal dengan seorang anak bernama Yusri yang dulunya tinggal di sini?"Ia menjawab, "Kalau kamu ibunya, kamu adalah perempuan terkutuk!! Tahukah kamu, 10 tahun yang lalu sejak kamu meninggalkannya di sini, Yusri terus menunggu ibunya dan memanggil, 'Mama..., mama!' Kerana tidak tahan melihat keadaannya, kadang-kadang saya memberinya makan dan mengajaknya tinggal bersama saya.Walaupun saya orang miskin dan hanya bekerja sebagai pemungut sampah, namun saya tidak akan meninggalkan anak saya seperti itu! Tiga bulan yang lalu Yusri meninggalkan sehelai kertas ini. Ia belajar menulis setiap hariselama bertahun-tahun hanya untuk menulis ini untukmu..."Saya pun membaca tulisan di kertas itu... "mama, mengapa mama tidak pernah kembali lagi...? mama marah pada Yusri, ya? mama, biarlah Yusri yang pergi saja, tapi mama harus berjanji mama tidak akan marah lagi pada Yusri."Saya menjerit histeria membaca surat itu. "Tolong bagi tahu.. di mana diasekarang? Saya berjanji akan menyayanginya sekarang! Saya tidak akanmeninggalkannya lagi! Tolonglah cakap...!!!" Kamal memeluk tubuh saya yang terketar-ketar dan lemah.
"Semua sudah terlambat (dengan nada lembut). Sehari sebelum kamu datang,Yusri sudah meninggal dunia. Dia meninggal di belakang pondok ini. Tubuhnya sangat kurus, ia sangat lemah. Hanya demi menunggumu ia rela bertahan di belakang pondok ini tanpa berani masuk ke dalamnya. Dia takut apabila mamanya datang, mamanya akan pergi lagi apabila melihatnya ada di dalam sana... Dia hanya berharap dapat melihat mamanya dari belakang pondok ini... Meskipun hujan deras, dengan keadaannya yang lemah iaterus berkeras menunggu kamu di sana . Dosa kamu tidak akan terampun!" Saya kemudian pengsan dan tidak ingat apa-apa lagi.Semoga menjadi pelajaran bagi kita sebagai orang tua ataupun bagi yang akan berkahwin. Janganlah menyalahkan apa yang sudah diberikan oleh Allah.Tetapi hargailah apa yang diberikan oleh Allah. Dan cuba bersabar. KeranaDIA tidak akan memberikan sesuatu apapun dengan sia-sia. moral - sayangi orang di sekitar anda. kita tidak tahu siapa yang benarbenar menyayangi kita...
(Dipetik dari Cerpen Hangat-Isuhangant)

Wednesday, May 13, 2009

Hakikat Penyakit


Penyakit tidak dapat dielakkan. Ia pasti mengunjungi semua insan. Tidak mengenal jantina dan umur. Sakit sebenarnya adalah guru yang tidak bercakap, tetapi ia mengajar dan mendidik. Setiap penyakit samaada penyakit biasa atau kronik adalah takdir Tuhan yang mempunyai maksud tertentu.


Penyakit yang kita tanggung sebenarnya melatih kita untuk mendapat sifat-sifat terpuji seperti sabar, reda,tawakal, baik sangka, mengakui diri sebagai hamba yang lemah,mendekatkan diri dengan Tuhan, mengharapkan pertolongan Tuhan, merasaidunia hanya nikmat sementara.


Nabi Muhammad berkata. 'Tidak ada suatu apa pun yang menimpa seorang mukmin, walau duri sekalipun kecuali Tuhan menuliskannya sebagai kebaikan ataupun dihapuskannya segala kesalahan"


Dengan itu, sebenarnya sakit mengandungi hikmah dan keindahan walaupun ia terasa sakit dan menyusahkan.


(Petikan dari Buku Berita Gembira Buat Pesakit dan Doktor oleh Khairul Ghazali).

Wednesday, April 29, 2009

Anak Jalanan


Anak Jalanan

Anak-anakku,
biar bagaimana hodohnya
kemelaratan ini
mencampakkan mu ke sisi jalanan
memungut perca-perca kehidupan
untuk esok yang mewariskan kepapaan
laluilah liku-liku kepayahannya
biarpun dengan tulang-temulangmu
yang kurus rapuh
dan kusut masai tubuhmu yang berdebu
disimbah hina dan nista

Anak-anakku
walau sekejam manapun hidup ini
kaulah yang berhak mewarisi segalanya
ditanganmu lah kan terlukisnya warna
yang bakal mencoretkan lembaran panorama
dan mampu tiba ke garis cahaya

Sadonsuraji
Putrajaya
24 April 2009

Melihat Dokumen Catatan Amalan


Bersediakah kita melihat catatan amalan kita di akhirat nanti?.
Bayangkan perasaan kita ketika itu. Ia pasti akan lebih dahsyat dari perasaan setiap kali menatap surat saman, notis kebangkrapan, waran tangkap,bil tertunggak, bil kad kredit atau surat-surat ancaman dari Along atau SMS ugutan, atau surat mahkamah. Apalagi apa bila dokumen catatan amalan kita itu nanti merupakan penentu neraka atau syurga yang kekal untuk kita mendiaminya.
Bayangkan bagaimana pergerakan setiap saat hidup kita dicatat, dirakam dan direkodkan sepajang hayat hidup kita. Catatan yang sangat detail sehingga meliputi apa yang terkandung dalam hati, perasaan. Termasuk apa yang kita lahirkan dan apa yang kita sembunyikan. Baik perkara kecil atau perkara besar. Tidak ada satu perkara pun yang tertinggal walaupun sekecil zarrah atau atom sekalipun. Ia lebih detail dari rakaman dari rakaman TV atau CCTV atau rakaman Video, yang hanya mampu merakamkan secara lahirian atau luaran. Tiada apa yang mampu kita sembunyikan. Lebih-lebih lagi apabila semua anggota kecuali mulut akan menjadi saksi di atas perlakuan kita sepanjang hidup.

Hanya kepada Allah saja kita serahkan segalanya sambil mengharapkan keampunannya.

Tuesday, March 31, 2009

Hidupkan lampu-lampu dalam diri


Banyak lampu yang telah terpadam dalam diri kita. Lampu akan malap dan terpadam setiap kali kita lupa menghidupkannya. Hati atau jiwa adalah seperti sebuah mentol lampu, setiap dosa yang kita lakukan, satu titik hitam akan terpalit dicermin mentol lampu jiwa. Semakin banyak dosa semakin banyak titik hitam menyelaputi hingga terpadamlah cahaya dari mentol lampu itu.
Berusahalah kearah menghidupkan lampu-lampu dalam jiwa kita. Amalan baik dan ibadah yang berterusan akan menghidupkan cahaya dalam jiwa dan hati.
Jika tabiat baik dalam diri yang menghasilkan sikap dan perwatakan kita boleh diibaratkan sebagai lampu, maka banyak sekali lampu yang perlu dihidupkan untuk menerangi arahtuju kehidupan kita didunia dan di akhirat. Berusahalah menggilap lampu agar terus bercahaya menerangi kehidupan ini.

Berapakah kali kita mati dalam sehari?.







Berapa kali kita melihat kematian setiap hari?. Pastinya melebihi sekali. Setiaphari akan ada saja kematian. Samada disiarkan diakhbar atau diradio dan TV. Mengikut perangkaan kematian akibat kemalangan saja diseluruh didunia dicatatkan pada setiap minit. Kematian yang datang dengan 1001 cara kematian ini berlaku dan terus berlaku. Tidak kira kita telah bersedia atau belum, samada kita masih muda atau tua, tidak kira kita masih sihat atau sedang sakit. Hakikatnya itulah kematian yang akan mendatangi kita. Dalam 1001 cara kematian setiap hari yang kita lihat, baca dan dengari, salah satunya akan menjadi cara kematian kita. Yang terbaiknya kita hayati setiap kematian orang lain itu untuk persediaan kita. Anggap bahawa kematian orang lain tidak akan ada bezanya dengan cara kematian kita nanti. Dan jangan takut untuk menerima hakikat bahawa ajal kita boleh datang pada bila-bila masa dan ketika sahaja. Satu sahaja yang mampu kita lakukan iaitu bersiap sedia untuk menghadapi kematian dengan tunduk patuh kepada perintah dan suruhan dan menjauhi larangan Allah. Bersedia dengan bekalannya untuk kembali ke alam barzah dengan tidak meninggalkan kewajipan dunia dan akhirat. Insyaallah kita selamat.

Monday, March 30, 2009

Kisah Pesakit Buah Pinggang




Bila ginjal gagal berfungsi



Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISArencana@kosmo.com.my



Buah pinggang yang dipanggil nefron berfungsi mengkumuhkan kotoran dari dalam badan. Apakah kesannya jika ia tidak lagi berfungsi?
AHMAD Saadan, 52, pada mulanya tidak percaya apabila doktor mengesahkan beliau menghidap penyakit buah pinggang peringkat akhir (end stage renal failure).
Doktor memaklumkan Ahmad bahawa dia perlu menjalani rawatan dialisis menggunakan mesin untuk mencuci darah seumur hidup. Sebelum ini, dia telah beberapa kali menjalani pembedahan di lengan, leher, dada dan terakhir pada kaki akibat komplikasi yang dihidapinya.
Menurut Ahmad, segala-galanya bermula sebaik sahaja dia menamatkan perkhidmatan sebagai anggota tentera pada tahun 1992. Dia, kemudiannya pulang ke kampungnya di Taiping, Perak.
Dengan wang pampasan sebanyak RM60,000 yang diterimanya bagi tempoh 16 tahun perkhidmatan, dia membuka sebuah gerai buah-buahan pada waktu siang dan mengendalikan restoran pada sebelah malam.
"Selepas empat tahun berniaga, saya mula mengalami demam dan lenguh-lenguh badan. Walaupun begitu, saya tidak ambil kisah kerana menyangka ia adalah sakit biasa akibat seharian penat bekerja.
"Sehinggalah saya jatuh pengsan semasa berniaga di restoran. Saya dihantar ke Hospital Taiping dan disahkan mengidap penyakit buah pinggang.
"Doktor memberitahu, puncanya bukanlah disebabkan penat bekerja tetapi kerana pengambilan ubat tahan sakit yang berlebihan," kata bapa kepada lima orang anak itu. Ahmad mengambil ubat tahan sakit untuk melegakan penyakit gout yang dideritainya.
HARAPAN Ahmad kini cuma bergantung pada satu salur darah untuk proses dialisis iaitu salur darah pada paha kiri beliau.
Hasil bedah siasat, doktor mendapati buah pinggang Ahmad telah rosak. Malah pemeriksaan doktor juga mendapati kedua-dua buah pinggangnya mengecut dan tidak lagi boleh berfungsi.
Buah pinggang merupakan satu unit kecil yang dipanggil nefron. Ia terletak di kiri dan kanan pinggang tubuh manusia dan berfungsi mengeluarkan bahan kotoran dari badan.
Selain itu, buah pinggang membantu mengeluarkan air berlebihan dari dalam badan serta mengawal keseimbangan garam, asid, alkali, dan bahan-bahan kimia di dalam badan.
Buah pinggang juga berfungsi mengawal tekanan darah, membantu mengawal proses penghasilan sel darah merah dan mengawal ketumpatan tulang.
"Doktor memberitahu, penyakit saya sudah di peringkat akhir. Saya terkejut kerana penyakit ini tidak memberi sebarang tanda pada peringkat awal, selain mengalami demam dan lenguh-leguh badan sahaja," katanya ketika ditemui semasa melakukan rawatan dialisis di Hospital Serdang, Selangor baru-baru ini.
AHMAD sentiasa ditemani isterinya untuk berulang-alik ke Hospital Taiping sebanyak tiga kali seminggu untuk mendapatkan rawatan dialisis.
Ahmad yang mendapat bantuan daripada Kementerian Pertahanan mula menerima rawatan dialisis sejak tahun 2001.
Pada peringkat awal, beliau dikehendaki menjalani kaedah rawatan pencucian darah melalui lapisan peritoneum (CAPD).
Namun Ahmad mengalami komplikasi usus bocor sewaktu pembedahan meletakkan katerer tenckhoff di dalam perut nya.
Rongga perut beliau tidak boleh menampung rawatan CAPD sekali gus memaksanya melakukan rawatan hemodialisis. Bagaimanapun, semua fistula iaitu sambungan salur darah nadi kepada salur darah vena yang perlu untuk rawatan hemodialisis turut gagal.
Satu daripada fistula tersebut telah menyebabkan tangan Ahmad bengkak dan otot pada tangan kanannya yang mengawal genggaman tangan juga separa rosak.
"Akibat penggunaan katerer hemodialisis pada leher dalam jangka masa panjang, semua salur darah vena utama di bahagian dada saya menjadi sempit dan tidak sesuai untuk dialisis melalui katerer.
"Ikhtiar terakhir ialah mendapatkan penderma buah pinggang yang sesuai dan saya berjaya memperolehnya. Malangnya, pemindahan tersebut juga gagal," katanya yang sentiasa ditemani isterinya, Aniza Jamaludin, 45, selama beliau perlu berulang-alik ke hospital tiga kali seminggu bagi mendapatkan rawatan hemodialisis di hospital.
Ibarat kata pepatah, sudah jatuh di timpa tangga. Kini, harapannya bergantung pada satu salur darah untuk proses dialisis iaitu salur darah pada paha kiri beliau.
Ahmad yang menderita penyakit buah pinggang selama 13 tahun, berkata, kos rawatannya dibiayai oleh Kementerian Pertahanan dalam lingkungan RM2,000 hingga RM3,000 sebulan untuk seumur hidup.

Monday, March 23, 2009

Peluang Kedua


Kehidupan selepas transplant boleh dianggap peluang kedua. Hakikatnya tidak ramai yang mendapat peluang kedua. Kalau pun mendapat peluang kedua, seringkali tidak menghargainya. Atau jauh sekali mensyukurinya. Kerapkali pula melakukan kesilapan untuk kali kedua.
Bagaimana agaknya untuk kita benar-benar dapat memanfaatkan peluang kedua yang diberikan kepada kita.
Sebelum berjaya mendapat peluang kedua, sebaiknya kita sudah mempunyai azam atau niat atau wawasan. Jadi sebaik peluang kedua itu tiba, selepas bersyukur dan menghargainya kita wajib melaksanakan azam dan niat. Iaitu untuk memanfaatkan peluang yang diberikan sebaiknya. Misalnya;
1. Kesihatan
a. Mematuhi peraturan kesihatan yang telah ditetapkan selepas transplant seperti pematuhan pengambilan ubat, pengambilan pemakanan, dan menjalani pemeriksaan kesihatan berkala yang telah ditetapkan
b. Mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas
c. Meningkatkan tahap kesihatan dan kecergasan
d. Mendidik diri dan keluarga tentang penjagaan kesihatan yang sempurna
2. Ibadah
a. Menggunakan masa sihat yang diberikan dan mengisikannya dengan perkara-perkara baik.
b. Memperbanyakkan ibadah, menggantikan apa saja ibadah yang tertinggal,
c. Meninggalkan semua perkara atau tabiat buruk.
d. Meningkatkan amal kebajikan dan ibadah fardu Ain dan fardu kifayah.
Pepatah Arab ada menyebut yang maksudnya;` Orang yang memiliki kesihatan mampu memiliki segala-galanya’


Wassalam

Tuesday, February 24, 2009

Rutin Kehidupan


Salah satu rutin kehidupan selepas pembedahan adalah pengambilan ubat setiap hari dan pemeriksaan perubatan berkala. Di peringkat awal kita akan rasa terbeban. Tetapi bila rutin itu telah sebati, ia menjadi satu tabiat baik. Tabiat ini pula meresap dalam kehidupan seharian yang mendorong kearah kebaikan pula. Contohnya, kita lebih menepati masa dan jadual harian , lebih menghargai masa dan kesihatan.


Kita akan sentiasa ingat dan waspada kepada rutin hidup yang sepatutnya kita jalani walaupun ketika kita sihat. Di sinilah sewajarnya kita mengatur semula rutin kehidupan sebenar iaitu rutin hidup seorang muslim. Bermula dengan bangun sepertiga malam untuk qiamulail (ibadah malam), solat Subuh, solat Israk dan Dhuha, Solat Zohor, Asar, Magrib, dan Isyak, disamping ibadah fardhu yang lain. Bukan sahaja untuk memantapkan takwa dan iman malah rutin ini mampu menjinakkan dan mendidik jiwa. Natijah darinya pula terhasillah suatu keseimbangan rohani, jasmani dan mental. Atau dalam istilah biologinya dikaitkan dengan penghasilan hormon endorphin yang membantu menstabilkan emosi, pemikiran dan perlakuan.


Rutin yang biasanya berat untuk kita lakukan akhirnya menjadi ringan bila telah sebati menjadi tabiat. Contohnya untuk bangun malam sekitar jam 3 atau 4 pagi adalah sangat sukar. Apatah lagi untuk bangun menghidupkan malam (Qiammullail) atau bersolat Tahajud. Namun, bila rutin ini dibangunkan dan dijana sebaiknya hingga menjadi tabiat, ia bukan saja satu yang ringan malah menjadi satu kemanisan beribadat. Demikianlah juga dengan tabiat-tabiat baik yang lain. Tapi malangnya apa yang lazim kita lakukan ialah memperkukuhkan perlakuan tabiat tidak baik. Contoh melewat-lewatkan mengerjakan solat, menangguh-nangguhkan ibadat hingga akhirnya sebati dan menjadi suatu yang amat membebankan. Lebih malang lagi sekiranya tabiat buruk yang kita perkukuhkan itu memudaratkan diri sendiri. Contohnya perlakuan maksiat, mungkar, dadah, alkohol, rokok dan pengambilan bahan haram dan seumpamanya.
Selepas berjaya menjalani pembedahan, kita sentiasa sedar risiko dan perlunya menjaga tahap kesihatan. Itulah yang menguatkan kita patuh pada rutin harian yang sewajarnya. Namun itu bukan berarti kita tidak akan mati.


Ajal dan maut telah Allah tetapkan. Ada 1001 sebab atau cara kita dimatikan. Kalau bukan kerana penyakit kronik, mungkin mendapat jangkitan virus (1001 jenis virus) dari HIV Aids hinggalah kepada virus yang belum dapat dikenalpasti. Hanya Allah yang tahu. Atau mungkin bukan sebab virus tetapi dalam bentuk kemalangan atau kecelakaan (1001 sebab dan punca kemalangan) dari sekecil-kecil kemalangan kepada sebesar-besar kemalangan yang membawa maut. Dari kemalangan jalan raya hingga kepada kemalangan dalam rumah atau bencana alam. Atau mungkin juga kematian dari serangan haiwan ganas atau serangga kecil. Dari sebesar dan seganas harimau hingga kepada sekecil serangga seperti nyamuk (denggi dan malaria).
Kita mesti sedar walaupun ketika ini kita sihat dan kuat, mungkin esok lusa kita lemah dan mati hanya disebabkan satu gigitan nyamuk. Yang lebih penting kita sedari ialah perlunya kita sentiasa sedar dan insaf untuk berhadapan dan bersedia menghadapi mati. Ibadah dan amal soleh adalah bekalan yang perlu kita sediakan ketika kita sedang sihat walafiat. Ketika kita masih kuat, berupaya melakukannya dan mempunyai banyak masa dan tenaga.


Pengalaman merasai sakit kronik telah banyak mengajar dan mengingsafkan saya betapa kita perlu memanfaatkan masa sihat untuk kebaikan khususnya untuk beribadat. Pengalaman ini perlu dikongsi bersama. Kita tidak akan dapat lari dari menghadapi mati, tetapi kita masih berpeluang memperbaiki dan mempersiapkan diri kearah kematian. Sebab itulah seperti hadis Nabi, orang paling bijak adalah orang yang sentiasa ingat kepada kematian.
Sekali sekali kalau kita boleh memandang sekeliling. Memerhatikan berapa ramai orang yang kita kenali atau rakan-rakan kita yang telah pergi meninggalkan kita. Mungkin ibu bapa kita, adik beradik, saudara mara, rakan-rakan sepermainan, rakan-rakan waktu belajar, rakan-rakan sekerja dengan 1001 cara kematian. Kita tidak akan terkecuali dari giliran itu. Mungkin waktunya telah sangat hampir, atau masih jauh lagi. Tetapi selalunya kita cenderung mengandaikan giliran kita masih jauh. Jarang kita mau menerima hakikat sebenar bahawa giliran kematian kita memang sangat hampir. Alasan tahap kesihatan bukan jaminan kita akan hidup lama. Sebab ada 1001 punca kematian. Kalau kita sihat dan kuat pun ketika ini, mungkin menjelang petang nanti kita mati dilanggar kereta ketika menyeberang jalan atau mati tertelan tulang ayam atau mati dikelar penjenayah. Waullahua’lam. Ini kenyataan. Bukan khayalan dan berlaku setiap hari dan disiarkan dalam semua media setiap hari. Tapi biasanya kita bersikap perkara itu memang berlaku pada orang lain tapi bukan berlaku pada diri kita.
Sama-samalah kita renungi bersama

Saturday, January 31, 2009

Muhasabah Diri



Setiap awal tahun perkara pertama yang patut kita fikirkan adalah menilai diri sendiri sepanjang tahun lalu. Menilai diri dari atau Muhasabah diri banyak membantu memperbaiki dan meningkatkan motivasi diri. Sekiranya matlamat kita adalah untuk meningkatkan kesihatan diri, maka tabiat dan amalan kesihatan yang kita amalkan sepanjang tahun lepas mungkin perlu dipertingkatkan.

Tahap kesihatan yang ingin kita tingkatkan bukan saja kesihatan fisikal, tetapi meliputi kesihatan mental, emosi, rohani dan jasmani.

Kita boleh mulakan dengan meningkatkan kesihatan rohani supaya aspek kesihatan fisikal, mental dan emosi akan turut meningkat.

Keadah terbaik meningkatkan kesihatan rohani adalah dengan kaedah keagamaan khususnya ibadah-ibadah yang wajib (Fardu Ain). Solat adalah ibadah pokok yang utama untuk kita tingkatkan kualitinya. Bukan sekadar menunaikannya sahaja. Dari masa kesemasa kita bukan saja wajib menyempurnakannya malah meningkatkan penghayatannya. Kerana kesan yang dirasai dari penghayatannya akan meningkatkan semua elemen kesihatan dan mampu memberikan kebahagian yang ingin kita kecapi.

Bila kita bermuhasabah diri, bertanyalah kepada diri kita sendiri mengenai perkara-perkara berikut;

1. Adakah selama ini kita menganggap solat kita penting dan selalu kita utamakan berbanding dengan keperluan lain. Atau kita sering mendahulukan perkara lain dan menjadikan solat sebagai priority kedua, ketiga atau yang terakhir.

2. Adakah hati kita hadir dalam setiap solat yang kita tunaikan. Iaitu adakah kita benar-benar khusu' dalam setiap kali menunaikan solat.

3. Adakah kita memahami setiap kalimat bacaan dalam solat, dan memahami setiap gerak geri solat untuk kesempurnaan solat kita.

4, Adakah kita merasai sebarang perbezaan sikap atau tabiat atau amalan sebelum dan sesudah solat. Yang pasti solat yang sempurna akan mencegah kita dari perbuatan dan amalan tidak baik (keji)

5. Adakah kita sedar perkara pertama yang akan ditanya oleh Allah sekembalinya kita ke alam Barzah ialah solat kita.

Sama-samalah kita bermuhasabah diri menjelang awal tahun ini


Wassalam