Monday, July 14, 2008

Sikap Menerima Penyakit Kronik

Rencana ini ditulis untuk memberi panduan kepada pesakit buah pinggang dan juga kepada bukan pesakit yang ingin mengetahui lebih mendalam tentang penyakit ini. Ia bukan sahaja sekadar maklumat tetapi merangkumi beberapa panduan asas bagaimana seharusnya sesaorang perlu lakukan apabila menghadapi situasi dihinggapi sesuatu penyakit kronik. Ini adalah berdasarkan pengalaman penulis sendiri yang telah disahkan mengidap penyakit kegagalan fungsi buah pinggang.

Penting untuk kita mengetahui status atau kedudukan kesihatan kita. Biar di peringkat mana pun usia kita, sekurang-kurangnya sekali dalam setahun kita perlu merujuk kepada pakar kesihatan tentang status kesihatan kita. Ini bagi memudahkan kita memantau dan mengambil langkah-langkah pencegahan atau pemulihan bagi mempastikan tahap kesihatan kita berada di tahap yang normal.

Persiapan mental dan fisikal juga merupakan dua aspek penting untuk kita menghadapi situasi penyakit kronik. Kita perlu menyediakan kekuatan mental kita untuk menghadapi segala kemungkinan penyakit kronik. Apabila kita merasa tubuh badan kita berada dalam keadaan kesihatan yang kurang baik, biasanya kita mengambil jalan mudah atau meremehkannya. Pada peringkat usia 40an, sebarang kelainan dalam tahap kesihatan kita perlu kita rujuk kepada pakar kesihatan. Ini disebabkan semua penyakit kronik biasanya bermula pada peringkat usia 40an dan ke atas.

Apa yang saya maksudkan dengan persiapan mental ialah kita mestilah bersedia dan rela untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Apa yang berlaku kepada kebanyakan orang ialah walaupun telah merasa tidak sihat tetapi masih enggan berjumpa doktor atau membuat pemeriksaan kesihatan. Alasannya mudah iaitu jika pemeriksaan mendapati sesuatu penyakit kronik mereka akan merasa lebih tertekan dan lebih baik tidak tahu mereka mempunyai penyakit kronik. Keadaan ini berlaku di semua peringkat usia. Biasanya apabila telah terpaksa dan tahap penyakit berada dalam keadaan kritikal atau diperingkat akhir sahaja mereka bersedia untuk menjalani pemeriksaan atau rawatan dihospital.

maklumat ini juga ditulis bagi memudahkan bakal pesakit atau pesakit kronik khususnya penyakit buah pinggang mendapat maklumat tentang apa yang seharusnya dilakukan, apa yang tidak harus dilakukan sebagai panduan. Yang penting ialah bagaimana menerima hakikat bahawa sesuatu penyakit kronik telah menimpa kita dan bagaimana kita menghadapi hari-hari bersama penyakit tersebut. Sikap positif dan disiplin yang betul penting bagi mempastikan walaupun kita menghadapi penyakit kronik, kita masih boleh menikmati kehidupan yang bermakna.

Menerima Hakikat Berpenyakit Kronik

Tidak semua orang dapat menerima hakikat bahawa dirinya mengalami penyakit kronik. Reaksi awal ialah cuba menafikan penyakit itu serius atau kronik. Pelbagai alasan dibuat untuk tidak membuat pemeriksaan. Enggan pergi ke hospital atau meminta nasihat doktor, cuba mencari jalan singkat dengan membeli ubat-ubat tradisional atau daripada farmasi. Ini bukan sahaja mempercepatkan berlakunya penyakit kronik malahan boleh menyebabkan maut.

Sering juga berlaku pesakit sedar bahawa dirinya berpenyakit kronik tetapi masih tidak bersedia untuk membuat pemeriksaan dengan alasan belum bersedia dan berbagai alasan lagi. Sehinggalah sesuatu berlaku seperti tumbang (collapes) atau pitam yang terpaksa dirujukkan ke unit kecemasah hospital. Ketika itu pesakit akan mula mengeluh tentang perbagai perkara antaranya;

kenapa dia ditimpa penyakit
tidak sepatutnya dia ditimpa panyakit
apakah dosa dan kesalahannya yang menyebabkan dia diberi penyakit
sepatutnya orang lain yang mendapat penyakit
dengan gaya hidup aktif, bersenam, bersukan, tidak merokok dan mengamalkan pemakanan sihat tidak sepatutnya dia ditimpa penyakit

Persoalan tersebut di atas selalu bermain difikiran pesakit kronik apabila disahkan berpenyakit kronik. Jika perkara itu berterusan, ia akan menyebabkan gangguan emosi seperti kemurungan, hilang keyakinan diri, bersikat pesimis atau negetif, dan yang lebih penting lagi mudah dijangkiti penyakit lain yang lebih kronik lagi.

Langkah yang perlu diambil sepatutnya ialah menerima hakikat bahawa kita telah ditimpa penyakit kronik dan bersedia serta redha dengan ketentuan Tuhan yang memberikan kita penyakit itu. Kita perlu mengatakan kepada diri kita sendiri seperti berikut;

aku redha dan pasrah dengan penyakit yang Tuhan turunkan kepadaku
aku akan menerima apa sahaja pemeriksaan, nasihat dan rawatan doktor.
aku akan menjalani dan melalui segala pengalaman sebagai pesakit yang disahkan kronik
mesti ada hikmah disebalik penyakit yang diturunkan kepada kita
mengenali sedekat dekatnya tentang penyakit yang kita alami
mengetahui semua kemungkinan yang kita alami dengan penyakit ini.
memberi tahu keluarga terdekat dan sanak saudara serta jiran tetangga tentang penyakit yang kita alami
berkongsi atau berkenalan dengan pesakit lain tentang penyakit yang kita alami
menjadikan hospital atau pusat rawatan sebagai rumah kedua
menerima hakikat kita telah hilang keupayaan dan sedikit kebebasan

Dengan mengambil sikap tersebut, jiwa kita akan merasa lebih tenteram, emosi kita lebih stabil dan sikap positif yang terbentuk itu akan menyebabkan penyakit kita lebih mudah ditangani.

Banyak kajian menunjukkan sikap positif pesakit itu sendiri telah menyebabkan penyakit yang dideritai itu dapat dipulihkan. Namun untuk bersikat positif terhadap penyakit yang kita alami merupakan satu cabaran yang besar. Ia menuntut kepada disiplin yang tinggi serta kemahuan yang besar. Ia memerlukan masa dan kesabaran.

No comments: