Wednesday, July 16, 2008

MENGESAN PENYAKIT BUAH PINGGANG

Langkah pertama penjagaan penyakit buah pinggang yang lebih berkesan ialah dengan mengesan penyakit ini pada peringkat awal-awal lagi. Pengesanan awal adalah penting terutama sekali jika anda seorang penghidap diabetes kerana penyakit ini akan menyebabkan anda berisiko tinggi bagi menghidap penyakit buah pinggang. Beberapa tanda-tanda dan gejala penyakit buah pinggang yang harus diberi perhatian termasuklah berat badan menurun tanpa sebab, rasa loya atau muntah, letih lesu atau sakit belakang. Tanda-tanda lain termasuk penukaran kekerapan atau corak urinasi, urin yang mengandungi darah atau rasa pedih ketika urinasi, bengkak pada muka, kaki dan abdomen dan kesukaran untuk tidur malam.


Malangnya, kesemua tanda dan gejala ini kebiasaannya tidak akan kelihatan sehinggalah buah pinggang anda telah mengalami kerosakan yang teruk. Ada juga kemungkinan anda langsung tidak akan mengalami sebarang tanda atau simptom tersebut walaupun buah pinggang anda sudah tidak berfungsi lagi. Oleh sebab itu, anda tidak boleh bergantung kepada kesemua tanda dan gejala tersebut untuk mengesan penyakit buah pinggang dan sebaliknya menganggap yang anda tidak mempunyai penyakit tersebut jika anda langsung tidak mengalami sebarang tanda-tanda tersebut.

Cara yang paling tepat untuk mengesan samaada anda mengalami sebarang kerosakan buah pinggang ialah dengan berjumpa doktor anda dan mengambil ujian urin untuk mengesan mikroalbumin dan protein. Kehadiran mikroalbumin (protein dalam jumlah yang kecil) dalam urin menunjukkan bahawa buah pinggang anda telah rosak. Ini terjadi kerana buah pinggang yang rosak tidak dapat menerima balik kebanyakan protein yang telah ditapis, menyebabkan kandungan protein dalam urin semakin meningkat. Kehadiran protein dalam kuantiti yang banyak dalam urin (makroalbuminuria - satu petanda lewat nefropati diabetes) boleh dikesan dengan satu ujian ringkas dengan mencelup stik pengesan ke dalam urin. Sebaliknya, untuk menentukan kandungan protein dalam urin yang sedikit (mikroalbuminuria) - satu petanda awal kerosakan buah pinggang disebabkan diabetes, memerlukan suatu ujian khas.

Jika ujian menggunakan stik pengesan atau ujian mikroalbuminuria menunjukkan keputusan yang positif, adalah baik jika anda mengikut nasihat doktor dan seterusnya mengambil langkah-langkah yang sewajarnya, seperti tertera di bawah, untuk membantu anda mengelak atau melambatkan penyakit ini daripada menjadi bertambah teruk.

No comments: