Sunday, July 20, 2008

Dialisis Peritoneum (CAPD)

Dialisis alternatif
Setelah 30 tahun dialisis peritoneum diperkenalkan, semakin ramai pesakit buah pinggang yang dapat menjalani kehidupan yang lebih berkualiti.
PEMBEDAHAN pemindahan buah pinggang adalah usaha terbaik namun berhadapan dengan masalah mendapatkan organ penderma. Maka, rawatan dialisis menjadi harapan pesakit.
Sebelum memahami kebaikan dan keberkesanan rawatan dialisis peritoneum (PD), bayangkan senario ini. Seorang lelaki menghantar isterinya menjalani rawatan hemodialisis (HD) di sebuah klinik.
Kedua-duanya mungkin terpaksa mengambil cuti untuk berbuat demikian, dan ini sedikit sebanyak mengganggu komitmen dengan syarikat dan majikan.
Jika tidak mempunyai apa-apa sokongan kewangan, kekerapan sesi rawatan, belanja untuk penghantaran dan kos HD itu sendiri secara terkumpul akan meninggalkan kesan terhadap sosioekonomi keluarga untuk jangka masa panjang.
Untuk mengikuti jadual sesi rawatan HD yang tetap juga suatu kesukaran bagi sesetengah pesakit yang tidak punya akses dan bimbingan pihak yang dipercayai.
Semua ini bukan bertujuan untuk menganggap pesakit buah pinggang itu menjadi beban, tetapi hendak menerangkan betapa orang yang mengasihinya juga perlu berkorban jadual tugas, waktu dan tenaga selain wang ringgit.
PD memudahkan proses penyingkiran dan pemasukan semula cecair ke dalam tubuh melalui satu tiub yang dipasang pada abdomen.

Di negara ini sahaja, seramai 2,500 orang mengalami kegagalan renal peringkat akhir (ESRF) setiap tahun. Perangkaan tersebut adalah bersamaan 100 orang bagi setiap sejuta penduduk.
"Menjelang penghujung tahun 2006, seramai 15,000 orang menjalani dialisis di negara ini, iaitu kadar rawatan seramai 550 orang bagi setiap sejuta populasi," kata Presiden Jawatankuasa Penganjur Kongres Nefrologi Asia Pasifik (APCN) ke-11, Datuk Dr. Zaki Morad Mohd Zaher.
Situasinya diburukkan lagi dengan peningkatan masalah diabetes dan hipertensi yang masing-masing membentuk peratusan penyebab sebanyak 57 peratus dan lapan peratus. Dua gangguan kesihatan ini dikenal pasti meningkatkan risiko penyakit buah pinggang dan bilangan pesakit ESRF.
Jika gagal mendapatkan rawatan yang sewajarnya, pesakit menghadapi kemungkinan kualiti hidup yang terjejas mahupun kematian awal gara-gara buah pinggang mereka tidak lagi mengumuhkan bahan buangan dan lebihan cecair dari sistem tubuh.
"Walaupun 90 peratus daripada pesakit buah pinggang di Malaysia memilih rawatan HD, maklumat tentang fleksibiliti PD semakin difahami dan mendapat pertimbangan. PD juga menjadi pilihan rawatan awal di kalangan pesakit di bawah usia 20 tahun," terang Zaki.

Pesakit ESRF mempunyai pilihan hidup yang lebih bermakna jika berpeluang menjalani pemindahan buah pinggang. Namun, hakikat kebanyakan pesakit buah pinggang bergantung kepada rawatan dialisis adalah kerana kekurangan organ penderma.
PD terbahagi kepada dua jenis iaitu dialisis peritoneum ambulatori berterusan (CAPD) yang melibatkan empat kali pertukaran bahan cecair yang masing-masing hanya mengambil masa selama 20 hingga 30 minit.
Yang kedua pula adalah dialisis peritoneum automatik (APD) yang boleh dilakukan pada waktu malam dengan bantuan sebuah mesin yang menyingkir dan mengisi semula kaviti abdominal dalam tubuh.
"Mungkin pesakit perlu membiasakan diri dengan fungsinya pada peringkat awal penggunaan. Lama-kelamaan, mesin itu akan berfungsi ketika mereka tidur tanpa mengganggu kualiti waktu istirehat mereka," kata Perunding Nefrologi di Jabatan Nefrologi Hospital Serdang, Dr. Goh Bak Leong
"Walaupun HD kekal sebagai kaedah rawatan konvensional bagi pesakit ESRF, telah muncul trend yang baru iaitu PD diterima sebagai pilihan rawatan di kalangan pesakit kerana tahap fleksibiliti yang lebih tinggi," ujar beliau.
Sebuah syarikat penjagaan kesihatan, Baxter, telah melancarkan terapi PD, iaitu sejenis terapi gantian renal yang berkesan dan selamat. Ia memberi pesakit daya gerak dan kawalan yang lebih tinggi, sekali gus menggalak kesejahteraan diri pesakit.
"Rawatan PD yang boleh dilakukan sendiri di rumah adalah satu kaedah yang berkesan bagi pesakit ESRF memandangkan ia menyenangkan urusan seharian mereka," jelas Goh. - HAMZAH ABDUL HAMID

No comments: